Prof Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak merupakan seorang tokoh akademik yang cukup disegani dalam arena kepemimpinan pendidikan negara dan antarabangsa. Beliau dilantik sebagai Penyandang Kursi Kepemimpinan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Fakulti Kepemimpinan dan Pengurusan pada Ogos 2014. Tan Sri Dzul juga merupakan Presiden kepada gabungan organisasi pendidikan antarabangsa dibawah UNESCO iaitu International Association of Universities (IAU), yang berpengkalan di Paris. Disebalik kesibukan masa beliau, Tan Sri Dzul sempat berkongsi aspirasi dan harapan beliau dalam menjadikan USIM kekal relevan sebagai sebuah Universiti yang berteraskan Naqli dan Aqli.

S1Tahniah diucapkan kepada Y.Bhg Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak selaku Penyandang Pertama Kursi Kepemimpinan Islam, di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM. Bagaimana Y.Bhg Tan Sri melihat usaha dan inisiatif USIM menubuhkan Kursi Kepemimpinan Islam ini.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak USIM dan juga Yayasan Nurul Yaqeen kerana memilih saya sebagai Penyandang Pertama Kursi Kepemimpinan Islam, di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM. Bagi saya, kewujudan Kursi Kepemimpinan Islam mengembalikan semula konsep asal ‘Kursi’ daripada perspektif Islam iaitu bagi menjana sesuatu yang baru dan umumnya bagi mengembangkan sesuatu aliran ilmu pengetahuan memandangkan latar belakang saya adalah dalam bidang farmasi dan neurofarmakologi. Saya melihat pelantikan ini sebagai satu peluang bagi membawa kelainan dalam perspektif kepemimpinan umumnya dan daripada Islam khasnya. Ini kerana secara tradisional, apabila bercakap mengenai kepemimpinan Islam, ramai pihak lebih condong merujuk kepada Sirah Rasullulah ataupun peribadi tokoh-tokoh unggul dalam sejarah Islam. Ini tidak ada salahnya. Namun oleh kerana pndekatan ini agak lazim dilakukan, dalam konteks Kursi Kepemimpinan Islam di USIM ini saya cuba melihat daripada sudut yang lebih kotemprorari. Ini kerana isu-isu kepemimpinan pada hari ini bersifat semakin kompleks dengan mendalami lagi pelbagai isu semasa seperti pengurusan alam sekitar, masalah globalisasi, percambahan ilmu-ilmu moden di kalangan yang berpendidikan tinggi, dan berbagai gejala sosial lain ekoran kepesatan teknologi di kalangan remaja dan sebagainya. Isu-isu ini memerlukan penelitian yang serius dalam meneroka kegagalan dalam kepemimpinan semasa.

Maka dengan sebab itulah, usaha dan inisiatif USIM menubuhkan Kursi Kepemimpinan Islam dengan kerjasama Yayasan Nurul Yaqeen amat tepat pada masanya. Ia memberi peluang untuk melihat semula perspektif kepemimpinan Islam dengan lebih menyeluruh bersesuaian dengan perkembangan dunia masa kini. Ia juga mengambil kesempatan mengembleng kekuatan serta aspirasi USIM supaya dapat membantu merealisasikannya terutama sekali hasrat dalam kerangka ilmu Naqli dan Aqli sebagai teras kekuatan Universiti ini.

S2Misi dan perancangan yang YBhg Tan Sri akan bawa sebagai Penyandang Kursi Kepemimpinan Islam di USIM.

 

Misi saya jelas iaitu untuk menjadikan Kursi Kepemimpinan Islam di USIM antara Kursi Akademik yang disegani dan mampu menyumbang kepada perubahan untuk kemajuan umat Islam dan negara kita ini. Sebagai Penyandang Kursi Kepemimpinan Islam di USIM, cabaran ini merupakan satu penghormatan dan peluang untuk saya berkongsi pengalaman akademik lebih daripada 30 tahun menerusi pelbagai medium seperti penulisan, penerbitan, wacana, penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran serta rangkaian hubungan dengan pihak luar. Perkongsian ilmu dan pengalaman seumpama ini adalah paling penting untuk membuka berbagai jendala baru bagi USIM menjenguk ke luar dan dunia luar menjenguk ke dalam pula. Sekali gus minda kita akan terus berkembang seiring perkembangan semasa. Ini memberi kita asas tertentu mengapa perubahan itu penting.

