Kejayaan menawan Puncak Gunung Rinjani oleh YBhg Dato’ Dr Musa Ahmad, Naib Canselor bersama seramai 12 orang Pegawai PALAPES USIM membuktikan bahawa faktor usia bukanlah penghalang baginya untuk kekal cergas. Pernah menawan sebanyak tiga kali Gunung Kinabalu, kejayaan menawan puncak Gunung Rinjani memberi kenangan dan kepuasaan berbeza baginya.

Misi Kembara Muhibah Menyelurusi Khazanah Bumi Lombok pada Oktober tahun lalu bagi beliau adalah peluang untuk menjalani aktiviti riadah mendaki gunung yang lebih mencabar. Rinjani dengan ketinggian 3.726 meter di atas permukaan laut merupakan gunung kedua tertinggi di Indonesia dan tersenarai antara gunung berapi tercantik di dunia.

Walaupun mengakui aktiviti mendaki sesuatu yang mencabar, namun ia bukanlah satu alasan untuknya tidak menunaikan hak badan disamping menikmati keindahan alam Sang Pencipta. Sepanjang menempuh 3 hari pendakian, semestinya ekspedisi tersebut memberi pengalaman menakjubkan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.”

Perspektif Riadah dan Ibadah

“Alhamdulillah, misi pendakian yang direncanakan sekian lama telah selesai dengan baik dan usaha membawa kumpulan pelajar ini mendaki gunung turut mendapat pujian Kementerian. Kalau tengok rakan-rakan lain sesusia saya memang tiada yang masih memanjat gunung dan sebagainya yang memerlukan stamina seperti ini. Saya diberikan kekuatan, kudrat dan keupayaan tubuh badan untuk masih mampu melakukan aktiviti seperti ini dan kerana itulah saya mempunyai persepsi yang berbeza mengenai riadah, kecerdasan diri dan sebagainya”.

“Saya lebih suka menggunakan perkataan riadah dari perkataan konvensional seperti sukan atau bersenam kerana perkataan riadah di dalam bahasa Arab berkait rapat kepada ibadah”.

“Riadah ini merupakan satu tuntutan pada kita untuk menunaikan hak kepada tubuh. Diri kita ini mempunyai hak sepertimana anak-anak, isteri, jiran tetangga mempunyai hak kepada diri kita, dan diri kita juga mempunyai hak yang perlu kita tunaikan. Contohnya kalau kita dera diri kita selama lima hari tidak tidur, itu tidak boleh sebenarnya sebab kita tak tunaikan hak badan. Riadah ini merupakan hak badan dan ia merupakan satu sunnah Rasullulah S.A.W dan menghidupkan satu sunnah pada akhir zaman pahalanya seperti syahid. Pokok pangkalnya, semuanya berkaitan dengan niat yang betul mengapa kita beriadah ini”.

Penglibatan Awal
“Saya mula berjinak-jinak dengan memanjat gunung ketika saya diminta mewakili Naib Canselor UKM mendaki Gunung Kinabalu yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi suatu masa dulu. Kementerian meminta semua Naib Canselor mendaki bersama Tan Sri KSU, tetapi tidak ada seorang pun Naib Canselor yang turut sama mendaki, semuanya diwakilkan dan bagi kes saya, Naib Canselor wakilkan kepada dekan dan dekan kemudian wakilkan kepada saya. Saya mengambil itu sebagai satu tanggungjawab kerana saya mewakili universiti untuk memanjat Gunung Kinabalu. Saya mengambil serius perkara itu, dan mengikuti ujian saringan di sebuah hotel di Port Dickson dan saya berjaya!”

