PROFIL

YAHYA BIN YUSOF
Pengurus Badan Amal Nur Zaharah

Alma mater: Sarjana Muda Kehakiman, USIM

Yahya bin Yusof berasal dari Cambodia. Menyedari akan kepentingan hidup berdikari di negara orang untuk menuntut ilmu, Yahya telah mula terlibat dengan kerja-kerja sampingan bagi menampung perbelanjaan semasa bergelar mahasiswa di Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) (sekarang USIM) di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Walaupun sibuk dengan kuliah dan kerja sampingan yang dijalankan, Yahya turut bergiat aktif dalam aktiviti mahasiswa. Beliau telah dilantik sebagai Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) semasa di tahun kedua pengajian, serta menjadi Presiden Jawatankuasa Asrama (JAKSA) semasa di tahun ketiga.

Yahya berjaya menamatkan pengajian dengan Sarjana Muda Kehakiman pada tahun 2004. Selepas itu, beliau meneruskan pengajian dengan mengambil Diploma in Law and Administration of Islamic Judiciary (DAIJ) di Universiti Islam Antarabangsa. Walaubagaimanapun, menyedari akan bidang kehakiman yang memerlukan ketekunan yang tinggi terutama dalam aspek penulisan kehakiman, maka Yahya mengambil keputusan untuk beralih bidang. Beliau bekerja di salah sebuah syarikat di ibu kota selepas tamat DAIJ.

Dari segi latihan keusahawanan yang diperolehi, menurut Yahya, beliau memulakan perniagaan selepas tamat peperiksaan akhir di KUIM. Beliau bersama  rakan-rakan rumah sewanya berkongsi modal membeli sebuah mesin basuh dan menjalankan perniagaan door-todoor laundry service. Dengan harga RM2.40 bagi sekilogram pakaian untuk dicuci, Yahya bersama rakanrakannya mendapatkan pelanggan di kalangan junior mereka di KUIM.

Penglibatan Yahya dalam menguruskan Badan Amal Nur Zaharah di Janda Baik, Pahang bermula pada tahun 2005 apabila majikannya yang berhasrat untuk membuka rumah kebajikan memohon beliau untuk merealisasikan niat tersebut. Tapak tanah kompleks rumah kebajikan ini diwaqafkan oleh majikannya sendiri. Walaubagaimanapun, sebelum benar-benar percaya dengan kebolehannya menguruskan rumah kebajikan, Yahya membuat kajian mendalam dan pergi ke Singapura untuk belajar sistem pengurusan rumah kebajikan yang digunakan oleh negara tersebut. Menurut Yahya, pelbagai maklumat berguna diperolehi semasa beliau berada di Singapura selama dua bulan dan apabila pulang ke Malaysia beliau mengaplikasikan apa yang telah dipelajari di sana.

Antara perkara penting yang menjadi perhatian Yahya adalah dari segi pengurusan  kewangan bagi rumah kebajikan yang diuruskan beliau. Menurut Yahya, beliau tidak mahu rumah kebajikan yang diuruskan hanya bergantung harap kepada belas ihsan orang ramai sematamata. Atas dasar itulah maka Yahya memulakan beberapa aktiviti keusahawanan bagi menampung perbelanjaan Badan Amal Nur Zaharah.

Pada awalnya, pendapatan rumah kebajikan yang  menempatkan hampir 60 orang anak-anak ini diperolehi daripada aktiviti pengkomersilan hasil daripada projek penanaman sayur organik, penternakan kambing dan ikan. Hampir ratusan ribu dilaburkan bagi ketiga-tiga projek ini yang dilaksanakan di Janda Baik, Pahang. Walaubagaimanapun, langit tidak selalu cerah. Tanah yang digunakan bagi menjalankan ketigatiga projek ini  diambil semula oleh pemiliknya. Justeru, Yahya terpaksa mengurangkan aktiviti pertanian ini ke kawasan lain yang lebih terhad. Kini, aktiviti pertanian yang dijalankan cuma untuk menampung bekalan makanan harian bagi rumah kebajikan ini dan bukan untuk dikomersilkan seperti sebelumnya.

Kini, aktiviti penanaman sayuran organik dijalankan di kawasan baharu yang lebih kecil serta konsep petani volunteer diperkenalkan. Konsep yang dilaksanakan ini adalah di mana volunteer di kalangan warga tua diajar cara bercucuk tanam sayuran organik bagi mengisi masa lapang mereka di samping mereka memberi sumbangan kewangan kepada rumah kebajikan ini. Selain itu, secara tidak langsung para volunteer ini mengajak rakan-rakan mereka yang lain untuk turut sama menyumbang kepada rumah kebajikan ini.

Selain aktiviti pertanian, Yahya turut mengembangkan perniagaan bagi menampung perbelanjaan rumah kebajikan dengan menguruskan chalet dan resort yang terdapat di Janda Baik iaitu Danau Daun, Seri Melayu dan Cengal Resort.

Kini, Yahya yang telah mendirikan rumah tangga bersama seorang wanita lulusan Darul Quran dan dikurniakan dua orang anak meneruskan kehidupan berbakti kepada masyarakat di Janda Baik di samping melakukan jihad ekonomi. Pesanan Yahya, “Untuk jihad ekonomi, kita memerlukan dana yang banyak. Jadi, berniagalah. Berniaga memang menyeronokkan terutama apabila telah berjaya mendapat keuntungan. Kami pun pernah dapat RM1 juta sebulan. Namun begitu, jangan leka dengan keseronokan dan perlu sentiasa fikir ke hadapan supaya perniagaan yang dijalankan tidak terhenti separuh jalan.”

*dipetik dari Buku Biografi Usahawan Alumni USIM
(Terbitan Pejabat Perhubungan Alumni dan Pejabat Pembangunan Keusahawanan Siswa ~Tahun 2014)

Related Video