Pentadbir merupakan kumpulan yang tidak dapat dinafikan sumbangan dan peranan mereka dalam menggerakkan hala tuju sesebuah universiti selain dipacu oleh ahli akademik dan mahasiswanya. Sempena Sambutan Bulan Pentadbir Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang disambut pada Ogos setiap tahun, ikuti wawancara khas oleh Mohd Zaini Othman, Penolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik bersama figura penting kepada pentadbir di USIM iaitu Encik Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar USIM.

S1 Bagaimana pentadbir dan universiti itu saling berkait?

Kewujudan dan peranan pentadbir itu wujud dan berkembang selari dengan evolusi sistem pendidikan tinggi itu sendiri yang beralih dari pendidikan yang bersifat klasik kepada sebuah pendidikan kontemporari. Pada awal pendidikan tinggi wujud, ia sinonim dan bergerak sebagai sebuah pusat ilmu yang hanya berada dalam ruang lingkup ‘hubungan anak murid dan guru’ dalam menuntut ilmu semata-mata.

Walaupun dikenali sebagai pusat ilmu pada masa itu, ia tidak menjadikan peranannya seperti dilihat pada masa kini. Pada waktu itu ia belum bercakap tentang elemen fizikal, ruang dan sistem yang berada disekelilingnya. Ia hanya terbatas dan fokus kepada penyampaian dan pemahaman ilmu semata-mata kerana pusat ilmu pada masa itu dikenali hanya sebagai tempat masyarakat mencari kebenaran.

Universiti akhirnya turut berevolusi bersama revolusi yang melanda dunia, ia mula berubah dari sebuah pusat menyampaikan ilmu semata-mata kepada sebuah organisasi yang sistematik. Mempunyai kebitaraan (subject matter expert) tersendiri untuk dibezakan dengan pusat pendidikan lain, memiliki sistem peperiksaan dan penilaian keberhasilan terhadap proses pembelajaran dan pengajarannya di samping mewujudkan pelbagai bidang pengkhususan pengajian untuk memberi pilihan yang lebih besar.

Pada ketika inilah dilihatnya keperluan untuk universiti mewujudkan kluster terbaru dalam kerangka organisasinya selain kumpulan ahli akademik dan pelajar iaitu kumpulan pentadbir. Pentadbir ini adalah golongan profesional yang berkemampuan mengurus, membuat keputusan dan arif dalam sesuatu bidang seperti kejuruteraan, kewangan, tekonologi maklumat dan sumber manusia di universiti berkenaan. Kumpulan ini yang diberi kepercayaan sebagai tonggak utama untuk menguruskan universiti dari semasa ke semasa sebagai tanggungjawab hakiki mereka.

S2 Apakah fungsi pentadbir masih perlu dalam realiti semasa?

Seperti yang saya kongsikan mengenai perkaitan langsung pentadbir dan universiti, ikatan itu akan sentiasa wujud ke saat ini. Ini kerana, bermula dari keperluan pentadbir itu wujud dan penting dalam pembangunan sesebuah universiti, definisi pentadbir itu masih releven untuk dikaitkan dengan peranan pentadbir pada zaman kini. Cuma yang menjadi perbezaan sejauh mana untuk mengukur keberadaan pentadbir itu diraikan dan kelangsungannya itu diperlukan dalam ekosistem universiti yang makin mencabar.

Di sinilah kemahiran dan lonjakan pengalaman kumpulan pentadbir ini amat ditagih dan dikembangkan dalam mengemudi universiti. Atas sebab itu, saya berpandangan, peranan pentadbir itu sentiasa signifikan dari dahulu hingga kini dan mendatang. Tetapi ia perlulah disetarakan dengan kemampuan profesionalnya dalam melaksanakan fungsinya di universiti.

 

S3 Apakah yang harus pentadbir lakukan untuk menghadapi cabaran pengurusan universiti pada masa kini dan mendatang?

Pentadbir perlu melihat dan tahu membezakan untuk mewujudkan budaya followers atau leaders sebagai acuan kepada diri masing-masing. Pentadbir universiti bagi saya adalah academic civil servant, justeru mereka tidak harus terlalu terikat dan rigid kepada gaya pentabiran organisasi kerajaan diluar sana.

Kemahiran komunikasi perlu ditingkatkan dan dikuasai dengan sebaiknya, kita perlu bermain secara praktikal bukan lagi memahami teori semata-mata. Ini kerana kemahiran komunikasi yang baik akan menjadi alat yang terbaik seperti dalam proses negosiasi, bargaining power, membuat keputusan serta melaksanakan sistem penyampaian yang berkesan.

