Ahmad Shaher Mohd Fuad, 26 tahun, berasal dari Teluk Intan Perak merupakan anak kedua dari tiga beradik. Beliau adalah salah seorang alumni Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selayaknya perlu dibanggakan apabila beliau kini telah berjaya membina kerjayanya sebagai Peguam Syarie di firma guaman sendiri. Pencapaian cemerlang yang dipamerkan memberi petanda bahawa para graduan USIM sebenarnya mampu untuk mencipta impian sendiri dan berdikari menggapai cita-cita selepas tamat pengajian. Berikut adalah perkongsian bersama Ahmad Shaher sebagai suntikan semangat dan motivasi buat seluruh warga USIM.

S1Latar belakang

“Saya merupakan anak seorang anggota Polis dan ibu saya pula seorang suri rumahtangga sepenuh masa. Saya bergraduat dari USIM pada tahun 2015 dan pada masa yang sama mengikuti pengajian Diploma Amalan Kehakiman Syariah dan Advokasi (DIJAP).

S2Langkah awal bina kerjaya

“Setelah tamat pengajian, saya mengikuti Chambering (Pelatih dalam kamar) di Tetuan Nizam, Harlina & Co. Setelah menyelesaikan Chambering ini, dalam bulan April 2016 saya bersama dengan beberapa rakan membuka Firma Guaman kami sendiri iaitu Peguam Syarie : Shazril Khairy Mustafa & Associates”.

S3Kerjaya Peguam kerana minat

“Kerjaya sebagai Peguam memang saya amat minat sejak dari kecil lagi. Bidang guaman istimewa bagi saya kerana ia dapat membantu masyarakat yang memerlukan bantuan pengadilan bagi sesuatu perkara. Pada masa yang sama, saya dapat membantu bagi memartabatkan perundangan Islam melalui penglibatan sebagai Peguam Syarie. Saya berharap lebih ramai lagi graduan dalam bidang Syariah dan Undang-undang menyertai kerjaya ini kerana bidang ini masih banyak peluang untuk berkembang maju pada masa akan datang”.

 

S4 Pengalaman beri kelebihan

“Saya telah didedahkan dengan bidang ini semasa menuntut di Sekolah Menengah Agama Kebangsaan Ahmad Said yang merupakan Sekolah Angkat, USIM. Namun begitu, saya merupakan pelajar rayuan di Pusat Tamhidi (Matrikulasi), USIM. Sebagai pelajar rayuan, kemasukan saya ke Program Tamhidi, USIM agak lewat dan ini menyebabkan saya ketinggalan dengan pelajar pengambilan pertama.

Tetapi itu bukan menjadi penghalan untuk saya berjaya, maka sejak daripada memasuki Program Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang (SMSU), FSU, USIM saya telah menyertai Kelab Debat yang banyak mengasah bakat saya berhujah dan berpidato. Hasilnya saya telah dipilih sebagai Pendebat Bahasa Inggeris USIM”.

“Pada masa yang sama, saya juga menyertai saban tahun Pertandingan Mahkamah Moot bagi membiasakan diri dengan simulasi di mahkamah. Ini membolehkan saya menyediakan persiapan hujah-hujah dengan lebih kemas dan sistematik. Pengalaman ini banyak membantu saya dalam meningkatkan keyakinan diri untuk berhujah dalam mahkamah dan pada masa yang sama membantu saya dalam pengurusan pejabat”.

“Saya amat berterima kasih kepada USIM kerana berjaya membentuk saya hingga mampu menjadi seorang Peguam Syarie. Semasa menuntut di FSU, USIM, saya dan rakan-rakan telah diberikan ilmu perundangan sivil dan syariah. Kombinasi antara kedua-dua bidang ini membantu kami melihat aspek perundangan dalam pelbagai perspektif. Ini membantu membina graduan dalam bidang guaman Syariah dan sivil yang mampu mengupas sesuatu kes dengan lebih mendalam lagi”.

S5 Tenang lalui kesukaran dan cabaran

“Apa-apa kerjaya pun mesti mempunyai halangan dan cabarannya. Ia tidak terkecuali dalam bidang Guaman Syarie ini. Cabaran utama sebagai Peguam Syarie ialah dalam menguruskan permohonan kerana setiap negeri di Malaysia mempunyai kriteria dan syarat yang berbeza. Setiap Peguam Syarie yang baru mestilah tenang dan bersedia daripada segi mental dan kewangan sebelum menceburi dalam bidang ini. Semua akan terasa berbaloi setelah ditauliahkan sebagai Peguam Syarie nanti”.

“Selain itu, masih terdapat persepsi mengenai Peguam Syarie jika dibandingkan dengan Peguam Sivil. Persepsi ini menyebabkan kerjaya dalam bidang ini tidak mendapat tempat di kalangan mahasiswa. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, situasi tersebut semakin berubah kerana usaha Kerajaan untuk memperkasakan sistem perundangan Islam. Ini secara tidak langsung mengangkat martabat Peguam Syarie dan Mahkamah Syariah di negara ini”.

S6 Punya impian tersendiri

“Saya mempunyai dua impian peribadi yang saya tanamkan sejak dari kecil iaitu pertamanya ingin mempunyai sebuah Firma Guaman sendiri dan kini alhamdulilah berjaya saya realisasikan. Saya berharap Firma Guaman ini akan dapat membantu saya memperkembangkan kerjaya dalam bidang guaman khususnya bagi bidang syariah memandangkan prospek dalam bidang ini amat besar dan masih belum diteroka secara maksimum.

Saya amat berharap Firma Guaman saya ini dapat membantu memberikan bantuan latihan dan bimbingan kepada mahasiswa yang ingin menceburi diri sebagai Peguam Syarie. Ini kerana, bidang guaman Syarie masih lagi kurang popular jika dibandingkan dengan lain-lain kerjaya sedangkan potensi bidang belum dibangunkan secara optimum”.

“Keduanya, saya berhasrat untuk membina sebuah hospital yang patuh syariah dalam semua aspek kerana saya melihat bidang kesihatan mempunyai potensi yang amat besar pada masa akan datang. Namun begitu, tidak banyak syarikat bumiputera yang berani meneroka bidang ini kerana kos bagi membina dan membiayai operasi sesebuah hospital sangat tinggi. Saya berharap, hospital yang bakal dibina kelak dapat membantu pelbagai golongan yang memerlukan khususnya di kalangan warga tua dan kanak-kanak”.

S7  Usah sia-siakan peluang semasa pengajian

“Kepada mahasiswa yang ingin menceburi kerjaya sebagai seorang Peguam Syarie, pertamanya mereka mestilah mempunyai minat yang mendalam terhadap profesion ini. Ini kerana Peguam Syarie akan berhadapan dengan masalah ummah berkaitan dengan institusi kekeluargaan. Maka dengan sebab itulah, sebagai Peguam Syarie, aspek ganjaran kewangan material bukan menjadi fokus utama sebaliknya bagaimana usaha untuk mengharmonikan dan mencari penyelesaian bagi sesuatu masalah atau kes itu”.

“Justeru, saya menasihati mahasiswa agar dapat menggunakan peluang semasa di Universiti agar terlibat secara aktif dalam pelbagai aspek pengurusan organisasi, pembangunan kendiri, kewangan dan sebagainya kerana semua ilmu ini amat berguna dalam dunia kerjaya yang sebenarnya. Namun begitu, penglibatan yang aktif dalam ko-kurikulum mestilah seimbang dengan akademik kerana tahap kelulusan akademik juga penting bagi memastikan seseorang graduan itu layak memohon sesuatu jawatan”.