Nilai, 2 Ogos 2017 – Telah berlangsungnya Majlis Makan Malam Amal ”Charity Dinner for Fee and Friends” dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertujuan untuk melestarikan program kebajikan seperti membiayai yuran pelajar berkelayakan dan mengumpul dana bagi membiayai perbelanjaan program pengantarabangsaan atau pengembaraan USIM, Global Islamic Students Outreach atau singkatannya GISO.

Antara tetamu jemputan istimewa yang hadir terdiri daripada Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Menteri Mentor USIM, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dato’ Musa Ahmad, Timb. Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Zulkiple Abd Ghani, YBhg. Timb. Naib Canselor (HEP Dan Alumni), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, En. Nasrul Hakim Ahmad.

Bertempat di Dewan Tuanku Canselor, majlis yang bermula jam 8.45 malam itu dimulakan dengan bacaan doa serta ucapan aluan daripada penganjur. Disusuli dengan jamuan makan malam diiringi persembahan iringan dari Pusat Kebudayaan USIM. Turut mewarnai majlis ini ialah persembahan dari Siti Nordiana juara Gegar Vaganza musim ke-2.

Dalam ucapan alu-aluan dari YBhg. Dato’ Naib Canselor, matlamat penganjuran majlis ini adalah untuk mengumpulkan dana sumbangan dalam usaha USIM melestarikan program-program kebajikan dan pengantarabangsaan pelajar. Selain itu, majlis ini dapat menggalakkan organisasi atau individu terutamanya di kalangan Alumni USIM untuk turut menyumbang dan melibatkan diri dalam usaha melestarikan program-program kebajikan dan pengantarabangsaan ini.

Manakala YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata, inisiatif pelancaran Alumni USIM Chapter Negeri Sembilan sangat bagus bagi  membangunkan Negeri Sembilan ini. Beliau berharap, Alumni USIM berupaya dan berkebolehan untuk menyumbang dalam pelbagai cara terutamanya dengan perancangan komprehensif di peringkat nasional melalui Greater Klang Valley dan di peringkat Negeri Sembilan melalui Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045.

Sempena Majlis Makan Malam Amal “Charity Dinner for Fee and Friends” ini juga, USIM turut melancarkan Buku Foto Pengembaraan USIM Global Islamic Student Outreach 2016 dan Alumni Chapter Negeri Sembilan.

Disediakan oleh:
Amizul Aziz
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204