Majlis Amanat Dan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Sarjana Muda Sesi Akademik 2017/2018

NILAI, 7 Sept 2017 – Seramai 2,192 Pelajar Sarjana Muda Sesi Akademik 2017/2018 menjalani Minggu Taaruf yang bermula pada 6 September hingga 8 September 2017.  Bertempat di Dewan Tuanku Canselor USIM, pelajar baharu menghadiri Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Sarjana Muda yang diurusetiakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM.

Majlis disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan selaku Menteri Mentor USIM bersama Lembaga Pengarah Universiti (LPU), YBhg. Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak serta barisan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Univeristi (JKPU).

Bagi Sesi Akademik 2017/2018, USIM menerima sebanyak 23,069 permohonan pelajar untuk melanjutkan pengajian ke 9 fakulti di USIM. Fakulti Sains dan Teknologi mencatat jumlah pelajar mendaftar paling tinggi seramai 458 pelajar diikuti Fakulti Ekonomi dan Muamalat (396), Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (340), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (303), Fakulti Syariah dan Undang-undang (288), Fakulti Pengajian Bahasa Utama (224), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (80), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (68) dan Fakulti Pergigian (35).

Daripada jumlah tersebut, pecahan kelompok pelajar yang mendaftar mengikut negeri mencatatkan Selangor paling ramai mendaftar iaitu 471 orang diikuti Kelantan (386), Kedah (222), Pahang (192), Johor (178), Perak (176), Terengganu (175), Negeri Sembilan (111), Pulau Pinang (72), Melaka (61), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (60), Sabah (34), Perlis (23), Sarawak (17), Putrajaya (9) dan Wilayah Persekutuan Labuan 1 orang.

Daripada jumlah tersebut seramai 614 pelajar lelaki dan 1,578 perempuan termasuk enam orang pelajar antarabangsa dari Indonesia, Singapura dan Gambia mendaftar yang mana tahun ini mencatatkan peningkatan berbanding tahun lalu iaitu seramai 2,067 pelajar yang mendaftar.

“USIM sebagai Universiti berteraskan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli ini bertekad dan beriltizam untuk terus memperkasakan pelajarnya dengan semangat jati diri yang teguh dan kemahiran profesional yang lengkap berlandaskan Islam sebagai pacu utama dalam usaha memastikan graduan USIM mampu bersaing dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar,” ucap YBhg Prof. Dato’ Dr. Musa, Naib Canselor USIM dalam ucapan di Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar.

Beliau turut berkongsi sejumlah 156 Pengembaraan GISO telah berjaya dilaksanakan melibatkan seramai 3,181 pengembara meliputi 20 buah negara iaitu Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei, Kemboja, Vietnam, Laos, Filipina, China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Maldives, Sri Lanka, India, Australia, Turki, Emiriah Arab Bersatu, Jordan dan Lubnan.

Manakala YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata USIM merupakan satu-satunya Universiti yang kampus utamanya terletak di Negeri Sembilan. Beliau berkata peningkatan kemasukan pelajar ke USIM yang meningkat saban tahun menunjukkan bahawa taraf pendidikan di peringkat nasional turut meningkat. Ini menunjukkan bahawa kualiti pendidikan Malaysia sekarang sudah setanding dengan luar negara dan dalam sesetengah bidang lebih baik.

“Kerajaan Negeri Sembilan amat berbesar hati dengan kewujudan dan keberadaan Kampus Utama USIM di Bandar Baru Nilai kerana membuka ruang dan peluang kepada pembangunan dan kemajuan yang bernilai tinggi kepada masyarakat setempat khususnya Nilai, serta Negeri Sembilan amnya,” ucapnya.

“Oleh itu, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar para pelajar USIM dapat mendalami ilmu yang dipelajari dengan sebaiknya dan membawa nama Malaysia dan Islam ke peringkat lebih tinggi agar lebih dikenali,” tambahnya lagi.

Turut diadakan selepas majlis amanat adalah perjumpaan 111 orang anak-anak Negeri Sembilan dengan Menteri Mentor USIM yang  diberi kata-kata perangsang dan saguhati wang tunai sebagai bantuan dan pemangkin semangat kepada anak-anak Negeri Sembilan untuk mencipta kejayaan cemerlang di USIM.

Disediakan oleh :
Amizul Aziz
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Bangunan Canselori
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

2017-09-08T11:22:00+00:00