Prof Madya Dr Zulkifli Hasan
Prof Madya Dr Zulkifli HasanDekan Fakulti Syariah dan Undang-undang

Harapan yang sangat tinggi diletakkan kepada kewangan Islam untuk memberikan sumbangan yang lebih signifikan kepada pembangunan, kadar pertumbuhan ekonomi dan sektor kebajikan sosial serta mampu menjadi peneraju bagi mengurangkan ketidakadilan ekonomi dan merapatkan jurang kemiskinan. Aspirasi dan paradigma ideal kewangan Islam perlu berubah daripada ‘Financial Intermediaries’ kepada ‘Investment Intermediaries’ untuk ia lebih signifikan dan terus relevan. Ini seiring juga dengan aspirasi negara merubah institusi kewangan Islam menuju ke arah ‘value based intermediation’ menerusi pelan strategik yang dilancarkan oleh Bank Negara Malaysia.

Secara umumnya menurut pemerhatian, kewangan Islam masih lagi selesa dengan trend dan amalan semasa yang didominasi oleh pembiayaan berasaskan hutang atau ‘debt-based’ ekonomi. Gagasan agar sistem kewangan Islam ini perlu juga memfokuskan kepada aspek perkongsian risiko atau ‘risk sharing’ dilihat semakin tidak popular di pasaran ketika ini. Ada yang berpandangan ‘Risk sharing and Value-Based Economy’ ini dilihat bermasalah dan tidak sesuai diamalkan oleh institusi kewangan serta tidak efisyen bahkan bakal memberikan permasalahan lain dari pelbagai sudut termasuk pengurusan risiko dan kepatuhan beberapa peraturan kewangan.

Walaupun sistem ekonomi yang didominasi hutang dibuktikan adalah tidak stabil dan menjadi punca kepada krisis ekonomi, kewangan Islam masih dilihat terus cenderung menuju destinasi yang sama. Thomas Piketty, Profesor Ekonomi di Universiti Paris dalam bukunya ‘Capital in the Twenty First Century’ membuktikan bahawa ketaksamarataan dan pemusatan kekayaan adalah disebabkan faktor ‘the tendency of returns on capital to exceed the rate of economic growth’. Dapatan ini selari dengan kajian yang dilakukan oleh Professor Atif Mian dan Amir Sufi masing-masing Profesor di Universiti Princeton dan Universiti Chicago. Menerusi karya bertajuk ‘House of Debt’, Amir Sufi dan Atif Mian membuktikan bahawa ‘great recession and great depression’ adalah disebabkan faktor dominasi sistem kewangan berasaskan hutang yang mengakibatkan hutang isirumah yang tinggi dan seterusnya mencetuskan krisis ekonomi. Ini dikuatkan lagi oleh pandangan Professor Raguram Rajan, Profesor of Finance di University Chicago dalam bukunya ‘Fault Lines’ di mana beliau menjelaskan bagaimana sistem kewangan berasaskan hutang menjadi faktor utama fenomena ketaksamarataan dan kemiskinan.

Begitu juga kajian oleh VOX iaitu badan yang menjadi platform kepada penyelidikan oleh ramai pakar ekonomi terkemuka dunia telah memberikan gagasan khas bagi mencegah berlakunya sekali lagi ‘Eurozone Crisis’. Pakar ekonomi Eropah berpandangan bahawa ‘burying the debt seems to be the only way we can end the crisis’. Banyak lagi kajian yang telah membuktikan perkara yang sama seperti ‘the Price of Inequality’, ‘Globalization and Its Discontents’ dan ‘Freefall’ oleh Joseph Stiglitz, Pemegang Anugerah Nobel yang mengenalpasti antara faktor berlakunya krisis kewangan adalah kerana ‘excessive financialisation’ dalam sistem ekonomi. Ini dipersetujui oleh ramai pakar ekonomi terkemuka lain termasuk Jeffrey D Sachs dengan karyanya ‘the Root of Crisis’ dan Michael Spence dalam artikelnya ‘From Global Imbalances to Effective Global Governance’.

