NILAI, 4 Disember 2017 – International Conference on Lifelong Learning for Islamic Education atau ICLLIE 2017 akan menjadi platform untuk mempromosi, meneroka dan berkongsi amalan terbaik dan kepakaran global dalam bidang Pendidikan Islam sepanjang hayat di semua peringkat institusi pembelajaran dari seluruh dunia.

Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Haji Idris bin Jusoh merupakan program kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Anatarabangsa Malaysia (UIAM), Open University Malaysia (OUM) dan Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Pada majlis yang sama YB Dato’ Seri Haji Idris bin Jusoh turut melancarkan Pelan Induk Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH )(2017-2025) sebagai satu inisiatif bagi menawarkan latihan kemahiran dan pendidikan agama kepada pelajar tahfiz dan pondok serta kesinambungan Pendidikan Islam yang berterusan kepada setiap lapisan masyarakat.

“Pelan Induk PISH ini boleh dijadikan sebagai satu agenda dan dilaksanakan secara bersama selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Pendidikan Tinggi 2015-2025. Ia mengambil kira Revolusi 4.0 merangkumi dasar negara iaitu RMK 11 dan dasar Pendidikan Tahfiz tegara sejajar dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050,” ucap YB Dato’ Seri Idris bin Jusoh.

Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata), Manolito Mohd. Dahlan yang turut hadir berkata, usaha itu bertujuan membolehkan para pelajar tahfiz menimba ilmu pengetahuan tambahan yang diharap dapat membantu mereka selepas tamat pembelajaran kelak.

Malahan lebih kurang 300 daripada 1,117 sekolah tahfiz al-Quran di seluruh negara telah memperkenalkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk para pelajar mereka sebagai program tambah nilai kepada pendidikan keagamaan di institusi berkenaan.

“Pelancaran Pelan Induk Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (2017-2025) bagi memenuhi dua matlamat iaitu untuk memperkasa sistem pendidikan tahfiz dan pondok melalui integrasi Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) dan keusahawanan dan juga membuka peluang yang lebih luas kepada masyarakat untuk mendalami ilmu agama melalui program yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi,” ujar Pengarah ICLLIE 2017, YBhg Prof. Dato’ Dr. Zulkiple Abd Ghani.

Turut berlangsung sepanjang dua hari adalah sesi pembentangan selari daripada penyelidik, pemegang taruh, pendidik dan pelajar mengetengahkan idea-idea bernas di dalam bidang tersebut. ICLLIE 2017 turut diserikan dengan pameran inovasi dan amalan terbaik yang disertai oleh institusi yang menawarkan Pendidikan Islam sepanjang hayat dari seluruh negara.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204