Tuanku Canselor

Laman Utama/Tuanku Canselor
Tuanku Canselor 2016-11-30T12:40:15+00:00

DULI YANG MAHA MULIA TUNKU AMPUAN BESAR NEGERI SEMBILAN
TUANKU AISHAH ROHANI BINTI ALMARHUM TENGKU BESAR MAHMUD

Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud telah diputerikan pada 19 Jun 1952 bersamaan 26 Ramadhan 1371H di Batu Gajah, Perak dan merupakan anakanda ketiga kepada Yang Amat Mulia Tengku Seri Utama Raja Tengku Besar Mahmud ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III dan To’ Puan Hajjah Zainun binti Hj. Su Mahmud. Baginda telah menerima pendidikan awal di beberapa buah institusi di antaranya Sekolah Rendah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, Sekolah Convent Taiping dan Sekolah Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur.

Ke Bawah Duli Tuanku selamat diijabkabulkan dengan Yang Amat Mulia Tunku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, yang pada waktu itu merupakan Tunku Besar Seri Menanti dan kini Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan pada 25 April 1974. Ke Bawah Duli Tuanku berdua dikurniakan tiga orang putera iaitu Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin (diputerakan pada 26 April 1977), Yang Amat Mulia Tunku Zain Al‘Abidin (diputerakan pada 6 Julai 1982) dan Yang Amat Mulia Tunku Alif Hussein Saifuddin AlAmin (diputerakan pada 3 September 1984).

Ke Bawah Duli Tuanku telah ditabalkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan pada 14 April 2009 atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti. Baginda telah dikurniakan Darjah Kerabat Negeri Sembilan Yang Amat Dihormati, D.K. (N.S) pada 21 April 2009 dan Darjah Dato’ Paduka Tuanku Jaafar (D.P.T.J.) pada tahun 1996.

Ke Bawah Duli Tuanku juga begitu menyenangi dan menyayangi kanak-kanak.Baginda pernah ke Amerika Syarikat untuk mengikuti kursus penjagaan kanak-kanak istimewa khususnya dalam bidang perkembangan minda kanak-kanak yang dianjurkan oleh “Institute For The Achievement of Human Potential”, Pennsylvania. Dengan pengetahuan yang mendalam dalam bidang ini, Baginda Tuanku dapat memberi asuhan yang sempurna kepada Anakanda Baginda yang bongsu, Yang Amat Mulia Tunku Alif Hussein Saifuddin AlAmin di samping, sering memberi nasihat dan tunjuk ajar serta pertolongan kepada mereka yang memerlukan.

Kehidupan Ke Bawah Duli Tuanku sebagai Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan tidak membatasi pergerakan Baginda Tuanku dalam menjalin hubungan dengan rakyat menerusi aktiviti-aktiviti amal dalam konteks kemasyarakatan dan kemanusiaan. Baginda sering mencemar duli mengunjungi dan menyampaikan sumbangan untuk rumah-rumah kebajikan dan hospital. Baginda juga merupakan Penaung DiRaja bagi Inner Wheel Club of Kuala Lumpur serta Persatuan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Sembilan. Sukan golf menjadi sukan kegemaran kepada Ke Bawah Duli Tuanku bagi aktiviti riadah Baginda. Selain itu, Baginda Tuanku juga turut mengisi masa lapang dengan aktiviti membaca.

Pada tanggal 3 Disember 2011 menjadi tarikh yang amat bermakna bagi warga USIM apabila DYMM Tuanku dimasyhurkan sebagai Canselor USIM sempena Majlis Konvokesyen USIM kali ke-9 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC). Teks rasmi pelantikan DYMM Tuanku sebagai Canselor Kedua dibacakan oleh Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM mewakili YB Dato’ Seri Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.