NILAI, 12 September 2017- Seramai enam orang siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi kumpulan sulung siswa Universiti Awam yang menyertai Program Gap Year di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi. Program Gap Year telah diumumkan semasa Majlis Amanat Menteri Pendidikan Tinggi 2017 bagi memenuhi Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu melahirkan  graduan holistik, seimbang dan bercirikan keusahawanan.

Satu pertemuan khas kumpulan pelajar ini bersama Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad telah diadakan pada hari ini bagi menyampaikan amanat dan penyerahan bendera universiti sebelum bertolak ke Kampung Buluh Nipis, Bandar Muadzam, Pahang untuk program pertama mereka dengan masyarakat orang asli di sana.

Mereka terdiri daripada Mohamad Hassanudin Abu Jamil (Sarjana Muda Quran Dengan Multimedia); Mohammad Syafiq Rosli (Sarjana Muda Quran Multimedia); Noorsyafiqah Shaharuddin (Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah); Fatimah Adilah Elias (Sarjana Muda Sunnah Pengurusan Maklumat); Nazratun Nadiah Sa’don (Sarjana Muda Al-Quran Dan Sunnah); dan Sayidatul Aqbaar Zakaria (Sarjana Muda Akidah & Agama).

“Kita amat berbangga atas semangat kesukarelawanan yang ditonjolkan oleh siswa USIM untuk menyertai Gap Year KPT ini kerana mereka akan terlibat sepenuh masa selama setahun yang memerlukan mereka menangguhkan pengajian di universiti (semester) bermula semester ini. Sepanjang tempoh ini, siswa kita akan terlibat dengan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Islamic Relief Malaysia (IRM) untuk membuat refleksi dan penerokaan diri menerusi program kesukarelawanan anjuran IRM di seluruh negara”.

“Mereka menjadi kumpulan pertama siswa USIM menyertai Gap Year dan kumpulan perintis diperingkat Universiti Awam. Penglibatan mereka secara langsung menunjukkan Universiti serius menyahut hasrat dan amanat Menteri Pendidikan Tinggi untuk menjayakannya. Harapan saya dan universiti ingin melihat melalui platform ini menyediakan mereka untuk lebih matang dan bersedia menjadi agen perubahan dalam masyarakat kelak, berbakti dan berbudi dengan ikhlas, menerokai pengalaman baharu diluar bilik kuliah dan bertindak sebagai duta USIM,” ujar Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad.

Bagi Mohamad Syafiq Rosli, beliau amat meminati program khidmat komuniti dan kesukarelawanan bersama masyarakat dan banyak menyertainya program seumpamanya anjuran universiti sebelum ini. Melalui Gap Year ini, beliau tidak berasa rugi menangguhkan pengajian untuk tempoh yang lama kerana ia membuka peluang baru untuknya lebih lama bergelumang dan menyumbang bakti dengan pelbagai lapisan masyarakat. Malahan turut berkongsi aspirasi yang sama bersama teman-teman USIM lain yang turut menyertai Gap Year bahawa program ini akan membentuk diri mereka menjadi mahasiswa yang lebih berketerampilan, berkepimpinan dan berkeyakinan.

Program Gap Year yang ditawarkan oleh KPT ini terdapat dalam tiga bentuk iaitu Gap Year Kesukarelawanan Khidmat Negara; Gap Year Kesukarelawanan; dan Gap Year Umum.  Siswa USIM yang memilih Gap Year Kesukarelawan ini akan terlibat dengan pelbagai projek yang disusun bersama IRM di pelbagai lokasi antaranya di Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Projek yang diatur meliputi pelbagai kumpulan sasar iaitu Orang Asli, nelayan, petani, gelandangan, masyarakat umum, fakir miskin dan mualaf.

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204