Majlis Perwakilan Pelajar adalah merupakan suatu lapangan yang terbaik untuk membentuk dan mengasah bakat kepemimpinan di kalangan pelajar dalam memimpin masyarakat pelajar. Ia juga bertindak sebagai penghubung antara pelajar, pensyarah dan pihak pengurusan. Justeru, saya menyeru kepada diri saya sendiri dan seluruh rakan-rakan untuk memberikan khidmat yang terbaik serta komitmen yang tinggi terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan dalam menjayakan misi dan wawasan universiti.
Berteraskan slogan Mesra, Progresif, dan Prihatin, Majlis Perwakilan Pelajar USIM sebulat suara berittifaq meletakkan 4 paksi utama sebagaimana dinyatakan tadi, untuk diperjuangkan sepanjang tempoh lantikan sesi 2007/2008. Sekali lagi ingin saya nyatakan 4 paksi tersebut :
-
Kebajikan Pelajar
-
Intelektualisma
-
Sahsiah dan Integriti
-
Pengantarabangsaan
1. Kebajikan Pelajar
Mahasiswa USIM merupakan entiti utama dalam menentukan kepemimpinan di kalangan mahasiswa. Menerusi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar baru-baru ini, seluruh mahasiswa USIM telah menunjukkan kematangan mereka dengan menunaikan tanggungjawab memilih barisan pimpinan yang mereka inginkan. Saya suka untuk merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh mahasiswa USIM yang sekali lagi berjaya mengangkat martabat universiti dengan mencapai peratusan tertinggi pengundian pada pemilihan kali ini sebanyak 96.8%. Justeru, aspek kebajikan mahasiswa dijadikan hadaf kepemimpinan kami yang utama. Antara fokus kami yang utama adalah seperti kemudahan infrastuktur, pinjaman, biasiswa dan kesihatan mahasiswa.
2. Intelektualisma
MPPUSIM berusaha menyusun beberapa program yang menjurus ke arah budaya berfikir seperti seminar pemikiran sarjana Islam, dialog antara agama dan wacana-wacana ilmiah selain program-program berteraskan kepentingan akademik. Ini selaras dengan objektif USIM dalam meneroka dan mengembalikan tradisi keilmuan Islam yang terbilang sesuai dengan persekitaran dan teknologi terkini.
3. Sahsiah dan Integriti
Adalah menjadi suatu harapan dan cita-cita negara untuk membina modal insan yang cemerlang dari pelbagai sudut dan mempunyai nilai integriti yang tinggi dalam kehidupan. Malaysia memerlukan modal insan yang tidak saja cenderung dalam dunia sains dan teknologi, komunikasi dan telekomunikasi, tetapi amat menuntut di kalangan mereka pemahaman terhadap nilai agama yang sifatnya universal dan nilai bersama yang baik dan boleh dikongsi. Sahsiah terpuji dan nilai integriti yang baik merupakan teras penting dalam pembinaan sesebuah tamadun. Justeru, MPPUSIM pada sesi ini akan lebih memberikan penekanan dan tumpuan terhadap pembinaan sahsiah dan meningkatkan integriti mahasiswa. Melalui Biro Pembangunan Insan, kami merancang untuk mengadakan beberapa program peningkatan sahsiah termasuk Minggu Integriti Mahasiswa. Antara modus operandi yang dirancang juga ialah mengadakan kempen pengangguran sifar dalam mendedahkan dunia kerjaya kepada mahasiswa USIM. Kami juga akan menjalinkan kerjasama yang baik dengan pihak JAKSA, Kelab-kelab dan persatuan-persatuan yang mempunyai matlamat yang sama dalam meningkatkan sahsiah mahasiswa.
4. Pengantarabangsaan.
USIM kini menjangkau usia 7 tahun penubuhannya dan berada di dalam fasa yang kedua yang menekankan pembinaan imej dan citra USIM. Kementerian Pengajian Tinggi telah merangka Plan Strategik Pengajian Tinggi Negara melalui teras yang ketiga berhasrat untuk membangunkan sekurang-kurangnya 20 pusat kecemerlangan ilmu yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dari sudut penyelidikan, penerbitan, dan pengkomersialan. MPP sentiasa bersedia membantu universiti bagi menjadikan USIM sebagai pusat keilmuan pengajian Islam yang kompetitif dan terkehadapan. Bagi merialisasikan harapan tersebut, pemupukan minda kelas pertama dalam memperkasa pemikiran global di kalangan mahasiswa USIM menjadi fokus utama. MPP bercita-cita untuk mewujudkan kesedaran yang tinggi dikalangan mahasiswa yang sentiasa responsif dan prihatin dalam isu-isu antarabangsa yang berkait rapat dengan ummah. Justeru, MPP berusaha untuk mengadakan diskusi ilmiah yang berkaitan dengan isu-isu global untuk manfaat mahasiswa keseluruhannya. Kami juga ingin membawa mahasiswa USIM mendepani isu-isu di peringkat antarabangsa seperti menghulurkan bantuan dan sumbangan seperti Tabung Gempa Nusantara, Tabung Bantuan mangsa perang, dan sebagainya. Kami percaya, dengan adanya mahasiswa yang peka dengan isu-isu sekeliling, USIM akan menjadi sebuah institusi pengajian yang disegani kelak kerana hasil acuan didikan yang diprogramkan di sini telah memberikan sebuah pakej lengkap untuk membekalkan tenaga pemimpin sebuah negara Islam yang maju pada masa hadapan. Ini sekaligus bukan sahaja meletakkan USIM gah di mata dunia pendidikan Malaysia, bahkan juga menjadi sebutan di persada dunia pendidikan antarabangsa.

MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA
"MESRA, PROGRESIF,PRIHATIN"