Prof. Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab. Aziz
Prof. Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab. AzizFakulti Ekonomi dan Muamalat

Perbankan Islam suatu masa dahulu yang hanya merupakan sektor dan institusi alternatif kepada umat Islam kini telah berkembang dengan begitu pesat sekali. Perbankan Islam kini telah menjadi pilihan utama dalam melakukan transaksi perbankan sama ada untuk deposit, pembiayaan mahupun perkhidmatan-perkhidmatan lain oleh orang Islam dan bukan Islam di negara ini. Terdapat pelbagai faktor bagi kejayaan ini namun, faktor yang paling dominan adalah keyakinan pelanggan dan pelabur terhadap produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh institusi-institusi perbankan Islam yang menyebabkan permintaan terhadapnya semakin tinggi dan menyerlah dari tahun ke tahun.

Jika kita susuri sejarah penubuhan perbankan Islam di negara ini, kita dapati bahawa proses untuk merealisasikan institusi perbankan tanpa riba dan mengamalkan prinsip muamalat Islam yang lebih adil dan saksama ini bukan berlaku dengan sendiri tanpa perancangan dan sumbangan besar golongan pakar, ahli akademik dan pengamal industri. Hasil gabungan, kerjasama dan sumbangan pelbagai pihak telah berjaya menghasilkan satu institusi perbankan Islam yang mantap dan kompetitif seperti perbankan konvensional.

Idea untuk membebaskan umat Islam daripada transaksi riba telah mula dilontarkan sejak 1940 lagi dalam pelbagai bentuk tulisan bagi mempromosikan sistem ekonomi yang lebih adil dan telus. Kesedaran umat Islam di seluruh dunia mula berkembang pesat sejak tahun 1970-an dengan penubuhan beberapa institusi perbankan Islam seperti Islamic Development Bank (1975), Dubai Islamic Bank (1975), Faisal Islamic Bank dan Kuwait Finance House (1977). Di Malaysia, hasil daripada berkuatkuasanya Akta Perbankan Islam pada tahun 1983, maka tertubuhlah institusi perbankan Islam sepenuhnya iaitu Bank Islam Malaysia Berhad. Pada tahun 1999, bank Islam kedua di negara ini pula telah ditubuhkan yang dikenali sebagai Bank Muamalat Malaysia Berhad. Kini, sejumlah 16 institusi perbankan Islam sama ada di bawah pemilikan tempatan atau asing sedang beroperasi dengan rancak di negara ini.

Tidak dapat dinafikan, sejak penubuhan perbankan Islam sehingga kini pelbagai tanggapan yang serong dan tidak tepat telah dilontarkan kepada sistem perbankan Islam yang diambil kerangka dan asas operasinya daripada perbankan konvensional. Harus difahami bahawa, walaupun perbankan Islam cuba untuk mengaplikasikan sistem muamalat dan ekonomi Islam secara sepenuhnya namun, disebabkan kerangka asas yang digunakan termasuklah melibatkan perundangan dan urus tadbir sektor dan institusi lain yang masih dilihat bersifat konvensional, agak sukar institusi perbankan Islam untuk memenuhi objektif sebenar institusi ini ditubuhkan sepenuhnya. Perbankan Islam masih terikat kepada beberapa sistem konvensioanl seperti pengukuran risiko dan keuntungan yang menggunakan ukuran konvensional sepenuhnya termasuklah bagi keperluan pelaporan, BASEL dan piawaian tertentu. Perkara ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi urus tadbir dan operasi perbankan Islam yang dilihat tidak memenuhi kehendak Islam sepenuhnya dalam membangunkan ekonomi ummah berasaskan ekonomi Islam yang harus lebih adil, saksama dan membantu golongan kurang berkemampuan.

Walaupun perbankan Islam mempunyai urus tadbir dan perundangan sendiri seperti yang termaktub dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam atau IFSA 2013 serta Kerangka Urus Tadbir Syariah, namun perbezaannya tidaklah begitu ketara dengan kerangka dan urus tadbir konvensional, cuma terdapatnya keperluan untuk mempunyai jawatankuasa Syariah di peringkat institusi perbankan Islam terbabit juga di peringkat BNM yang dikenali sebagai Majlis Penasihat Syariah. Pengawasan oleh penasihat Syariah di kedua-dua peringkat adalah sangat baik bagi keberkesanan urus tadbir perbankan Islam namun, terdapat suara-suara yang merasakan kebebasan dan ketelusan belum sepenuhnya dapat tercapai memandangkan penasihat Syariah terbabit diberi ganjaran dan dibayar elaun dari institusi perbankan Islam tersebut dan bukannya dari institusi yang bebas dan berasingan. Di sinilah aspek kebebasan (independence) penasihat Syariah yang dilantik perlu diteliti agar proses pembuatan keputusan yang dilakukan tidak memberi kesan yang tidak wajar kepada industri.