Maka dengan sebab itulah, saya telah menyediakan pelbagai perancangan dalam tempoh setahun pelantikan saya ini seperti penerbitan buku dan hingga kini sebanyak tiga buah buku telah berjaya disiapkan. Selain itu juga, saya turut terlibat mendorong kepada mencorakkan penyelidikan berkaitan dengan kepemimpinan Islam bersama-sama sekumpulan tenaga pakar di USIM. Pelbagai wacana bulanan telah kita mulakan dengan menjemput tokoh-tokoh yang hebat dalam bidang masing-masing seperti Prof Is Haq Oloyede; Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Islam Seluruh Nigeria; Ahmad Keeler dari University of Cambridge, dan terkini Iain Buchanan, penulis buku The Armies of God untuk berkongsi ilmu dan pengalaman mereka. Disamping itu kita berjaya pula memperkenalkan warga USIM kepada pihak luar.

Usaha kita membantu merintis hubungan dengan Universiti-universiti negara di Afrika mempunyai potensi yang cukup besar sebagai rakan strategik USIM ekoran Kemuncak Malaysia-Afrika kelolaan KPM tahun lalu.  Saya melihat pendedahan USIM dengan dunia luar perlu diperluaskan lagi bagi membolehkan dunia mengenali keunikan USIM. Kehebatan USIM akan lebih terserlah di peringkat antarabangsa apabila kecemerlangan Universiti ini berjaya dipromosikan dengan strategi yang mampu menyakinkan pihak luar. Ini akan banyak membantu menjadikan USIM sebagai Pusat Rujukan Global kelak.

S3 Pandangan Y.Bhg Tan Sri melihat melihatkan kemunduran masyarakat Islam masa kini walaupun sesetengah negara Islam itu dikurniakan dengan pelbagai anugerah sumber asli, flora dan fauna disebabkan masalah kepemimpinan?

 

Saya melihat perkara ini daripada perspektif yang berbeza iaitu bukan Umat Islam yang mundur tetapi sebaliknya Tamadun Barat yang semakin mundur apabila mereka mula menjauhkan agama dengan kehidupan. Saya meminjam kata-kata Ahmad Keeler iaitu Felo dari University of Cambridge yang dijemput dalam Felo Ulung Kursi Kepemimpinan Islam USIM baru-baru ini. Beliau mengusulkan bahawa jika dilihat daripada tafsiran Barat sememangnya Umat Islam di cop sebagai mundur, tetapi jika dilihat daripada perspektif Islam, pihak Barat sebenarnya yang mundur. Inilah yang menyebabkan berlakunya banyak masalah sosial pada hari ini seperti kecelaruan seksual, perubahan iklim, tamak haloba dan sebagainya. Kegagalan pihak Barat ini disebabkan oleh tiga faktor utama iaitu pertamanya kegagalan pihak Barat memahami agama dengan cara yang sepatutnya. Keduanya, kehidupan di kalangan masyarakat Barat berdasarkan faktor akal fikiran semata-mata dan ketiganya, pihak Barat mengamalkan cara hidup yang moden hingga mengabaikan aspek nilai-nilai murni dan etika dalam kehidupan tanpa mendalami norma dan budaya masyarakat manusia umunya. Mereka lebih mengutamakan aspek komersial dan pembangunan sains serta teknologi yang tiada batasan. Dan tidak pula lestari.

Memang tidak dapat dinafikan, terdapat banyak negara-negara Islam yang memiliki anugerah sumber alam kaya-raya, namun masyarakatnya hidup dalam kemunduran. Isu kepemimpinan di negara Islam berkenaan perlu dilihat daripada pelbagai sudut. Ini penting kerana perspektif budaya tempatan dan sejarah di sesetengah negara Islam yang menyebabkan berlakunya kemunduran di negara Islam berkenaan. Maka dengan sebab itulah, pemimpin perlu mempunyai keseimbangan ilmu baik Naqli dan Aqli dan sebagainya yang boleh membantu mereka mentadbir dan menguruskan negara dengan baik. Aspek ini penting kerana kepemimpinan menjadi tonggak kepada kekuatan sesebuah negara itu. Apalagi yang mendasari Islam.

S4 Daripada perspektif Y.Bhg Tan Sri, bagaimanakah pendidikan yang berkualiti mampu dalam membangunkan modal insan untuk mengangkat martabat umat Islam?