Kajian dan penyelidikan yang mengkritik amalan sistem kewangan berpaksikan ‘debt based’ umumnya adalah sangat relevan dengan perlaksanaan kewangan Islam pada hari ini. Keprihatinan ini diluahkan oleh ramai sarjana ekonomi Islam seperti Professor Nejatullah Siddiqi, Professor Umer Chapra, Professor Mehmet Asutay, Profesor Habib Ahmed dan ramai lagi yang berpandangan bahawa industri kewangan Islam tidak kebal malahan bakal dibelenggu krisis sekiranya ia tidak melakukan anjakan paradigma dan berhijrah daripada amalan sedia ada yang dilihat mengikuti jejak langkah kewangan konvensional dengan terus didominasi oleh hutang. Kajian juga menunjukkan bahawa terdapat ketidakseimbangan pada ‘asset and liabilities’ yang menjadikan institusi kewangan Islam lebih terdedah kepada risiko malahan lebih sensitive dengan pergerakan kadar faedah di pasaran berbanding dengan institusi kewangan konvensional. Lebih menarik, Syeikh Saleh Kamel antara perintis kewangan Islam juga menzahirkan perkara yang sama di mana beliau menyatakan ‘we failed to give our financial institutions any characteristics beyond simple financial intermediation’.

Reaksi yang kurang memberangsangkan dan sambutan hambar terhadap kritikan yang dilemparkan kepada industri kewangan Islam yang berpaksikan kepada ‘debt-based’ memperlihatkan bahawa ia memerlukan lebih usaha dan inisiatif berterusan untuk mempengaruhi pasaran. Berbanding dengan pemain-pemain kewangan Islam, institusi di barat seperti di Amerika, Eropah dan Australia sudah mengorak langkah melakukan anjakan paradigma dengan membuat pelbagai inovasi dan inisiatif instrumen kewangan berasaskan ‘risk sharing’. Inisiatif berbentuk “Crowdfunding and Equity Crowd Funding’, ‘Equity Finance’, ‘Business Angel Investment’, ‘Investors New Paradigm’, ‘Risk Sharing Finance Facility’, “Risk Sharing Securities’, dan ‘Customer Owned Banking’ kini telah berkembang maju secara meluas sebagai alternatif kepada instrumen kewangan berasaskan hutang. Instrumen dan inisiatif sebegini dilihat berpotensi untuk menjadi arus perdana dan memberikan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan ekonomi.

Perlaksanaan kewangan Islam pada hari ini mendapat kritikan ramai sarjana dan cendiakawan khususnya dari aspek instrumen dan pendekatan sedia ada yang dilihat seakan cenderung untuk penyatuan atau ‘convergence’ dengan kewangan konvensional. Kajian dan penyelidikan yang membuktikan kelemahan dan bahaya sistem kewangan yang didominasi hutang juga menyerlahkan betapa kewangan Islam perlu mengorak langkah memikirkan untuk melakukan transformasi daripada ‘financial intermediaries’ kepada ‘investment intermediaries’ atau ‘value-based intermediation’ seperti yang diaspirasikan.

Gagasan yang mengusulkan ‘risk sharing and value based-system’ adalah perlu diberikan perhatian walaupun diakui bahawa terdapat halangan-halangan dan cabaran-cabaran sama ada dari sudut permintaan pasaran, ruanglingkup undang-undang, faktor pemegang saham dan sebagainya. Jika kini sudah ada gerakan dan inisiatif berasaskan ‘risk sharing and value-based instrument’ seperti Crowdfunding and Equity Crowd Funding’, ‘Equity Finance’, ‘Business Angel Investment’, ‘Investors New Paradigm’, ‘Risk Sharing Finance Facility’, “Risk Sharing Securities’, dan ‘Customer-Owned Banking’, kewangan Islam sepatutnya lebih terkehadapan dalam aspek ini untuk memastikan ia benar-benar stabil dan dalam masa yang sama dapat memberi impak kepada pembangunan sosio-ekonomi secara adil.