NILAI, 17 Ogos – Latihan yang diterapkan oleh Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang diikuti oleh mahasiswa dilihat mampu membentuk kualiti yang diperlukan dan melahirkan generasi muda yang sempurna. Ini kerana semua modul yang diterapkan adalah untuk membentuk sifat kepimpinan, dedikasi dan semangat kerjasama yang tinggi.

Keyakinan itu dizahirkan oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud dalam titah ucapannya sempena Majlis Santapan Malam Regimental Pegawai Muda PALAPES Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Siri Satu pada Rabu malam di Lexis Hibiscus Hotel, Port Dickson.

Baginda yang juga merupakan Canselor USIM turut bertitah bahawa kejayaan mengikuti program PALAPES ini juga memberi nilai tambah kepada kecemerlangan dalam bidang akademik seseorang mahasiswa universiti.

“Dalam arus globalisasi hari ini, cabaran dari segi sosial, ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa adalah lebih kompleks. Negara memerlukan generasi muda yang mempunyai kekuatan minda, kecekalan hati, berkemahiran dan berkeupayaan tinggi yang mampu memenuhi aspirasi negara,” titah Baginda.

Majlis Santapan Malam Regimental ini dianjurkan bagi meraikan 85 orang Pegawai Muda PALAPES USIM yang telah berjaya ditauliahkan secara rasmi sebagai Leftenan Muda (Lt M) dalam Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-36 pada 12 Ogos lalu di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam yang disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Sementara itu, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM merangkap Komandan PALAPES USIM melahirkan rasa bangga apabila USIM kini telah memiliki Markas PALAPES sendiri setelah tujuh tahun bergabung dan bergerak bersama PALAPES Unversiti Kebangsaan Malaysia semenjak tahun 2009.

“Alhamdulillah, segala perit jerih bagi menubuhkan Markas PALAPES sendiri tertunai dan Pegawai Muda yang diraikan pada malam ini merupakan kohot (kumpulan) pertama Pegawai Muda PALAPES yang dilahirkan sendiri dari Markas PALAPES USIM. Tahniah!!,” ujar beliau.

Dalam majlis ini, DYMM Tuanku Aishah turut berkenan menyampaikan anugerah khas kepada Pegawai Muda PALAPES USIM yang cemerlang iaitu Lt M Ahmad Abrar Adam Malik, 22 (Anugerah Canselor); Lt M Muhammad Abdul Rahmah, 22 (Anugerah Komandan); Lt M Muhammad Syairani Mohd Pirdaus, 23 (Anugerah Timbalan Komandan) dan Lt M Fatimah Adilah Elias, 22 (Anugerah Ketua Jurulatih). Selain itu Baginda turut berkenaan menyampaikan Watikah Kurnia Penghargaan kepada setiap Pegawai Muda yang berjaya ditauliahkan.

Turut meraikan para pegawai muda di majlis ini ialah Profesor Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merangkap Timbalan Komandan PALAPES USIM; Profesor Dato’ Dr Zulkiple Abd Ghani, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa); Encik Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar; dan Mejar Amran Omar selaku Ketua Jurulatih PALAPES USIM.

PALAPES merupakan salah satu kursus badan beruniform berkredit yang ditawarkan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah USIM. Siswa universiti yang dipilih untuk menjadi pegawai kadet PALAPES akan mengikuti kursus dan latihan selama enam semester (tiga tahun) sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda.

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204