NILAI, 11 Oktober 2017 – PERMATA Insan merupakan salah satu program yang dibangunkan di bawah inisiatif kerajaan bagi menyediakan pendidikan berkualiti bagi anak-anak yang mempunyai tahap kecemerlangan mental yang tinggi. Dalam usaha memperkasakan program PERMATA Insan ke tahap pendidikan lestari, satu panel penasihat antarabangsa telah ditubuhkan dan pakar-pakar bidang pendidikan pintar berbakat dan tokoh-tokoh pemikir pendidikan Islam kontemporari telah dilantik bagi menilai, menasihat dan menambah baik perjalanan program yang sedia ada.

Para panel penasihat PERMATA Insan yang dilantik dianggotai tokoh-tokoh pendidikan Islam dan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dari dalam dan luar negara. Ahli-ahli panel dari dalam negara terdiri daripada YB Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri); Tan Sri Dato’ Prof. Emerita Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (Perunding Kanan di Jabatan Perdana Menteri); Tan Sri Dr. Abdullah Muhammad Zin (Penasihat Agama kepada Perdana Menteri); Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj Othman (Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia); dan Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad (Naib Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)).

Manakala para panel antarabangsa terdiri daripada Prof. Mohammed Belaiche (Ecole Normale Supérieure, Maghribi), Dr Basil Mustafa (Oxford Centre for Islamic Studies), Prof. Dr. Dawood Abdulmalek Yahya Al Hidabi (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Hamza Yusuf (Zaytuna College), Prof. Françoys Gagné (Canada), Dr. Mariam A. Alghawi (Hamdan Bin Rashid Al Maktoum Educational Award, UAE) dan Prof. Kosugi Yasushi (Kyoto University, Japan).

Para panel penasihat yang dilantik ini akan bertemu pada esok, 12 Oktober (Khamis) sempena Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa PERMATA Insan kali pertama yang akan dipengerusikan oleh YABhg Datin Seri Paduka Rosmah Mansor, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia selaku penaung kepada program PERMATA.

Mesyuarat yang akan berlangsung di Kolej PERMATA Insan USIM ini akan membincangkan secara mendalam aspek falsafah pendidikan, kurikulum dan strategi pengantarabangsaan program PERMATA Insan. Ia juga wadah bagi ahli panel mengiktiraf pendidikan pintar berbakat Islam dan mengangkat taraf program PERMATA Insan ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, agenda yang akan turut dibincangkan adalah mendepani cabaran arus perdana pendidikan masa hadapan serta menerokai jalinan strategik PERMATA Insan bersama institusi pendidikan dan universiti luar negara ternama khususnya. Ia bertujuan untuk membuka ruang kerjasama PERMATA Insan untuk melaksanakan pelbagai program melibatkan pelajar dan tenaga pendidiknya berkaitan bidang STEM dan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli.

Dengan adanya Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa yang dijangkakan setiap dua tahun sekali ini, ia menjadi asas kukuh untuk meletakkan halatuju perkembangan program PERMATA Insan untuk memastikan akan lebih ramai lagi generasi Islam di negara ini yang bakal diasuh dengan pendekatan Integrasi ilmu Naqli dan Aqli berfokuskan STEM yang berpandukan kepada Al-Quran dan Sunnah.

Disediakan oleh:
Pusat PERMATA Insan

Dikemaskini oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204