NILAI, 6 Oktober 2017 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengadakan pertemuan dengan Atase Kebudayaan Kedutaan Oman, Tuan Salam Yahya Al Mandhari di Kuala Lumpur. Delegasi USIM ini diketuai oleh Naib Canselor sendiri iaitu Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad. Turut bersama ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dekan Pusat Pengajian Siswazah bersama pegawai kanan universiti dan Pejabat Atase Kebudayaan Oman.

Pertemuan ini diatur adalah susulan isu semasa berkaitan keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi Oman melarang pelajarnya melanjutkan pengajian di empat buah universiti tempatan termasuk USIM.

Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana yang mesra dan muhibah hasil hubungan erat dan mesra USIM dengan Kedutaan Oman yang sedia terjalin selama ini. Kesudian pihak pihak Atase Kebudayaan menerima kunjungan yang diaturkan hasil inisiatif USIM ini menunjukkan hasrat baik kedua-dua pihak untuk berbincang isu yang berbangkit ini secara kolektif dan inklusif.

Di dalam pertemuan ini, Naib Canselor melahirkan rasa dukacita dengan isu yang timbul dan universiti mengakui larangan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Oman ini menjejaskan reputasi dan imej universiti selain menimbulkan pelbagai spekulasi dan tafsiran negatif oleh pelbagai pihak.

USIM menerima peningkatan kemasukan pelajar dari Oman saban tahun sejak 2014 dan ini sekaligus menunjukkan pengiktirafan Kementerian Pendidikan Tinggi Oman dan minat yang tinggi dari pelajarnya untuk melanjutkan pengajian di sini. Larangan semasa yang dikeluarkan ini tidak menjejaskan 126 pelajar Oman yang sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang di USIM.

Melalui penjelasan yang diberikan, larangan ini dibuat terhadap USIM tidak berkait dengan kualiti program akademik yang ditawarkan. Ia memberi maksud yang jelas bahawa program program-program akademik USIM adalah berkualiti dan ia seiring dengan penilaian ketat yang perlu dilalui oleh universiti untuk mendapat akreditasi (pengiktirafan) oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi setiap program. Universiti tidak akan berkompromi dengan kualiti pengajian yang kita tawarkan.

Ia dibuat kerana melibatkan isu-isu pentadbiran di peringkat universiti antaranya mengenai permohonan visa, pengurusan akademik dan proses kewangan. Melalui penelitian dan semakan yang dibuat, USIM mengakui terdapat beberapa perkara yang dibangkitkan berpunca daripada kelemahan pentadbiran dalaman universiti manakala beberapa masalah tertentu masih dalam proses penyelesaian kerana ia berkait rapat dengan dasar semasa universiti dan agensi luar yang sedang berkuatkuasa yang memerlukan sedikit masa.

Dalam pertemuan ini juga, Naib Canselor turut mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas (task force) akan dibentuk yang terdiri keahliannya dari wakil Pejabat Atase Kebudayaan Oman dan USIM untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit antara kedua belah pihak dengan kadar segera. Selain itu, USIM akan mendapatkan penjelasan lebih lanjut dari Kementerian Pendidikan Tinggi Oman mengenai tafsiran lebih jelas mengenai penarikan pengiktirafan kepada Universiti ini dan memberikan maklum balas rasmi kepada Pejabat Atase Kebudayaan terhadap setiap isu-isu yang dibangkitkan untuk dipanjangkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi Oman.

Universiti turut memberi penegasan dalam pertemuan ini bahawa USIM tidak pernah melantik mana-mana pihak sebagai agen untuk mencari dan menguruskan pelajar antarabangsa yang melanjutkan pengajian di USIM termasuk pelajar Oman. Terdapat masalah yang timbul berpunca daripada pihak yang tidak bertanggungjawab ini sehingga mendatangkan kesulitan kepada universiti dan pelajar Oman yang terlibat. Siasatan dalaman sedang dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

Pada akhir pertemuan, Pejabat Atase Kebudayaan menzahirkan komitmen untuk membantu universiti agar pengiktirafan ini diberikan semula kepada USIM tanpa melalui prosedur permohonan pendaftaran semula kepada Kementerian Pendidikan Tinggi Oman. USIM meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat isu larangan ini dapat diselesaikan secara baik dan tidak berpanjangan dalam tempoh yang lama. USIM ingin mengekalkan hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua belah pihak dan amat mengalukan kemasukan pelajar Oman ke universiti ini pada masa hadapan selepas larangan ini ditarik balik.

Dikeluarkan oleh :

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA