NILAI, 2 Ogos 2017 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) amat gembira dengan pencapaiannya dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 apabila berjaya mendapat penarafan Indeks Akauntibiliti Lima Bintang (Cemerlang) dalam Pengurusan Kewangan apabila mendapat markah keseluruhan sebanyak 90.97 peratus.

Pengauditan pengurusan kewangan yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara ini selaras dengan kehendak Perkara 106 dan 107, Perlembagaan Persekutuan serta Akta Audit 1957. Pencapaian ini sekaligus mengekalkan pencapaian penarafan Lima Bintang (Cemerlang ) Pengurusan Kewangan yang diterima USIM sebelum ini pada 2015.

Sebanyak 38 Badan Berkanun Persekutuan (BPP) termasuk USIM telah diaudit secara pusingan iaitu dalam tempoh tiga (3) tahun sekali oleh Jabatan Audit Negara. Penarafan cemerlang yang diterima USIM adalah hasil penilaian terhadap terhadap sembilan (9) aspek utama kawalan pengurusan kewangan iaitu Kawalan Pengurusan; Kawalan Bajet; Kawalan Terimaan; Pengurusan Perolehan; dan Kawalan Perbelanjaan.

Turut dinilai ialah Pengurusan Kumpulan Wang Pinjaman dan Deposit; Pengurusan Aset dan Stor; Pengurusan Pelaburan dan Pinjaman serta Pengurusan Penyatan Kewangan. Pengauditan ini dilaksanakan dengan menyemak rekod dan dokumen kewangan bagi tahun 2016 serta penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2015.

Pelaksanaan pengurusan kewangan yang mantap dan cekap oleh Universiti terbukti apabila mendapat penarafan indeks akauntabiliti lima bintang (markah 90 dan ke atas) dalam tujuh aspek.

Lebih membanggakan, dari tujuh (7) senarai aspek yang dinilai ini, empat (4) darinya mendapat markah penuh iaitu 100 peratus bagi Kawalan Bajet; Pengurusan Kumpulan Wang Pinjaman dan Deposit; Pengurusan Pelaburan dan Pinjaman dan Pengurusan Penyata Kewangan.*

Penarafan lima bintang lain yang turut diterima adalah bagi penilaian Kawalan Pengurusan (92.64 peratus); Kawalan Terimaan (90.20 peratus) dan Pengurusan Perolehan (92.68 peratus).

Penarafan ini merupakan satu petunjuk yang jelas bahawa USIM amat berhati-hati dan berhemah dalam membelanjakan peruntukan kewangan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat. Walaupun dengan kekangan peruntukan kewangan yang dialamai saban tahun, Universiti memanfaatkan sebaik mungkin sumber kewangan terhad yang dimiliki Universiti untuk perbelanjaan yang utama , penting dan terancang.

Pencapaian cemerlang yang diterima ini juga adalah hasil kerjasama dan komitmen jabatan- jabatan di USIM untuk mematuhi dan melaksanakan peraturan kewangan yang berkuatkuasa. Ia juga hasil hasil usaha Jabatan Bendahari dan Bahagian Audit Dalam yang telah melaksanakan fungsi dan peranan masing-masing dengan cekap dan proaktif. Pemantauan secara dekat dan berterusan oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti untuk menambahbaik pengurusan kewangan Universiti turut sama menyumbang kepada kejayaan ini.

Kesimpulannya, melalui Penarafan Indeks Akauntabiliti – Cemerlang yang diterima melalui Laporan Ketua Audit Negara 2016 ini akan menjadi suntikan motivasi kepada Universiti untuk terus mengekalkan rekod ini pada masa hadapan selain dari semasa ke semasa terus gigih memperbaiki, mempertingkat dan memperkasakan prestasi pengurusan kewangan Universiti.

 

Prepared by:
Zaini Othman
Strategic Communication Centre (StraComm)
Level 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204