Keterlibatan dalam PALAPES USIM

“Di USIM saya telah ditugaskan sebagai Komandan PALAPES yang mana hanya mahasiswa yang terbaik dan lulus semua ujian sahaja terpilih menyertai badan beruniform ini. Melihatkan pasukan ini perlu dibentuk stamina yang tinggi, saya mempunyai peranan untuk membawa mereka mendaki Gunung Kinabalu bersama pegawai dengan menerapkan unsur Naqli dan Aqli dalam pendakian itu nanti agar aktiviti menjadi salah satu riadah ibadah yang mendekatkan kita dengan Maha Pencipta. Bermula tahun 2016, saya telah tetapkan sasaran ingin menjadikan pendakian ini sebagai satu perancangan yang akan berjaya direalisasikan”.

Mengapa Gunung Rinjani?
“Kita merancang, Tuhan yang menentukan. Pada satu ketika hati saya terdetik bahawa saya ingin membawa kumpulan pelajar ini satu pendakian gunung yang lebih mencabar dari mendaki Gunung Kinabalu. Setelah disyorkan oleh kawan-kawan, saya memilih Gunung Rinjani kerana ia merupakan di antara 7 gunung tercantik di dunia. Ia juga gunung berapi yang masih aktif dan antara gunung yang tertinggi di Indonesia. Saya memilih gunung ini kerana ia berada di luar negara dan ia dilihat amat mencabar”.

Misi Gunung Rinjani
“Seramai 12 orang telah dibawa untuk mendaki gunung ini. Bagi menjadikan tujuan misi ini lebih bermakna, sebahagian peserta bertolak lebih awal bagi melawat sekolah tahfiz yang terdapat di sana. Kami memulakan pendakian pada waktu malam dengan diiringi doa. Walaupun waktu pendakian mengambil masa sangat lama, aspek Naqli dan Aqli terus disemat untuk mendapat keberkatan sepanjang pendakian. Sepanjang pendakian tersebut, kami menunaikan ibadah solat secara berjemaah, melaungkan azan subuh dan sesi tazkirah”.

“Semua yang menyertai pendakian ini mempunyai kemahiran individu tersendiri yang dapat dimanfaatkan untuk semua ahli pasukan seperti kemahiran memasak. Justeru kita semua saling melengkapi dan mampu bekerjasama dengan baik dan saling bantu membantu. Perkara terbaik di sana ialah kami telah mendapat pemandu arah yang sangat berpengalaman dan banyak membantu melancarkan ekspedisi tersebut.”.

“Antara komen yang saya ingati dari pemandu arah ini apabila salah seorang daripada mereka memuji kumpulan kami ini. Beliau menyatakankumpulan USIM sangat berbeza dengan kumpulan pendaki lain kerana menitikkan elemen Naqli Aqli sepanjang pendakian.”

Pengalaman Menakjubkan
“Ketika pendakian itu saya hanya membawa satu tongkat dan botol air. Ketika matahari sudah ingin naik saya telah berjaya sampai ke puncak. Sepanjang perjalanan kita akan melihat danau atau tasik yang mempunyai gunung berapi. Perjalanan sangat mencabar kerana di kiri kanan terdapat danau-danau”.

“Apa yang saya lihat Allah SWT sangat memudahkan perjalanan kami. Dalam pendakian itu juga saya melihat satu kawasan seperti di Korea di mana terdapat banyak pokok pine dan kabus yang bergerak dan ia sangat cantik. Melihat keindahan alam tersebut membuatkan saya sangat mengkagumi pencipta alam. Saya juga dapat melihat air terjun panas dan ia mempunyai suhu yang pelbagai”.

“Saya juga berasa sangat bersyukur pada Allah SWT kerana seminggu selepas pendakian itu terdapat letusan gunung berapi di Rinjani dan kawasan itu telah ditutup. Saya merasakan Allah SWT sangat memudahkan perjalanan itu dan saya menitiskan air mata mensyukuri nikmat yang diberikan Allah SWT atas peluang nikmat kesihatan untuk melihat banyak tempat baru”.

