Dr. Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali
Dr. Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd DaliPengarah, Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI)

Di dalam siri 8, saya akan mengupas tentang kepentingan untuk kita menyediakan belanjawan dan saya pernah berbual seorang pengembara wanita yang berasal dari Argentina, Lucila, berumur dalam lingkungan 27 tahun, di mana beliau telah mengembara ke beberapa negara selama 4 tahun. Di dalam benak kepala ini meronta-ronta ingin bertanya kepadanya tentang bagaimana beliau membuat perancangan dan mengurus kewangan?

Saya memulakan perbualan dengan bertanya tentang pengalaman beliau mengembara di beberapa negara dan mendapati bahawa beliau merupakan anak sulung kepada keluarganya dan pernah belajar di University of Buenes Aires (UBA) di dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia. Beliau menggambarkan bahawa pendidikan dan kesihatan di Argentina di berikan secara percuma.

Walaubagaimanapun, kos hidup di Buenes Aires adalah tinggi di mana beliau yang datang dari keluarga yang berpendapatan menengah rendah dan tinggal di luar bandar terpaksa bekerja sepenuh masa untuk menampung kos sewa dan makanan semasa belajar. Maksudnya belajar sepenuh masa dan bekerja sepenuh masa, ini adalah amat sukar untuk saya bayangkan. Secara asasnya kos sewa yang perlu beliau lunaskan untuk sebuah apartmen yang kecil adalah bersamaan RM1,800. Pendapatan dari kerja pertamanya hanya RM1,950 sebulan.

Beliau juga mendapatkan pendapatan tambahan kedua dengan kerja fotografi dan ketiga di kelab malam untuk menampung kos pengembaraan beliau. Saya bertanya apa sebab beliau meninggalkan kerja beliau di Argentina dan menyandang beg galas mengembara di perantauan. Pertama, saya percaya beliau amat sibuk mengurus masa beliau semasa di Argentina dan kedua beliau mendapati hidupnya sebagai pengembara memberikannya pengalaman yang banyak walaupun tanpa kerja tetap. Malah dalam masa 4 tahun beliau telah dapat menguasai bahasa Inggeris dengan amat baik sekali.

Beliau ada menggambarkan kepada saya tentang ekonomi negaranya pada suatu ketika pada awal tahun 2000 mempunyai kadaran tukaran 1:1 dengan US Dollar. Walaubagaimanapun, kadar tukaran USD adalah lebih kurang 17 Peso untuk 1 USD. Justeru nilai wang Peso menyusut sejak dari tahun 2000 sehingga mewujudkan Blue Dollar iaitu suatu pasaran gelap untuk menukarkan Peso dengan Dollar. Malahan beliau ada menceritakan bahawa seramai 2 juta orang terpaksa di berhenti kerja disebabkan kegawatan ekonomi tetapi saya merasakan beliau mengembara bukan disebabkan keadaan ekonomi semata-mata tetapi berkemungkinan mengikut darah orang muda yang dahagakan pengalaman hidup.

Saya mengambil kesempatan bertanya kepada beliau adakah sistem pendidikan di Argentina ada menitikberatkan tentang subjek pengurusan kewangan di peringkat pendidikan awal, pertengahan dan peringkat universiti. Jelas beliau mengatakan hanya pelajar yang mengambil jurusan kewangan dan berkaitan sahaja yang akan mempelajari tentang kewangan. Secara khususnya, beliau yang telah mempunyai ijazah sumber manusia hanya pernah mengambil subjek ekonomi asas sahaja.

Persoalannya bagaimana beliau mengurus perbelanjaan semasa beliau bermusafir selama 4 tahun? Saya bertanya kepada beliau dan beliau memberikan sedikit tips bagaimana beliau membuat perancangan pengembaraan beliau. Sebelum memulakan pengembaraan beiau membuat sedikit carian tentang kos hotel tempat yang dilawati, kos makanan dan juga kos penerbangan pergi dan balik.

Disamping itu beliau membuat anggaran kos keperluan harian dikalikan jumlah hari yang beliau akan tinggal di suatu tempat. Kos-kos lain seperti kos penjagaan diri juga diambilkira dan juga kos-kos luar jangka kerana kos-kos luar jangka ini selalu memakan jumlah yang agak besar. Di sini kita dapat membayangkan bahawa beliau telah mengira segala perbelanjaan yang akan mendatang apabila beliau mengembara.

Di sini, walaupun beliau seorang pengembara tetapi beliau juga membuat belanjawan iaitu perbelanjaan perlu ditampungi oleh pendapatan beliau semasa beliau bekerja di Argentina dan adakalanya beliau memperolehi pekerjaan di sesebuah negara yang membenarkan beliau bekerja. Justeru itu secara asasnya sesuatu belanjawan itu ialah pendapatan yang bakal kita perolehi dan simpanan yang sedia ada berbanding dengan perbelanjaan yang bakal kita hadapi.

Mungkin ada dikalangan pelajar dari universiti di Malaysia yang ingin menimba pengalaman seperti Lucila dengan mengambil cuti berjeda selama 6 bulan atau setahun samada untuk menimba pengalaman dengan aktiviti pengembaraan, aktiviti kesukarelawanan dan sebagainya. Ini adalah kerana sesetengah ilmu kehidupan itu perlu untuk kita kecapi sendiri dengan pengalaman sebenar dan tidak dapat hanya dengan mengikuti kuliah dan bahan bacaan semata.

Berbalik kepada topik kita, secara asasnya segala pendapatan tolak segala perbelanjaan. Ianya hampir sama dengan penyata untung rugi perniagaan dan juga hampir sama dengan belanjawan pendapatan negara cuma untuk individu kita perlu mengambilkira semua pendapatan kita dan semua perbelanjaan kita termasuklah perbelanjaan ahli tanggungan kita. Hampir kesemua kita mengetahui tentang hal ini secara teorinya Cuma apabila hendak diaplikasi kedalam kehidupan seharian ianya tidak semudah yang kita sangka.

Walaubagaimanapun, belanjawan ini hanya perlu pada permulaan sahaja sehingga corak perbelanjaan kita telah menjadi tabiat. Yang paling mudah dilakukan ialah setiap kali kita berbelanja, kita perlu menyoal diri kita samada kita benar-benar memerlukan barangan atau perkhidmatan tersebut dan samada kita membeli aset atau liabiliti dan impaknya kepada kedudukan kewangan kita. Pada siri akan datang saya akan mengupas bentuk belanjawan yang sangat mudah untuk kita fahami.