PUTRAJAYA, 27 November 2017 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Institut Sains Islam dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menganjurkan Foresight Workshop: Leaders, Laggards, Losers Or Lost: The Alternative Futures Of Malaysian Universities bermula hari ini sehingga 29 November 2017 bertempat di Hotel Dorsett Putrajaya.

Bengkel yang dikenadalikan oleh Profesor Sohail Inayatullah, Penyandang Kursi UNESCO in Future Studies di USIM ini dilaksana bagi mengkaji semula dasar berhubung halatuju Institusi Pengajian Tinggi seiring dengan perubahan yang berlaku pada masa kini selain menjadi platform untuk memberi pendedahan kepada pemimpin Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia untuk menggunakan kaedah Foresight dalam merancang transformasi institusi pendidikan supaya lebih berdaya saing, lebih berkesan dan berimpak tinggi di dalam era pendidikan revolusi industri ke-4.

Lebih dari 10 penyertaan diterima antaranya peserta antarabangsa seperti Korea, Pakistan dan Taiwan, serta peserta dari Universiti Awam dan Swasta seperti UKM, UTHM, UMK dan UNITEN.

”Malaysia terkenal sebagai hab pendidikan tinggi dunia dan mengiktiraf peningkatan kualiti serta sistem pendidikan tinggi negara harus mengambil langkah-langkah yang efektif dalam menghasilkan pelajar-pelajar universiti yang proaktif mesti keluar daripada kebiasaan. Justeru, penganjuran bengkel ini dapat memberikan pendedahan tentang kepentingan perancangan halatuju bagi menjamin masa depan menjadikan sesebuah institusi pendidikan yang unggul di masa hadapan,” ucap YBhg Prof Dr Roshada Hashim, Timbalan Naib Canselor yang hadir mewakili Naib Canselor USIM.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YBhg. Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Dalam ucapannya Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir berharap agar bengkel ini dapat memberi pemahaman khusus dan persediaan kepada Institusi Pendidikan Tinggi tentang isu-isu terkini yang mampu membentuk masa depan yang lebih dinamik serta mapan.

“Amatlah diharapkan agar bengkel ini mampu memberikan impak besar khusus buat pemimpin-pemimpin di institusi pengajian tinggi bagi menghasilkan generasi masa depan yang menjadi ejen transformasi nasional negara,” ucapnya lagi.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204