PROFILE

ISMATUL FAIZAH BINTI KHOLID
Pemilik Faizah’s Collection – Pakaian Jubah Muslimah

Alma mater:
Sarjana Muda PentadbiranMuamalat, USIM

Ismatul Faizah binti Kholid dikenali rakan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai seorang individu yang mempunyai minat yang tinggi untuk menjadi usahawan. Beliau dilihat sebagai seorang yang gigih, dan berfikiran strategik di dalam perniagaan, terutama perniagaan yang diminatinya. Sering kita dengar, seseorang mahasiswa hanya mampu menjadi usahawan apabila mempunyai pengalaman kerja yang sewajarnya. Namun, kita mungkin lupa bahawa pengalaman hidup seseorang bersama keluarga dari kecil adalah lebih berharga dalam membentuk peribadi dan minat seseorang, bukan hanya tertakluk kepada pengalaman yang diperoleh selepas menamatkan pengajian. Maka bertepatanlah kefahaman ini dengan “Pendidikan Seseorang Bermula dari Rumah”.

Pendidikan awal yang diterima Faizah adalah Pendidikan Islam. Sehingga biografi ini ditulis, beliau baru berumur 25 tahun dan baru selesai menamatkan pengajian Sarjana Muda. Pendidikan menengah beliau bermula di Maahad Tahfiz, Pasir Gudang, Johor dan seterusnya ke Sekolah Mengah Agama Parit Raja, Batu Pahat, Johor dan juga Maahad Pontian, Johor. Selesai pengajian peringkat menengah, atas minat yang mendalam di dalam perniagaan, Faizah melanjutkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam jurusan Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM, pada tahun 2008. Pada tahun 2012, Faizah menamatkan pengajiannya di USIM.

Faizah mendirikan rumah tangga beliau dengan Mohd Ammar bin Jairani yang berasal dari Muar, Johor. Ammar juga mempunyai latarbelakang Pengajian Islam dan merupakan salah seorang lulusan Sarjana Muda Pengajian Fiqh Fatwa, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM. Ammar baru selesai menamatkan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan kini bertugas sebagai guru J-QAF di Ledang, Johor. Faizah pula tekad dengan cita-citanya sebagai usahawan dan kini menjalankan perniagaan borong pakaian Muslimah dan jubah. Minat Faizah terhadap bidang perniagaan dipupuk menerusi keluarganya yang terlibat dalam bidang perniagaan. Ayah dan ibu Faizah merupakan peniaga pakaian. Walaupun Faizah dilihat menyambung legasi perniagaan keluarga, namun begitu penglibatan Faizah dalam perniagaan ini telah berjaya membawa perniagaan keluarga yang dahulunya perniagaan kecil-kecilan, ke satu tahap yang jauh lebih baik, atau perniagaan berskala besar.

Keluarga Faizah sebelum ini hanya menjalankan perniagaan pakaian di sekitar negeri Johor. Penglibatan perniagaan Faizah dalam perniagaan pakaian Muslimah secara aktif bermula dari kediaman beliau sewaktu menyambung pengajian di USIM iaitu di Desa Anggerik, Nilai, Negeri Sembilan. Bermula dengan skala yang kecil Faizah membekalkan pakaian Muslimah untuk diniagakan di dalam kampus USIM oleh rakan mahasiswi yang lain. Perniagaan jubah beliau di USIM berkembang dengan pesat sehingga suatu ketika beliau berjaya membawa masuk stok pakaian Muslimah dan jubah ke USIM menggunakan sebuah lori kontena muatan lima tan. Pelanggan memenuhi ekspo pakaian Muslimah yang dibuka oleh Faizah dan dalam waktu yang singkat, bekalan jubah yang dibawa selesai diborong oleh pelanggan. Kaedah perniagaan borong yang dijalankan Faizah adalah bertepatan dengan strategi menggunakan populasi mahasiswi yang ramai di USIM sebagai asas sasaran pasaran beliau. Dari aspek yang lain, fenomena jualan jubah borong yang dimulakan Faizah telah melahirkan lapisan usahawan kecil yang lain di USIM sebagai contoh Azilawanie, iaitu alumni Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan yang kini giat menjalankan perniagaan jubah muslimah di Utara Semenanjung Malaysia yang turut menggunakan nama Faizah’s Collection.

Faizah yang terlibat sebagai AJK Konvensyen Keusahawanan Islam 2011 (iCEPS 2011) telah berusaha meyakinkan pihak Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) agar penganjuran iCEPS dilaksanakan di Dataran Bandar Baru Nilai, iaitu suatu tapak yang berada di luar kampus USIM. Persetujuan pihak Fakulti telah membuahkan hasil kepada perniagaan Faizah sendiri. iCEPS 2011 telah menjadi titik-tolak Faizah membuka ruang untuk membekalkan pakaian jubah kepada peniaga-peniaga awam yang hadir. Sehingga kini, jubah Faizah’s Collection, menerusi hubungan baik dengan peniaga-peniaga lain telah berjaya diedarkan hampir ke seluruh Semenanjung Malaysia, terutama ke Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, dan Pulau Pinang. Sehingga kini Faizah masih melaksanakan perniagaan yang sama, dan beliau membuka ruang borong pakaian jubah beliau bersebelahan Hotel Nilai, berhampiran Masjid Putra, Nilai, Negeri Sembilan. Kegigihan Faizah dalam mengembangkan perniagaan keluarga harus dipuji kerana beliau tidak hanya bernaung di bawah perniagaan keluarga, namun memulakan era baru perniagaan bagi keluarga beliau. Apabila ditanya tentang tips menjadi usahawan berjaya, Faizah dengan jelas menyatakan “Peniaga harus mencari keberkatan dalam perniagaan. Jangan terlalu memikirkan keuntungan dengan meletakkan harga yang membebankan peniaga yang lain. Kejayaan peniaga yang lain adalah kejayaan pembekal. Apabila peniaga yang lain mampu membina perniagaan dengan berniaga dengan kita, sudah tentu hasil perniagaan kita akan lebih diberkati. Kerana dengan kejayaan perniagaan, lahir kehidupan yang lebih baik bagi setiap dari kita.”

*dipetik dari Buku Biografi Usahawan Alumni USIM
(Terbitan Pejabat Perhubungan Alumni dan Pejabat Pembangunan Keusahawanan Siswa ~Tahun 2014)