Keunikan INFAD
Pada masa ini terdapat beberapa badan fiqh Islam (majma’ al-Fiqh al-
Islami) secara am di beberapa negara Islam di dunia. Antara yang
terkenal ialah seperti Majmac al-Fiqh al-Islami di Jedah, Sudan dan
India, juga Majmac al- Fiqh al-Islami, Rabitah al-Alam al- Islami.
Antara fungsi badan-badan ini ialah mengeluarkan fatwa dan menjawab
persolan-persoalan yang ditimbulkan sama ada oleh orang-orang Islam
atau bukan Islam. Terdapat juga pusat-pusat akademik Islam yang
menjalankan kajian yang ada kaitan seperti Pusat Kajian Islam di Mesir
dan Pusat Kajian Sunnah di Qatar.
Di samping itu, terdapat institusi-institusi lain yang menjalankan
usaha mengumpul pandangan ulama silam dan moden dalam berbagai-bagai
bidang dan disiarkan menerusi penerbitan dan juga diterbitkan dalam
bentuk cakera padat dan disiarkan menerusi internet dan laman-laman
web seperti laman web Ibn Baz, Shanqiti, Fatwa Online, Islam Online
dan Darul Ifta’, Affrika Selatan. Akses fatwa secara langsung menerusi
internet boleh didapati daripada beberapa orang ulamak di dunia secara
pandangan individu atau atas nama pertubuhan, seperti Darul Ifta’ dan
Al-Azhar House of Fatwa.
Walau bagaimanapun, pusat-pusat kajian dan pandangan individu dan
pertubuhan menerusi internet tersebut tidak memfokuskan kepada kajian
fatwa secara menyeluruh dari segenap aspek, tetapi sekadar menumpukan
kepada memberi jawapan mengikut mazhab-mazhab tertentu atau respons
kepada persoalan-persoalan yang diminta difatwakan atau kajian-kajian
umum mengenai mazhab-mazhab fekah tanpa memberi penumpuan kepada
kajian yang menyeluruh terhadap persolan fatwa, lebih-lebih lagi tidak
dibuat kajian mengenai berbagai-bagai fatwa secara global dan tidak
menjadi sumber maklumat fatwa seluruh dunia seperti mana yang akan
dilakukan oleh INFAD.
INFAD
juga merupakan institusi pertama yang ditubuhkan di Institusi
Pengajian Tinggi di Malaysia dan di dunia. Ia bukanlah sebuah badan
yang mengeluarkan “fatwa” dan tidak akan mengambil alih fungsi
badan-badan rasmi fatwa di dalam dan di luar negara. INFAD
lebih
merupakan badan penyelidikan dan perundingan yang menyediakan input
berdasarkan penyelidikan, maklumat dan kepakaran yang berwibawa yang
boleh membantu memantapkan institusi fatwa dan membantu pihak-pihak
berkenaan dalam membuat keputusan dan menerangkan sesuatu dasar yang
diperlukan atau membekalkan, atau menjadi sumber maklumat
authoritative yang terurus kepada institusi-institusi penyelidikan
atau pihak-pihal lain yang memerlukannya.
Di negara-negara Islam, aktiviti mengeluarkan fatwa dilakukan oleh
sama ada institusi-institusi atau pertubuhan persendirian seperti
Pertubuhan Muhammadiah dan Nahdatul ‘Ulama’ di Indonesia, atau
institusi rasmi kerajaan seperti di Malaysia. Di negara ini, fungsi
mengeluarkan fatwa termasuk dalam bidang undang-undang Islam atau
hukum syarak yang diberi bidang kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan
kepada Negeri-negeri dan Persekutuan bagi Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Tugas mengeluarkan fatwa diberikan
kepada Mufti yang akan dibantu oleh Jawatankuasa Fatwa yang diberi
nama yang berbeza oleh negeri-negeri. Penyelidikan akan dilakukan
sebelum dikeluarkan sesuatau fatwa jika diperlukan.
Di peringkat Persekutuan, diwujudkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
pada tahun 1970 yang diletak di bawah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal
Ugama Islam, Malaysia dan kemudiannya di bawah Bahagian Hal-Ehwal
Islam (BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1984 dan akhir
sekali di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan
Perdana Menteri pada tahun 1997. Fungsi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
ialah membincang dan menyelaras isu-isu fatwa di peringkat, atau yang
mempunyai kepentingan nasional.
Sifat dan bidang tugas pertubuhan atau badan-badan fatwa di luar
negara dan jawatankuasa-jawatankuasa fatwa di peringkat negeri dan
pusat di Malaysia adalah berbeza dengan matlamat dan objektif INFAD
yang fungsinya jauh lebih menyeluruh, multidimensi dan global.
|