Halangan dan Cabaran
“Risiko yang dihadapi oleh saya mungkin dari segi kesihatan. Kerana kita tidak melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum pendakian, tetapi saya beranggapan bahawa kumpulan PALAPES yang saya bawa ini mempunyai stamina melihatkan kepada program-program latihan fizikal yang telah mereka jalani”.

“Risiko kedua adalah tempoh pendakian ini yang panjang iaitu ia adalah pendakian selama tiga hari tiga malam, lebih lama jika dibandingkan dengan Gunung Kinabalu. Mendaki Gunung Kinabalu lebih mudah kerana kerana ia mempunyai trek yang lebih mesra alam, pemandu arah yang boleh turun bawah sekiranya ada kecemasan dan penginapan yang lengkap berbanding di Gunung Rinjani yang memerlukan kita memasang khemah saja untuk bermalam. Laluan penjalanannya juga sangat kritikal, dan kita perlu melalui lereng-lereng yang sangat curam disamping keadaan angin yang sangat kuat. Tetapi apalah pendakian tanpa risiko bukan? Risiko itu berjaya ditempuh dan akhirnya puncak Gunung Rinjani berjaya kami tawan!”.

Penjagaan Stamina
“Saya tidak mempunyai apa-apa aktiviti bagi menjaga stamina tetapi cuma beristiqomah dalam beriadah. Saya cuma kerap berjoging. Joging sebenarnya ada dua cara sama ada menggunakan treadmill (indoor) ataupun outdoor. Jika indoor kita sangat memerlukan disiplin yang tinggi kerana persekitaran yang sama dan cepat penat. Saya suka joging di salah satu taman rekreasi di Putrajaya kerana untuk menyudahkan satu pusingan di taman itu, ia mengambil jarak sekitar 8 km. Saya cenderung joging seperti ini kerana dapat merasai udara yang nyaman dan pemandangan yang mendamaikan mata”.

“Tetapi ketika usia yang makin meningkat ini, aktiviti joging kurang sesuai, jadi saya memilih aktiviti riadah melalui berbasikal pula. Malahan kini ia menjadi salah satu aktiviti rutin dalam kehidupan saya secara peribadi dan keluarga juga”.

“Saya gembira apabila USIM kini memiliki trek basikal onroad dan offroad yang terbaik di antara Universiti Awam. Berbasikal juga merupakan satu sukan yang hijau kerana ia tidak menjejaskan alam sekitar selain latihan membina stamina yang baik. USIM juga telah diangkat sebagai Pusat Kecemerlangan Sukan Berbasikal oleh Kementerian Belia dan Sukan dan sepatutnya warga USIM mengambil peluang ini dengan memanfaatkan kemudahan berbasikal yang sedia ada di dalam Universiti”.

Riadah Satu Cara Mensyukuri Nikmat
“Semua perkara menjadi ibadah apabila ia dibuat dengan niat dan mengingati Allah. Sebab itu semasa mendaki pun telah menjadi amalan saya untuk sentiasa berzikir. Sebenarnya, dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga kepada isteri dan anak-anak, aspek kesihatan yang baik amat diperlukan. Misalnya apabila kita tidak sihat, tanggungjawab dan kerja tidak dapat dilaksanakan dengan baik, malah bagaimana kita ingin merasakan kepuasan dalam beribadat kepada Allah SWT. Jadi kita perlu melihat aspek sukan ini bukanlah untuk atlet ataupun satu hobi tetapi sebagai satu ibadah”.

“Ia adalah antara aspek yang saya lihat perlu ada pada warga USIM sebenarnya. Mungkin orang lain melihat pada usia saya ketika ini, saya mendaki kerana ia merupakan satu hobi tetapi sebenarnya saya mengambil konsep mentadabbur alam”.

“Saya menjadikan riadah ini satu cara mengagungkan kebesaran Allah SWT disamping menjadikan ia sebagai satu ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Bila kita sudah menetapkan mindset semuanya akan menjadi mudah dan ia akan menjadikan kita seseorang yang mensyukuri apa sahaja yang kita ada”.