Dr Radzniwan Abdul Rashid
Dr Radzniwan Abdul RashidPensyarah Perubatan, FPSK Pakar & Perubatan Keluarga, Klinik Pakar Kesihatan USIM
Dr Fathima Begum Bt Syed Mohideen
Dr Fathima Begum Bt Syed MohideenPensyarah Perubatan, FPSK. Timbalan Pengarah & Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Pakar Kesihatan USIM

Klinik Pakar Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terletak di Nilai berbesar hati menjalankan khidmat sosial dan tanggungjawab kepada masyarakat setempat. Dalam memberi perkhidmatan tersebut, Klinik Pakar Kesihatan USIM tidak melupakan golongan yang kurang berkemampuan iaitu golongan asnaf.

Asnaf didefinasikan sebagai golongan yang disyariatkan untuk mendapat bantuan zakat. Mereka terdiri daripada 8 golongan termasuk Fakir (al-Fuqara), miskin (al-Masakin), amil, muallaf, riqab, gharimin (Muslim yang berhutang), fisabilillah (orang yang berjuang kerana Allah) dan Ibnus Sabil (musafir).  Ia adalah bertepatan dengan Firman Allah swt dalam surah at-Taubah ayat 60 yang bermaksud:

“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu’allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Oleh itu, adalah menjadi kewajipan untuk umat Islam membantu mereka seperti dinyatakan dalam ayat berikut:
‘Didalam harta mereka terdapat hak orang-orang peminta-minta dan tidak meminta (Quran 51:19).’

Dalam menjayakan usaha tersebut, beberapa aktiviti telah dilaksana dan sedang berjalan bagi membolehkan ahli masyarakat yang kurang bernasib baik ini memperolehi ilmu penjagaan kesihatan yang terbaik.

Walaupun sumbangan yang diberikan bukanlah dalam bentuk kewangan, akan tetapi sumbangan dari segi tenaga dan perkhidmatan daripada doktor pakar USIM amatlah berharga di hati mereka.

Rata-rata maklumbalas yang diterima selepas beberapa program yang dijalankan, para asnaf merasakan amat bertuah dapat berurusan dengan tenaga pakar yang datang ke kawasan tempat tinggal mereka.

Namun, pihak Klinik Pakar Kesihatan USIM percaya sudah semestinya niat baik ini tidak mampu dijayakan tanpa bantuan daripada pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). Perkhidmatan kepada masyarakat ini turut disertai oleh syarikat swasta seperti Maybank Islamic. Melalui perbincangan antara Maybank Islamic dan MAINS, satu persetujuan telah dicapai bersama di mana Maybank Islamic akan menyalurkan wang zakat bagi tujuan wakaf kesihatan.

Keputusan sepakat dari ketiga-tiga pihak ini akhirnya membuahkan hasil. Golongan asnaf dari beberapa kawasan di Negeri Sembilan telah menerima rawatan kesihatan percuma dari para pakar kesihatan yang juga merupakan pensyarah Fakulti Perubatan USIM (FPSK). Tambahan, mereka yang tidak pernah hadir temujanji hospital atas pelbagai sebab telah mula berminat untuk mengikuti jadual temujanji bersama doktor. Ini secara tidak langsung menunjukkan golongan ini semakin menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan dan kesedaran yang tinggi untuk mengubah cara hidup yang lebih sihat.

“Perubahan yang diberikan oleh ahli masyarakat cukup memberi kepuasan kepada kami sebagai salah seorang doktor pakar USIM yang bertugas. Alhamdulillah.”

Antara aktiviti yang dijalankan dalam program asnaf adalah saringan kesihatan seperti pengukuran BMI dan pemeriksaan tekanan darah. Asnaf yang dikenalpasti memerlukan rawatan oleh pakar, akan dirujuk ke Klinik Pakar Kesihatan USIM bagi langkah seterusnya.

Antara rawatan adalah rawatan kesihatan oleh pakar perubatan, neurologi, orthopaedik, mata, ear, nose and throat (ENT), psikiatri dan lain-lain lagi. Pada masa yang sama, terdapat kes kecemasan seperti kes serangan jantung telah dikenal pasti dan dirujuk segera ke hospital berhampiran. Selain rawatan kesihatan, pesakit asnaf juga diberi pengetahuan kesihatan dan kaunseling mengikut masalah perubatan masing-masing.

Pakar pergigian USIM dari Fakulti Pergigian (FPg) juga telah turut serta di mana rawatan pergigian telah diberikan kepada asnaf dari kawasan Sikamat, Negeri Sembilan. Ramai dikalangan asnaf berminat untuk melakukan pemeriksaan pergigian dan mendapatkan rawatan terus dari pakar pergigian USIM kerana mereka menghadapi halangan seperti tiada kenderaan, tiada wang, tidak boleh cuti dari berkerja kerana mengharapkan gaji hari. Oleh itu tidak dapat pergi ke klinik kerajaan.

Setakat ini, 4 program asnaf telah diadakan iaitu lokasi pertama di Masjid Diraja Tuanku Munawwir, Seri Menanti, Kuala Pilah pada 23 Mac 2017 melibatkan 38 asnaf di mana 2 asnaf telah dirujuk ke klinik pakar untuk rawatan selanjutnya.

Seterusnya di Masjid Labu Hilir pada 15 Jun 2017 melibatkan 38 asnaf dan 12 asnaf telah dirujuk ke klinik pakar. Program yang ketiga dibuat di klinik pakar di Nilai kerana ramai diantara mereka tidak mengetahui lokasi klinik pakar, maka klinik pakar telah berusaha mengadakan sambutan Hari Raya pada 12 Julai 2017 di mana turut dibuka perkhidmatan untuk pemeriksaan kesihatan untuk asnaf kos pengangkutan ditanggung oleh pihak MAINS. Seramai 18 asnaf telah hadir dan di rujuk kepada pakar atas sebab masalah kesihatan. Tambahan, seramai 7 orang asnaf juga telah membuat pemeriksaan gigi di klinik pakar pergigian USIM pada hari yang sama.

Program keempat dijalankan di Masjid Sikamat, Seremban pada 17 Ogos 2017 melibatkan 42 asnaf dan 8 asnaf telah dirujuk ke klinik pakar. Pihak MAINS juga turut terlibat dengan memberikan sumbangan kewangan bulanan kepada asnaf.

Dalam hal ini, kerjasama dari semua pihak amatlah diharapkan kerana usaha murni ini dapat meringankan beban masyarakat. Melaluinya, kepakaran dari pelbagai agensi dapat disalurkan semula kepada ahli masyarakat seterusnya ia menggalakkan penglibatan dari pelbagai pihak pada masa akan datang.

Klinik Pakar Kesihatan USIM mula beroperasi pada 1 April 2015. Klinik yang berkonsepkan wakaf ini menawarkan pelbagai perkhidmatan kepakaran perubatan, perubatan am, perubatan keluarga, perkhidmatan pergigian dan lain-lain lagi dengan caj yang berpatutan. Untuk senarai penuh perkhidmatan yang disediakan, sila KLIK DI SINI.

Lokasi:
Lot 193-194 Jalan Nilai Square 6, Nilai Square
(Berdekatan Klinik Kesihatan Nilai)

Sebarang pertanyaan dan temu janji sila hubungi :
06-850 4921