Khutbah Jumaat USIM Mesra OKU


NILAI, 9 Jun 2017- Penyampaian khutbah Jumaat di Kompleks Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berbeza dari khutbah Jumaat di tempat lain apabila turut disampaikan melalui bahasa isyarat.

Pusat Islam USIM dengan kerjasama Yayasan Faqeh menyediakan seorang penterjemah bahasa isyarat dalam setiap khutbah Jumaat yang disampaikan setiap minggu. Bermula pada solat Jumaat hari ini, Sukarelawan Sahabat Faqeh di bawah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) USIM yang dianggotai oleh siswa USIM akan bergilir-gilir menjadi jurubahasa isyarat.

Unit Multimedia dan Info Digital, Pusat Komunikasi Strategik USIM turut membantu dalam aspek teknikal dan visual untuk ditayangkan secara langsung pada layar utama di dalam dewan solat untuk bahasa isyarat yang disampaikan.

Tujuan utama khutbah di dalam bahasa isyarat ini adalah bagi meraikan Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran agar intipati khutbah yang disampaikan oleh khatib dapat difahami dan dihayati.

 Dipilih menjadi jurubahasa isyarat pertama yang bertugas dalam solat Jumaat kali ini, Saudara Muhammad Zaid Abdul Samat, 23 berasa teruja bercampur rasa gementar.

“Alhamdulillah, saya dapat sampaikan terjemahan khutbah Jumaat tadi dengan sebaiknya hasil rujukan dan latihan awal untuk teks khutbah yang akan dibacakan. Saya dan rakan-rakan yang mengambil kursus Dakwah Tanpa Suara di FPQS merasakan peluang yang diberikan oleh USIM dan Pusat Islam untuk kami tonjolkan kemahiran yang kami pelajari amat baik sekali”.

“Terjemahan bahasa isyarat untuk khutbah Jumaat yang disampaikan bukan sahaja untuk teks di dalam bahasa Melayu, malahan juga yang disampaikan dalam bahasa Arab dan Inggeris serta ayat-ayat Al-Quran dan hadis,” ujarnya yang mengambil jurusan Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah.

Para pelajar USIM yang mengambil kursus Dakwah Tanpa Suara yang ditawarkan di FPQS ini gembira menggelarkan diri mereka sebagai Dai Pekak berbanding dikenali sebagai juru bahasa isyarat seperti kebiasaan.

Haji Norakyairee Mohd Raus, pensyarah kursus braile di FPQS menyatakan persepsi masyarakat yang selesa melabel OKU dengan ‘anak syurga’ secara tidak langsung mendorong pelbagai pihak khususnya ibu bapa seakan terlepas pandang terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dalam mendidik OKU menerima agama.

“Melalui pemerhatian saya, bilangan masjid yang menyediakan khidmat juru bahasa isyarat semasa khutbah Jumaat amat kecil. Langkah yang dibuat oleh Pengurusan Kompleks Islam USIM ini wajar dipuji kerana ini adalah satu bentuk dakwah kepada golongan minoriti ini dan meraikan mereka,” ujarnya yang turut bertugas sebagai khatib dalam solat Jumaat sebentar tadi dengan tajuk khutbah yang disampaikan adalah ‘OKU : Barakah Yang Terhijab?’.

 

Disediakan oleh:

Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

2017-06-20T12:03:07+00:00