NILAI, 25 OGOS 2017 – Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diberi kepercayaan dan amanah baharu yang membanggakan warga universiti ini apabila beliau dilantik oleh Majlis Raja-Raja sebagai Ahli Dilantik Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).

Perkenan pelantikan ini daripada Majlis Raja-Raja diterima secara rasmi melalui Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dengan tempoh lantikan beliau berkuatkuasa mulai 16 Julai 2017 hingga 31 Disember 2019.

Surat lantikan ini disampaikan sendiri oleh Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Dato’ Haji Othman Mustapha kepada Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad di Canselori USIM pada semalam.

Selaku Setiausaha Jawatankuasa Fatwa MKI, Tan Sri Dato’ Haji Othman Mustapha mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Naib Canselor USIM atas pelantikan ini. Beliau turut meletakkan keyakinan melalui pelantikan ini, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad dapat bersama-sama memberikan sumbangan, pandangan dan idea dalam membantu Jawatankuasa Fatwa MKI melaksanakan fungsinya.

Menurut kenyataan Pegawai Pejabat Naib Canselor USIM, Encik Mohd Saifullah Zulkapli menyatakan bahawa pelantikan Profesor Dato Dr’ Musa Ahmad sebagai Ahli Dilantik Jawatankuasa Fatwa MKI adalah bagi mewakili golongan profesional dan pakar.

“Pelantikan Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad untuk menganggotai Jawatankuasa Fatwa MKI adalah satu kebanggaan kepada warga USIM. Dengan ketokohan kepimpinan, pengalaman dan latar belakang sebagai ahli akademik yang cemerlang, kita menyakini beliau dapat menunaikan amanah ini dengan sebaiknya. Warga Universiti mendoakan semoga lantikan ini memberi manfaat yang signifikan kepada pembangunan USIM yang menuju ke arah kampus barakah,” ujar Saifullah.

Dilahirkan di Panchor, Muar Johor, beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kelas Pertama) dalam jurusan Kimia (UKM, 1985); Master (Instrumention and Analytical Science) (University of Manchester, 1987) dan PhD (Optical Fibre Chemical Sensor) (University of Manchester, 1994). Sempena Hari Keputeraan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-65 pada 2013, beliau dianugerahkan pingat Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang membawa gelaran Dato’.

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204