Dr. Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali
Dr. Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd DaliPengarah, Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI)

Di dalam siri yang lepas, saya telah memberikan contoh belanjawan yang biasa kita gunakan. Pada siri ini, saya ingin mencadangkan suatu belanjawan yang lebih baik untuk kita mengurus kewangan kita. Belanjawan yang dicadangkan adalah berbeza di mana kita akan menolak simpanan dahulu dan selepas itu kita akan menolak perbelanjaan. Formulanya ialah pendapatan tolak simpanan tolak perbelanjaan. Jika masih ada lebihan selepas perbelanjaan kita boleh tambah simpanan dan jika terdapat kurangan kita perlu mengurangkan perbelanjaan dan bukannya mengurangkan simpanan kita.

Rasionalisasi kenapa kita perlu menggunakan kaedah yang dicadangkan untuk memastikan kita mempunyai simpanan yang konsisten. Ini adalah kerana jika kita bergantung untuk membuat simpanan setelah kita berbelanja, ada kalanya kita dapat membuat simpanan seperti yang kita rancangkan. Selalunya kita mungkin akan menyimpan kurang dari apa yang kita inginkan kerana perbelanjaan kita agak tinggi dan seringkali juga kita tidak menyimpan apa-apa kerana kita berbelanja lebih dari pendapatan kita.

Adakah perkara ini sering berlaku pada setiap bulan? Cuba kita semak berapa kali kita dapat menyimpan seperti yang kita rancang atau kita menyimpan lebih dari apa yang kita rancang. Adakah perkara yang sebaliknya berlaku? Ini berlaku kepada saya semasa saya cuba memulakan tabiat menyimpan semasa memulakan karier pekerjaan. Selalunya saya akan mengalami masalah tidak mempunyai simpanan pada setiap bulan. Ini adalah kerana gaji yang saya perolehi selalunya tidak menampung perbelanjaan saya. Akhirnya, saya tidak dapat menyimpan kerana tiada apa yang boleh disimpan lagi.

Masalahnya ialah pada waktu tersebut, saya ingin melamar isteri saya perlu menyediakan simpanan untuk saya menampung kos hari perkahwinan saya termasuk wang hantaran dan sebagainya. Pada tahun akhir 1997 saya memulakan pekerjaan saya sebagai seorang banker dan kegawatan ekonomi pada tahun 1998 menyaksikan harga barangan semua meningkat dan perbelanjaan saya pada waktu tersebut meningkat.

Saya menemui jalan buntu pada setiap bulan kerana gagal untuk menyimpan, tetapi saya menukar strategi saya dengan mengasingkan sejumlah wang dan memberikan kepada ibu saya untuk menyimpan. Saya masih ingat yang pendapatan saya pada waktu tersebut adalah di dalam lingkungan RM1,800 sebulan sebelum cukai. Saya memberikan kepada ibu saya RM500 sebulan untuk beliau simpan. Saya hanya belanja apa yang tinggal setelah ditolak simpanan tersebut. Dengan menggunakan strategi tersebut saya dapat menyimpan secara konsisten untuk menampung perbelanjaan perkahwinan saya.

Walaupun simpanan saya tersebut tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan kos perkahwinan kerana saya masih perlu mendapatkan pembiayaan pinjamaan dari bank tempat saya bekerja, tetapi strategi saya menolak simpanan berjaya mendisiplinkan diri saya untuk menyimpan. Di sini cara untuk anda menyimpan setiap bulan tidak semestinya anda perlu berikan kepada ibu anda untuk tolong simpan.

Ada pelbagai kaedah yang boleh kita gunakan seperti membuat potongan gaji, membuat arahan tetap bank dan sebagainya. Dengan cara ini kita cuma boleh berbelanja baki setelah kita membuat simpanan. Cuba tanya dengan majikan anda samada mereka boleh membuat potongan gaji kedalam akaun tabung haji. Jika mereka boleh membuat potongan gaji anda terus ke tabung haji, maka kita boleh pergi ke cawangan tabung haji yang terdekat dan mengisi borang potongan gaji dan serahkan kepada pegawai yang bertugas. Sebelum itu, sudah tentu kita perlu mempunyai akaun tabung haji. Jika masih belum ada, saya sarankan untuk buka akaun tabung haji. Sekurang-kurangnyamemudahkan kita untuk kita menunaikan ibadah haji pada masa akan datang.

Salinan borang potongan gaji itu kita perlu serahkan kepada majikan kita untuk pengurusan pemotongan dan pemindahan gaji anda ke akaun tabung haji. Pada setiap bulan, gaji akan ditolak simpanan yang anda telah buat melalui potongan tersebut. Disini kita telah selamat untuk menyimpan dan jangan usik simpanan yang kita buat itu sehingga kita dapat mencapai matlamat simpanan itu dibuat.

Jika majikan kita tidak mempunyai perkhidmatan potongan gaji ke akaun tabung haji, kita boleh pergi ke bank untuk membuat arahan tetap pada setiap bulan apabila gaji kita dikreditkan ke dalam akaun kita. Arahan tetap ini akan dikenakan caj dari RM3 bergantung kepada bank. Walaupun anda di kenakan caj anda tidak perlu membuat simpanan sendiri kerana ianya akan ditolak siap-siap oleh bank atas arahan yang telah dibuat.

Disini kita tidak perlu berlawan dengan diri sendiri untuk melakukan simpanan. Maka belanjawan yang saya cadangkan berdasarkan kaedah simpan dahulu ini akan memaksa kita untuk berbelanja berdasarkan pendapatan setelah ditolak simpanan. Contoh belanjawan adalah seperti berikut:

 

Jika kita bandingkan dengan belanjawan yang telah saya kongsi pada siri yang lepas, kita hanya mempunyai lebihan sebanyak RM58.67. Belanjawan kali ini saya telah membuat tolakan untuk simpanan sebanyak 10% dari gaji kasar sebulan iaitu RM380 sebulan. Jumlah simpanan akan menjadi RM4,560 setahun.

Perlu jika diambil maklum apabila saya mebuat tolakan simpanan dulu, kita perlu mengurangkan perbelanjaan untuk memastikan pendapatan dapat menampung perbelanjaan. Disini saya telah mengurangkan perbelanjaan yang saya kira boleh dikurangkan. Kita perlu kreatif di dalam hal ini. Kita boleh mengurangkan kekerapan makan di luar. Kita juga boleh mengurangkan perbelanjaan diri kita seharian dengan membawa bekal, malah kita boleh berjimat kos utiliti dengan memastikan lampu atau peralatan elektrik di tutup untuk mengelakkan pembaziran.

Manfaat yang kita perolehi dari belanjawan sebegini ialah kita secara automatik akan menjadi seorang penyimpan yang konsisten. Ikuti siri seterusnya untuk mengetahui dan mempelajari tentang kewangan peribadi kita.

BERSAMBUNG SIRI 12