Ini yang akan menyerlahkan personaliti seorang pentadbir tersebut ditambah kualiti lain yang dimiliki individu berkenaan. Sebagai pentadbir di universiti, kumpulan ini harus mengambil satu langkah untuk memahami isu-isu semasa pendidikan tinggi secara visual dan strategik supaya tidak ketinggalan dan mampu memberi respon yang jelas dan tuntas pada setiap isu yang berbangkit.

Kewibawaan seorang pentadbir itu makin terserlah apabila ia berkeupayaan untuk membuat keputusan dan menasihati pihak-pihak berkepentingan membuat keputusan. Berada dalam organisasi yang besar seperti universiti ini, kita mempunyai pemegang taruh yang datangnya dari pelbagai peringkat yang perlu diuruskan dengan baik. Atas sebab itu pentadbir mesti mampu mengadaptasi fleksibiliti dan akomodasi perasaan itu dengan baik. Melalui cara itu, ia menjadikan pentadbir sentiasa dilihat berkepentingan dalam setiap sektor dan suasana.

Pentadbir juga perlu mampu untuk membina rangkaian yang luas dengan pelbagai pihak dan berupaya sintesis sumber-sumber rangkaian yang dimiliki ini sebagai satu energi menggerakkan universiti.

S4 Apakah penanda aras kejayaan seorang pentadbir itu ingin kita letakkan?

Bagi saya, salah satu tanda aras kejayaan seorang pentadbir itu dapat kita ukur apabila ia dapat memenuhi antara titik expectation dan experience samada kepada majikan, rakan sekerja dan para pelanggan dan kesannya dapat dirasai.

Sebagai seorang pentadbir di sebuah organisasi, kita menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk para pelanggan kita. Justeru kita perlu memastikan apa sahaja bentuk perkhidmatan itu dapat kita sampaikan sebaiknya dan pelanggan merasainya. Di sini peranan pentadbir itu penting untuk menyelia semua proses kerja pentadbiran agar mencapai matlamat yang digariskan. Jika dilihat ada kelompongan, pentadbir segera berkarya dan berinovasi untuk mencari penyelesaian.

Untuk universiti kekal lestari dan relevan, semua pihak termasuk pentadbir yang berada di dalamnya perlu sentiasa meneroka dan pantas mengadaptasi dengan isu-isu semasa, kreatif dalam bekerja dan responsive dalam menyampaikan maklum balas.

Kita tidak boleh lagi kekal dengan budaya kerja lama dan sekiranya pentadbir tidak bertindak, berfikir dan mengekang diri sendiri dari membuat pembaharuan, ini merupakan masalah yang besar. Pentadbir selaku individu yang jiwanya untuk universiti, perlu mengambil peranan menjadi seorang penyelia yang berkesan kepada semua hal ehwal pentadbiran universiti kerana kita ingin memberi manfaat kepada universiti dan pemegang taruh kita.

S5 Saranan yang ingin dikongsikan kepada Pentadbir Universiti?

Pentadbir perlu sentiasa cakna dengan perkembangan semasa yang berlaku samada bersifat lokal atau global. Amat mendukacitakan jika menjadi satu budaya dikalangan pentadbir tidak mahu mengambil tahu isu-isu semasa, kerana itu mereka akan gagal menganalisis sesuatu isu dengan tuntas dan cermat. Justeru, perlu dibudayakan dan menjadi rutin untuk pentadbir banyak membaca dan mengambil tahu segala isu-isu semasa yang berlaku di sekelilingnya.

Kita kini dalam strategi menuju “Kampus Barakah” yang menjadikan kita tidak dapat lari dari mengaitkannya dengan konsep maqasid shariah, konsep amal ma’ruf nahi munkar (menyeru kebaikan mencegah kemungkaran) dan memahami bahawa kerja itu adalah satu ibadah. Semuanya datangnya dari satu titik sentuhan iaitu qalbu (hati) individu itu sendiri. Justeru, jika semua amal perbuatan kita dirantaikan bersama elemen qalbu tersebut, kita akan melahirkan pentadbir yang relevan kepada perubahan dan perkembangan universiti.

S6 Sebagai penutup wawancara ini, apakah harapan yang Pendaftar ingin sampaikan kepada pentadbir?

Saya sentiasa berkeinginan tinggi untuk melihat pentadbir terus dilihat berwibawa dalam kedudukan strategik di universiti. Wibawa itu disandarkan kepada profesionalisma kerja dan berupaya membuat keputusan yang strategik dan matang. Selain itu, saya juga ingin menyeru untuk pentadbir sentiasa menambah ilmu pengetahuan dengan ilmu-ilmu baharu kerana kita dapat membezakan seseorang itu secara zahiriahnya dengan melihat kepada kewibawaan dan kredibiliti yang ditonjolkannya tetapi dengan inisiatif diri sendiri untuk sentiasa meneroka dan menambah ilmu pengetahuan, ia menjadikan seseorang itu lebih dinamik dan bernilai.