NILAI, 26 September 2017 – International Law Course 2017 (ILC 2017) adalah anjuran bersama Pertubuhan Gud Lak ID, organisasi anak-anak muda Indonesia yang beribu pejabat di Jakarta, Indonesia. Dengan peningkatan reputasi FSU sebagai sebuah fakulti undang-undang yang mempunyai pakar-pakar muda dalam bidang undang-undang antarabangsa, Gud Lak ID telah meminta FSU untuk menjadi hos ILC 2017 untuk kali kedua setelah kejayaan ILC 2016 dengan segala perbelanjaan ditanggung mereka sendiri. ILC 2017 disertai 14 peserta dari Komisi Yudisial (Judicial Commision) Indonesia berpangkalan di Jakarta dan mahasiswa dari pelbagai universiti dari Indonesia  dengan yuran sebanyak USD450.00 setiap orang. Seramai 20 peserta yang lain adalah pelajar USIM sendiri.

ILC 2017 adalah usaha yang diambil oleh Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai undang-undang antarabangsa awam dan sejauh mana ianya mempengaruhi Malaysia , Indonesia dan rantau ini. Ini adalah kali pertama program inbound USIM disertai pegawai dari jabatan kerajaan Indonesia dan kedatangan mereka ke USIM ditaja oleh kerajaan Indonesia sendiri- satu penghormatan untuk universiti baru seperti USIM.

Program ini mendapat sokongan padu dari pihak fakulti dan Dekan, Profesor Madya Dr. Zulkifli Hasan. Pihak fakulti telah meluluskan program ini untuk berlangsung dari 20-26 September 2017. Pihak FPSK memberikan kerjasama yang baik dengan menempatkan kami di Bilik Mesyuarat Utama FPSK sepanjang program ini berlangsung.

Ini adalah edisi kedua kursus undang-undang antarabangsa inbound pertama seumpamanya yang pernah dianjurkan oleh pihak FSU khususnya dan pihak USIM umumnya. Visi Dekan Kedua FSU, Prof. Dr. Abdul Samat Musa untuk menjadikan FSU pusat rujukan bagi pengajian undang-undang antarabangsa telah mula menampakkan hasil dengan kedatangan 14 peserta antarabangsa dan 20 peserta tempatan. Sepanjang berada di Kuala Lumpur, peserta Indonesia menginap di Hotel Indah Garden, Pandan Indah kedua-duanya terletak 5 minit berjalan kaki ke kampus USIM Pandan.

 

Peserta antarabangsa yang terlibat adalah :
1. Mochammad Salman Al Farisi (mahasiswa Universiti Jenderal Soedirman, Purwokerto, Indonesia)

2. Iqra Fitra Al Fikri (mahasiswa Universiti Jenderal Soedirman, Purwokerto, Indonesia)

3. Abdul Hamid (mahasiswa Universiti Mulawarman, Samarinda, Indonesia)

4. Alamsyah Nurrahmad Putra (mahasiswa Universiti Islam Indonesia, Yogyakarta, Indonesia)

5. Abdul Mukti, S.H (Komisi Yudisial, Jakarta, Indonesia [KY])

6. Albertus Purwo Nugroho, S.H (KY)

7. Ikhsan Azhar, S.H (KY)

8. Rachmanto Dwi Nugroho, S.H (KY)

9. Ratna Johari Pamungkas, S.H (KY)

10. Senni Perdani, S.H (KY)

11. Tabah Sulistyo, S.H (KY)

12. Laras Maharani (Gudlak ID)

13. Dhonny Alfianto (Gudlak ID)

14. Rizki Fajar Syarifudin (Gudlak ID)

 

8 orang pensyarah USIM telah terlibat sebagai tenaga pengajar untuk ILC 2017  :
(1) Dr. Hendun Ab Rahman Shah – Principles of Public International Law

(2) Dr. Norfadhilah Mohd Ali – Principles of International Investment Law

(3) Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli – Malaysia-Indonesia Relations

(4) Dr. Amalina Ahmad Tajudin – China’s One Belt One Road

(5) Dr. Nisar Mohammad Ahmad – Foundations on International Human Rights Law

(6) Dr. Izawati Wook – Rights of Minorities in International Law

(7) Dr. Muhammad Nizam Awang@Ali – Halal Product: Integrity and International Law

 

Antara komen-komen yang diberikan oleh peserta ILC 2017:

(a) Kemudahan pembelajaran di universiti-universiti Malaysia seperti perpustakaan dan internet sangat memuaskan – peserta telah dibawa berkunjung ke UITM dan USIM;

(b) Peserta ILC kagum dengan USIM yang mempunyai banyak pensyarah muda yang pakar dalam undang-undang antarabangsa, seperti undang-undang angkasa lepas, undang-undang laut dan undang-undang perdagangan, sesuatu yang di luar kebiasaan di Indonesia dan Filipina;

(c) Kebolehan berbahasa Inggeris dengan baik dikalangan pensyarah USIM adalah suatu yang membanggakan;

(d) Sesi perkongsian ilmu dan pengalaman di antara peserta ILC dan pensyarah FSU sangat menyenangkan – pensyarah FSU senang untuk didekati dan tidak terlalu menjarakkan diri dengan pelajar dan peserta ILC 2017.

