NILAI, 14 September 2017 – Shariah Governance and Assurance Conference 2017 dengan tema “Towards Sustainability of Shariah Governance and Assurance in Islamic Institutions” anjuran Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dnegan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) diadakan semalam, 13 September bertempat di Royale Chulan Kuala Lumpur berjaya mengumpulkan ramai penyelidik berbincang untuk memajukan urus tadbir shariah di Malaysia dan di kalangan negara serantau.

Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi PNB dalam ucapan perasmian menyatakan bahawa dengan menggunakan kaedah urus tadbir shariah yang baik, pelaburan yang di urus oleh PNB akan dipantau untuk memastikan pelaburannya adalah selari dengan shariah dan keperluan maslahah rakyat Malaysia.

“Ini adalah penting untuk meningkatkan keyakinan pelabur di dalam pelaburan unit amanah ASB adan ASN yang diselanggara oleh PNB,” ucapnya.

YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM dalam ucapan aluannya berharap keterlibatan USIM dan PNB dapat persidangan ini dapat menggarap pengetahuan dan idea bersama untuk meningkatkan wacana keintelektualan.

Dr. Nuradli Ridzwan Shah, Pensyarah Kanan FEM yang juga hadir berkongsi pandangannya bahawa urus tadbir shariah secara khususnya dapat meningkatkan imej dan penjenamaan sesebuah organisasi di mata pelabur dan masyarakat.

“Urus tadbir shariah dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan pengguna untuk meningkatkan imej dan penjenamaan sesebuah syarikat. Ini adalah kerana dengan kemajuan ekonomi negara Malaysia dan sektor pendidikan, rakyat Malaysia kini, mempunyai tahap religositi yang tinggi dan justeru itu permintaan kepada sistem kewangan, pelaburan dan perniagaan yang patuh shariah semakin tinggi permintaannya,” ujarnya.

Menurutnya, berbanding dengan urus tadbir korporat, urus tadbir shariah menekankan kepada pematuhan sesebuah organisasi terhadap perjalananan operasi, kewangan, pelaporan dan kesemua aspek berkaitan pengurusan risiko yang berlandaskan shariah. Industri kewangan Islam, takaful dan pasaran modal Islam di Malaysia telah meletakkan tanda aras yang baik bagi sektor lain untuk contohi. Sektor perniagaan dan sektor sosial (ijtimaie) boleh meningkatkan kecekapan urus tadbir shariah untuk memastikan setiap urusan adalah patuh shariah.

“Urus tadbir shariah dapat dipertingkatkan dengan memastikan proses berkaitan operasi, pelaporan, kelayakan penasihat shariah yang bebas, audit dalaman dan audit shariah dilaksanakan atau diperkasakan di peringkat organisasi,” tambahnya.

Pada majlis perasmian persidangan tersebut, Tan Sri Abdul Wahid juga melancarkan buku “Status Halal ASN dan ASB” yang ditulis oleh Prof. Emeritus Dato’ Paduka Dr Mahmood Zuhdi Hj Abdul Majid, Profesor Akademi Islam, Universiti Malaya, yang juga merupakan ahli panel Penasihat Syariah PNB.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad (MIB), Dato’ Mohamed Rafique Merican; Pengerusi MIB, Encik Zainal Abidin Jamal; Dekan FEM (USIM), Prof. Dr. Amir Shaharuddin serta beberapa ahli pengurusan universiti.

 

Disediakan oleh :
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204