Bagi menangani beberapa isu yang dibangkitkan, penulis merasakan telah tiba masanya perbankan Islam perlu mula mengorak langkah bagi melakukan beberapa inovasi bagi menangani isu-isu yang berbangkit demi menambah keyakinan pelanggan dan pelabur dalam dan luar negara terhadap institusi perbankan Islam ini. Inovasi yang ingin dicadangkan ini meliputi aspek urus tadbir Syariah, produk dan perkhidmatan, teknologi terkini serta khidmat pelanggan bagi memastikan kepuasan pelanggan tercapai. Dari segi urus tadbir Syariah yang lebih bebas, dicadangkan tempoh lantikan penasihat Syariah bagi sesebuah institusi perbankan Islam itu dihadkan kepada tempoh-tempoh tertentu dan penasihat Syariah juga disaran untuk bertukar ke institusi perbankan Islam yang lain selepas beberapa tempoh memberi nasihat dan pandangan kepada satu-satu institusi. Ini bagi mengelak rasa selesa dan keengganan untuk berubah kepada aspek yang lebih baik dan positif pada masa hadapan. Begitu juga, lantikan bagi penasihat Syariah yang baharu juga perlu diraikan dari masa ke semasa memandangkan kini terdapat ramai pakar yang baharu di dalam industri ini disebabkan jumlah graduan dan pakar dalam bidang ini semakin meningkat dari tahun ke tahun. Pakar yang baharu ini dijangkakan dapat memberi input terkini dan lebih inovatif ke arah perkembangan yang lebih positif dan baik kepada industri.

Dari sudut penawaran produk dan perkhidmatan, institusi perbankan Islam harus mula menonjolkan aspek inovatif dan bukan hanya meniru semua produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh perbankan konvensional semata-mata. Produk dan perkhidmatan yang dapat membantu golongan yang kurang kemampuan patut diperkenalkan berasaskan akad-akad dalam muamalat Islam seperti infaq, sedekah dan wakaf. Pelbagai instrumen boleh diperkenalkan melalui asas infaq ini yang dapat menjamin kelestarian pembangunan ekonomi ummah dan tidak hanya tertumpu kepada golongan yang berkemampuan dan kaya semata-mata. Walaupun terdapat beberapa usaha telah dilakukan  ke arah ini namun, langkah yang lebih besar dan drastik perlu dilakukan dari masa ke semasa. Dari segi teknologi semasa, perbankan Islam harus lebih berani untuk membuat pelaburan yang lebih besar dalam teknologi terkini agar sistem yang digunapakai adalah sesuai dengan kehendak semasa dan tidak menimbulkan sebarang isu semasa transaksi dilakukan seperti terlalu lambat, sukar akses juga isu sekuriti bagi transaksi yang dilakukan tersebut.

Selain itu, perkhidmatan kepada pelanggan juga harus ditingkatkan dari masa ke semasa di mana keperluan dan kepuasan pelanggan haruslah sentiasa diambil kira dan menjadi pertimbangan yang utama dalam urusan transaksi perbankan harian. Ini amat penting kerana dalam dunia persaingan pada hari ini, institusi perbankan Islam tidak hanya dilihat bersaing dengan perbankan konvensional dalam dan luar negara malah, bersaing sesama sendiri dalam industri yang sama sama ada dengan institusi perbankan Islam tempatan atau luar negara. Tentunya, yang paling berjaya memenuhi kehendak dan memastikan kepuasan pelanggan terjaga akan sentiasa terkehadapan dan akan mengatasi institusi-institusi yang lain.

Justeru, penulis merasakan kejayaan, peranan dan sumbangan besar yang telah dimainkan oleh perbankan Islam di negara ini perlu terus disemarakkan dan ditingkatkan dengan melakukan perubahan yang lebih positif dan inovatif yang menarik dan unik bagi memastikan perbankan Islam tetap kekal relevan sebagai wadah transaksi umat Islam dan bukan Islam di negara ini berasaskan prinsip muamalat Islam yang ditunjangi oleh asas keadilan dan keluhuran dalam sistem ekonomi Islam. Peranan perbankan Islam dalam menyediakan produk dan perkhidmatan yang patuh Syariah dan yang dapat memenuhi keperluan dan kepuasan pelanggan patut diberikan pujian yang tinggi dalam usaha untuk memartabatkan muamalat Islam dalam arus kemodenan sistem kewangan dunia semasa.