NILAI, 2 Mac 2017 – Penubuhan Pusat Keamanan Global yang dinamakan King Salman Centre for International Peace telah dipersetujui untuk melibatkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan Arab Saudi dan Malaysia bersama Muslim World League (Rabitah al-Alam al-Islami).

Menurut Prof. Dato’ Dr Musa Ahmad, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), ia merupakan penghargaan besar buat USIM pada masa yang sama bersyukur atas kepercayaan yang diberikan untuk menggalas amanah menubuhkan Pusat Keamanan Global itu.

“Seluruh warga USIM merakamkan setinggi terima kasih dan terharu kepada kepimpinan tertinggi Malaysia dan Arab Saudi kerana memberi kepercayaan kepada USIM untuk bersama-sama merealisasikan penubuhan King Salman Centre for International Peace yang merupakan satu agenda besar kepada negara dan komuniti antarabangsa,” ulasnya.

“Kalau kita lihat kini berlaku banyak peperangan, ketidaktentuan dan suasana yang tidak aman berlaku di negara Islam. USIM merasakan adalah tanggungjawab kita untuk sama-sama membantu mengembalikan dan mengekalkan keamanan di bumi Allah dan mengangkat darjat negara dan umat Islam itu sendiri. Apabila nama USIM diumumkan secara rasmi oleh Kerajaan, rasa syukur dan bangga kerana ia memperlihatkan pengiktirafan kepada keupayaan USIM yang mempunyai pelbagai kepakaran bagi menyokong aspirasi kerajaan dan memainkan peranan yang signifikan diperingkat global,” ucapnya lagi.

“InshaAllah, USIM bersedia mengambil peranan yang dipertanggungjawabkan dalam mengendalikan pusat berkenaan sebaik mungkin bersama-sama pimpinan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dan juga Muslim World League,” tambahnya lagi.

Pada perkembangan yang sama, Prof Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) berkata USIM mempunyai kepakaran untuk membantu kerajaan memberi dan meningkatkan kefahaman sebenar Islam kepada masyarakat dunia termasuklah yang bukan Islam. Pada masa yang sama menjelaskan dasar Wasatiyyah yang didokong oleh Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

“USIM akan bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan untuk menjayakan usaha ini dengan pelbagai pakar-pakar rujuk dalam bidang Islam sama ada dari dalam dan luar negara. Ia selaras dengan tujuan penubuhan pusat tersebut bagi membanteras naratif yang dikeluarkan oleh pihak-pihak radikal dan ekstremis malah kita juga menyokong bahawa isu keganasan tidak sepatutnya dikaitkan kepada mana-mana bangsa, warna kulit dan agama,” tambahnya.

Pusat Keamanan Global yang akan dilancarkan dalam tempoh tiga bulan merupakan susulan kunjungan rasmi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud ke Malaysia jelas menunjukkan hubungan erat terjalin antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi. Kedua-dua kerajaan bersetuju mempertanggungjawabkan Kementerian Pertahanan kedua-dua negara, USIM dan Muslim World League menguruskan pusat ini.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204