NILAI, 31 Oktober 2017 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyahut inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada baru-baru ini.

Majlis melafaz dan menandatangani IBR oleh USIM disertai oleh sekitar 67 orang kakitangan terdiri daripada Pengurusan Tertinggi, Dekan, Timbalan Dekan, Ketua Jabatan, Timbalan Ketua Jabatan dan Pegawai Kanan Universiti. Majlis menandatangi dan ikrar IBR ini didahului oleh Naib Canselor USIM, YBhg. Prof Dato Dr Musa Ahmad bertempat di Dewan Senat USIM.

Majlis disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, YBhg. Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil selain turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan SPRM dan USIM.
Menurut Shamsun Baharin, dengan inisiatif USIM untuk menandatangani IBR akan lebih memantapkan lagi komitmen pengurusan tertinggi USIM dalam isu tadbir urus dan integriti dan seterusnya menjadi contoh yang boleh dipatuhi oleh warga kerja USIM.

“Rasuah dan salah guna kuasa merupakan ancaman yang boleh merosakkan ekonomi serta sistem pentadbiran sesebuah negara. Keputusan yang dibuat atas dasar rasuah bukanlah untuk manfaat atau faedah sesebuah organisasi, sebaliknya ianya lebih kepada untuk melayan kepentingan individu. Perlakuan rasuah yang tidak dibendung boleh membawa kepada kemusnahan sesebuah organisasi sama ada di sektor awam atau swasta”.

“IBR ini dengan jelas memperlihatkan kejujuran, keikhlasan, komitmen kerja dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang lebih kondusif dan bebas daripada sebarang anasir rasuah demi menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada anak bangsa,” ujarnya.

Naib Canselor USIM dalam ucapannya memaklumkan di peringkat universiti, USIM telah menubuhkan Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR) USIM pada tahun 2008 dan masih aktif sehingga kini.

SPR USIM mendapat kerjasama yang baik daripada SPRM Peringkat Negeri Sembilan. Antara program-program yang telah dianjurkan adalah Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah dan Salah Guna Kuasa (PEMARAH) yang telah diadakan pada 12 Ogos 2017 di Dewan Tuanku Canselor USIM, Program Kempen Anti Rasuah (KEMAR), Larian Hapus Rasuah, Wacana Kepimpinan Pelajar dan lain-lain.

Disediakan oleh :
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204