(e) Peserta memuji polisi Malaysia yang membelanjakan wang yang banyak demi pembangunan akademik negara.

(f) Memandangkan ini kali pertama peserta ke Kuala Lumpur, mereka sangat kagum dengan keindahan kota Kuala Lumpur dan memahami kenapa kota ini tersenarai sebagai kota top ten paling banyak dikunjungi di dunia oleh majalah terkenal, Forbes.

Peserta ILC juga dibawa jalan-jalan sekeliling bandaraya Kuala Lumpur dan rata-rata sangat kagum dengan pembangunan infrastruktur pengangkutan seperti KL Sentral, Terminal Bersepadu Selatan, LRT, MRT Monorail dan KLIA Transit – pengangkutan terpadu yang sehingga kini masih dibangunkan di kota Jakarta.

Para peserta tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Masjid Negara, Dataran Merdeka, River of Life, Bukit Bintang, Pasar Seni dan tentu sekali, ke Menara Berkembar Petronas.
Sebagai acara pembukaan ILC 2017, para peserta dibawa untuk menyertai acara tahunan Roundtable Discussion on International Law 2017 (RTD), program Roundtable yang ketiga susulan kejayaan RTD pertama pada tahun 2015 dan kedua pada tahun 2016 yang dianjurkan bersama di antara USIM dan Pertubuhan Konsultasi Perundangan Asia Afrika (AALCO).

 

Penceramah jemputan antarabangsa telah diundang untuk menjayakan RTD 2.0 iaitu:
(a) Dr. Chaiwat Meesanthan, Thammasat University, Bangkok.

(b) Dr. Linda Alfarero Lumayag, Philippine Psychological Association

(c) En. Tabah Sulistyo, Komisi Yudisial Indonesia.

Berbanding tahun lalu yang melibatkan hanya ahli-ahli akademik Malaysia, RTD 3.0 melibatkan peserta dan ahli akademik dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina. Dr Meesanthan membahaskan sejarah hubungan di antara Pattani dan kerajaan Siam sehinggalah Pattani menjadi sebahagian daripada Thailand pada hari ini. Dr. Lumayag pula membicarakan soal masalah pekerja migran di Malaysia dan bagaimana undang-undang antarabangsa boleh membantu menyelesaikannya. Encik Sulistyo menyampaikan ceramah memperkenalkan KY kepada para peserta.
Kedua-dua ILC 2017 dan RTD berakhir dengan kejayaan dan membuka peluang bagi FSU untuk menjalinkan hubungan dan bekerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi di serata Indonesia, Filipina dan Thailand.

Selain itu, pada 25 September 2017 (hari terakhir ILC 2017), para peserta ILC telahpun di bawa ke kampus UiTM menggunakan LRT dan bus UiTM untuk menyertai program ucaptama oleh Dekan Fakulti Undang-undang UiTM, Prof. Dato’ Dr. Rahmat Mohamad, program diskusi bersama wakil UNHCR serta program ‘class auditing’ di UiTM, di mana peserta dari Indonesia boleh mengalami sendiri bagaimanakah kuliah-kuliah undang-undang dijalankan di universiti di Malaysia.

Program diskusi bersama UNHCR membabitkan soal ‘statelessness’ (tidak bernegara), pelarian dan ‘asylum seeker’ yang dibahas sendiri oleh Encik Brian Gorlick (Timbalan Wakil Unit Perlindungan UNCHR) dan Cik Illy Kamaludin (Penolong Pegawai Perlindungan UNCHR). Program ini telah membuka mata para peserta bahawasanya masalah tidak bernegara dan pelarian masih lagi membelenggu negara dan rantau ini terutamanya kaum Rohingya.

Program ILC 2017  ini berakhir dengan jayanya dan semoga program ini dapat memartabatkan kedudukan USIM sebagai institusi baru yang menyediakan pembelajaran undang-undang antarabangsa di rantau ini.

Disediakan oleh:
Dr. Mohd Hazmi bin Mohd Rusli
Pensyarah Kanan
Fakulti Syariah dan Undang-undang