NILAI, 27 Feb 2017 – Bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Majlis Amanat Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2017 oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad mengupas perancangan dan hasrat USIM untuk membangun menjadi sebuah Kampus Barakah selaras dengan moto universiti iaitu Berilmu, Berdisiplin dan Bertaqwa.

Perjalanan sebagai kampus barakah menekankan pelaksanaan konsep ilmu berpaksikan Iqra’ yang akan diperkukuhkan dengan Integrasi ilmu Naqli dan Naqli atau INAQ secara menyeluruh meliputi aspek STREAM: Science, Technology, Religion, Ethics, Arts & Mathematics. Dato’ Musa meyampaikan amanatnya secara jelas merangkumi 9 sasaran strategik USIM untuk mencapai USIM-25.

“Dalam usaha memperkukuhkan dan menginovasi program akademik, USIM akan bekerjasama dengan International University for Renewal (IUR), Turki melalui penawaran program peringkat Sarjana Muda dan Pasca Siswazah selain memperkukuhkan Pendidikan Sepanjang Hayat seperti sedia ada di GOAL-ITQAN, Bahagian Madal Hayah. Selain itu, program 3u1i akan dilaksanakan kepada pelajar Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan serta Sarjana Muda Syariah (Industri Halal) dengan Kepujian dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang manakala semua program sarjana muda akan menggunapakai sistem PNGK Bersepadu atau iCGPA”.

“Aktiviti penyelidikan di USIM akan tertumpu kepada tiga tema utama. Pertama, to Sustain Humanity & Environment di mana fokus adalah untuk memastikan kelestarian kediaman, ekosistem, gaya hidup dan jaminan pemakanan. Kedua, to promote Wellbeing iaitu Kesejahteraan yang meliputi aspek kesihatan, pengurusan harta dan pengurusan kewangan merupakan sebagai asas kepada kesejahteraan ummah. Ketiga, to Empower Communities & Societies dalam memperkasakan masyarakat dan komuniti melalui teras kebudayaan, nilai-nilai murni, dan jaminan keselamatan”.

“Sebuah makmal analisis pusat juga yang akan dikenali sebagai Clustered Central Analytical Laboratory akan ditubuhkan disamping dana akan diperuntukkan bagi Headstart Programme untuk pembiayaan projek penyelidikan yang diterajui oleh penyelidik USIM yang menyelia pelajar-pelajar pra-siswazah dan Kolej Permata Insan dalam bidang-bidang tujahan yang USIM telah kenalpasti”.

“Usaha memperkasakan aspek keusahawanan pelajar dipergiat melalui Kanvas Model Perniagaan dan pelaksanaan Program Keusahawanan Sosial di Negeri Sembilan serta negeri-negeri yang lain. Bagi menyokong objektif ini sebanyak 10 program utama telah dikenal pasti untuk dilaksanakan pada tahun 2017 selain program Gap Year/Summer Volunteerism atau “tempoh rehat” pelajar daripada aktiviti normal kampus dan berada di luar untuk menjalani program latihan atau kesukarelawanan di agensi yang bersesuaian”.

“Perancangan sumber manusia melalui Modul Latihan Berpandukan Qalbu (Qalb-Guided) akan dibangunkan oleh Jabatan Pendaftar bersama-sama PIINA meliputi tiga fasa iaitu kesedaran, amalan dan pengukuhan yang dijangka  dilaksanakan awal 2018 kepada kakitangan akademik, pengurusan dan professional dan pelaksana menyediakan modul nilai-nilai murni yang bertepatan dengan agama”.

“SIANA atau dikenali Staf Integrasi Amal Naqli dan Aqli dihasratkan dapat merealisasikan strategi Lautan Biru USIM pada masa yang sama model Kepimpinan Berpandukan Qalbu (Qalb-Guided) mampu melahirkan warga USIM yang berintegiriti serta mengamalkan prinsip wasatiyyah dalam tindakan berasaskan konsep hablum minallah dan hablum minannas”.

“Tidak dilupakan hasrat USIM untuk menjana kewangan dengan menggalakkan amalan berwakaf yang mana dana wakaf akan disalurkan kepada pembiayaan kolej kediaman dan pembelian bangunan klinik pakar serta menggiatkan kutipan zakat melalui pelbagai kaedah bayaran antaranya melalui potongan gaji kakitangan, kaunter pungutan zakat dan bayaran zakat secara online”.

Di akhir amanatnya, Dato’ Musa menyeru warga USIM untuk sama-sama menghayati nilai-nilai Teras USIM iaitu Profesional, Efisyen, Alamiyyah (Global), Amanah dan Muafakat untuk menjadi seorang yang Al-Qawiyy dan Al-Amin.

 

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204