NILAI – Bagi meneruskan legasi kepimpinan dan pengurusan cemerlang dalam pembangunan pengucapan awam khususnya debat di dalam kampus, Kelab Debat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyempurnakan penyampaian watikah pelantikan kepada 26 orang kepimpinan baharunya.

Majlis penyampaian watikah ini telah disempurnakan oleh Penasihat Kelab Debat USIM, Encik Mohd Zaini Othman semasa majlis penutup Kem Team Building Kelab Debat USIM 2017 pada baru-baru ini bertempat di Kem Rimba Tamu, Batang Kali Selangor.

“Kelab Debat telah memainkan peranan yang amat cemerlang selama ini untuk membangunkan dan membudayakan pengucapan awam di dalam Universiti. Kita amat berterima kasih kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM kerana sentiasa memberi sokongan kuat khususnya kewangan kepada penganjuran aktiviti pengucapan awam yang dianjurkan”.

“Mereka yang dilantik ini diyakini akan meneruskan kejayaan hebat para mantan kepimpinan terdahulu kerana komposisi pengurusan baharu Exco Kelab Debat sesi 2017/2018 ini terdiri daripada 14 muka lama (lantikan semula) dan 12 muka baharu,” ujar Mohd Zaini.

Menurut Aiman Danial Kamarunizam, pelajar tahun tiga Fakulti Syariah dan Undang-undang yang diberi mandat kepercayaan sebagai Pengerusi Kelab Debat pada sesi ini berkata beberapa perancangan aktiviti kelab telah bergerak.

“Pertandingan debat peringkat dalaman yang terdekat kita akan anjurkan ialah Pertandingan Debat Inter-Tamhidi pada Disember dan Kejohanan Debat Piala Naib Canselor USIM pada awal tahun hadapan. Selepas itu kita fokus untuk menganjurkan Ihtifal Debat Bahasa Arab Institusi Pengajian Tinggi ASEAN dan Pidato Nusantara. Pada masa yang sama, komuniti pendebat kita juga aktif menyertai pelbagai pertandingan debat semasa yang dianjurkan,” tambahnya

Sementara itu, Kem Team Building Kelab Debat USIM selama tiga hari dua malam ini telah disertai seramai 45 orang peserta. Bertemakan ‘Membina Pewaris Legasi Gemilang’, kem ini bertujuan untuk mengeratkan lagi motivasi dan kerjasama berpasukan.

Antara aktiviti yang dilakukan di sana ialah ekspedisi rekreasi gua yang memerlukan perserta berjalan kaki selama dua jam untuk sampai ke lokasi, latihan dalam kumpulan, menerokai kolam air panas Hulu Tamu, malam kebudayaan dan perkongsian pengalaman bersama alumni.