 

Sebenarnya konsep pembangunan modal insan dipelopori oleh golongan neo-liberal Barat menjadi antara dilema utama dalam hal ini. Konsep tersebut tidak sesuai untuk masyarakat Islam kerana ia melihat pembangunan modal insan daripada perspektif luaran dan komersial sedangkan dalam Islam sumber manusia memerlukan juga pembentukan dalaman dan secara seimbang ataupun ‘mizan’. Saya suka menggunakan analogi pokok dalam membincangkan perkara ini kerana sepohon pokok memberikan banyak gambaran mengenai kehidupan. Kita mungkin hanya melihat pokok daripada segi permukaan sahaja iaitu batang pohon, daun, bunga dan juga buah tetapi jarang kita melihat apa yang ada didalam bumi iaitu bagaimana peranan akar yang mampu mempengaruhi tumbesar pokok secara keseluruhannya. Pokok yang hidup subur memerlukan baja, air dan makhluk tanah yang turut memperkayakan bumi itu. Begitu juga dengan kehidupan kita, manusia memerlukan pelbagai sumber dalaman bagi membolehkannya menjadi insan yang seimbang iaitu mampu berfikir dengan waras tanpa terdorong dengan nafsu semata-mata. Aspek qalbu iaitu faktor dalaman yang tidak kelihatan sering diabaikan oleh banyak pihak dalam membangunkan modal insan ini. Perkara ini apabila menjadi cukup taksub dengan KPI dan ‘ranking’ semata-mata.

Maka dengan sebab itulah, dalam bidang pendidikan saya melihat proses pembelajaran adalah berterusan dan tidak ada sempadan penamatnya. Proses pembelajaran tidak membezakan di antara kelompok akademik dengan pentadbir kerana masing-masing mampu menyumbang mengikut kepakaran masing-masing. Justeru, sifat merendah diri seperti bak kata pepatah Melayu, ikut resmi padi, lagi berisi lagi tunduk adalah asas kejayaan yang amat penting sekali. Yakni semakin berilmu semakin merendah diri supaya lebih insaf akan kekurangan yang ada. Hakikat ini akan membawa baraqah dan penghormatan kepada warga Universiti dan semakin terserlah di kalangan komuniti kerana pengiktirafan tidak perlu dicari kerana ia akan datang dengan sendirinya.

S5 Apakah cabaran masa depan bagi USIM untuk memastikan Universiti ini mampu kekal kompeten dan menjadi Pusat Rujukan Global berkaitan dengan Sains Islam?

 

Cabaran USIM pada masa hadapan adalah bagaimana untuk menjadikan Universiti ini kekal relevan sebagai sebuah Universiti yang berteraskan Naqli dan Aqli. Meletakkan USIM sebagai Pusat Rujukan Global dalam bidang Sains Islam pada tahun 2025 merupakan agenda bersama yang perlu digalas oleh semua warga USIM sama ada pengurusan tertinggi, kakitangan akademik, pentadbiran dan sokongan mahu pun pelajarnya.

Saya percaya dan penuh yakin bahawa USIM akan berjaya mencapai hasrat sebagai Universiti yang menjadi Pusat Rujukan Sedunia dalam bidang Sains Islam pada tahun 2020 nanti. Ini kerana, USIM mempunyai bakat-bakat muda di kalangan tenaga akademik dan pentadbiran yang berpotensi untuk berjaya sekiranya mereka diberikan bimbingan yang secukupnya. Dan mahu pula membawa perubahan bak kata-kata hikmah lama: Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya – yakni aspirasi strategik itu sendiri. Mereka merupakan aset bagi Universiti pada masa hadapan dan pelaburan untuk membina kepemimpinan pelapis yang perlu diasuh secara sistematik demi memastikan kelangsungan USIM kelak.

Warga USIM perlu bersedia untuk berubah dalam dunia tanpa sempadan pada hari ini. Perasaan sayangkan Universiti perlu dipupuk dengan menanamkan tekad untuk bersama-sama membantu menjayakan agenda USIM. Jadikan hari ini lebih baik daripada semalam agar kita semua lebih mempunyai ciri-ciri keyakinan sebagai seorang yang inginkan kebaikan sejagat. Pandai pula mengolah inovasi dan kreativiti yang boleh membantu Universiti untuk mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan, penghasilan teknologi baru dalam membawa perubahan yang menyumbang kepada kemajuan ilmu dan Universiti kelak. Pokoknya, kita perlu menjadi insan bermaruah dan berhemah tinggi sebagai seorang Islam yang prihatin berdisiplin serta bertaqwa.