Tuanku Pro Canselor

Laman Utama/Tuanku Pro Canselor
Tuanku Pro Canselor 2016-11-30T11:58:44+00:00

YANG AMAT MULIA TUNKU BESAR SERI MENANTI
TUNKU ALI REDHAUDDIN IBNI TUANKU MUHRIZ
PRO CANSELOR UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz adalah putera sulung kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir dan Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Ibni Almarhum Tengku Besar Mahmud. YAM Tunku diputerakan di Hospital Universiti, Kuala Lumpur pada 26 April 1977, iaitu genap tiga tahun satu hari selepas perkahwinan ayahanda dan bondanya.
YAM Tunku mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Sri Inai Junior dan The Alice Smith School Kuala Lumpur sebelum melanjutkan persekolahan menengahnya di Marlborough College di Wiltshire, United Kingdom di peringkat GCSE (‘O’ Level) dan GCE ‘A’ Level. YAM Tunku juga bergiat aktif mewakili kolej dalam sukan badminton dan bola keranjang, dan menjalani latihan asas ketenteraan dengan menganggotai Angkatan Kadet Campuran (CCF).

YAM Tunku mencapai keputusan cemerlang di peringkat ‘A’ Level dan dianugerahkan biasiswa Sime Darby / Cambridge Commonwealth Trust untuk melanjutkan pelajaran di University of Cambridge dalam bidang Sejarah dan Sains Sosial & Politik dan seterusnya dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Kepujian, BA (Hons) dalam tahun 1998.

YAM Tunku juga amat aktif sewaktu di universiti apabila dilantik sebagai ahli jawatankuasa Persatuan Warga Malaysia dan sebagai Bendahari, Cambridge University Orient Express, sebuah persatuan yang ditubuhkan bagi meningkatkan kesefahaman budaya di antara pelbagai kebudayaan di Asia dan juga di United Kingdom.

Pada tahun 1997, YAM Tunku berkhidmat di BZW Asia Ltd sebagai Summer Analyst, Corporate Finance. Kemudian YAM Tunku memulakan kerjayanya sebagai konsultan di McKinsey & Company, United Kingdom pada tahun 1998 dengan mengendalikan projek-projek dalam industri minyak dan gas, institusi kewangan, teknologi dan telekomunikasi. Ketika di Mckinsey & Company, pelbagai pendedahan dan pengalaman yang ditimba sewaktu YAM Tunku menjalankan tugas di Eropah, Amerika Syarikat, Hong Kong, Singapura dan juga Malaysia.

Pada tahun 2004, YAM Tunku berhasrat untuk berkhidmat dan menyumbang kepada tanah air melalui Khazanah Nasional Berhad, agensi pelaburan strategik kerajaan Malaysia, sebagai Senior Vice President, Investments. YAM Tunku terlibat secara aktif dalam inisiatif seperti Government Linked Companies’ (GLC) Transformation Programme serta menerajui pelaburan strategik di dalam dan di luar negara.

Antara projek yang diterajuinya adalah dalam bidang institusi kewangan serta taman tema seperti Legoland Malaysia dan Kidzania Kuala Lumpur dan kerjayanya berkesudahan dengan perlantikan sebagai Director, Investments. Semenjak itu, YAM Tunku menduduki kerusi Lembaga Pengarah beberapa syarikat, diantaranya Asia Capital Reinsurance Malaysia, Themed Attractions and Resorts, Destination Resorts and Hotels, Teluk Datai Resorts dan Iskandar Malaysia.

Tahun 2009 merupakan tahun gemilang di dalam sejarah hidup YAM Tunku Ali Redhauddin. YAM Tunku dengan rasminya dimasyhurkan sebagai Tunku Besar Seri Menanti, menggantikan ayahandanya, DYMM Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir yang ditabalkan sebagai Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus. YAM Tunku juga dikurniakan Darjah Kerabat Yam Tuan Raden (DKYR) dan ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Kolonel (Kehormat) dalam kor Askar Wataniah.

Walaupun sibuk dengan tugasan rasmi yang disandang, YAM Tunku Ali Redhauddin berjaya menamatkan program Masters in Public Administration di John F. Kennedy School of Government di Harvard University, Amerika Syarikat pada Julai 2011.

YAM Tunku bergiat aktif dalam program-program pembangunan masyarakat, diantaranya menganjurkan bengkel-bengkel kepimpinan untuk pelajar dan juga golongan profesional muda. YAM Tunku turut melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang memberi pimpinan, bimbingan, dorongan dan pendedahan kepada anak-anak muda mahupun yang masih di bangku sekolah. Pendekatan YAM Tunku terhadap tanggungjawab kepada masyarakat dipikul melalui penglibatan YAM Tunku sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Pengasas, Teach for Malaysia, Pengerusi, Yayasan Munarah serta Gabenor, Marlborough College Malaysia. YAM Tunku juga dilantik sebagai Karyawan Tamu Diraja Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Di samping memberi tumpuan terhadap kerjaya dan keluarganya, YAM Tunku gemar meluaskan pengalaman dan pemikiran dengan melancong, membaca dan aktiviti-aktiviti riadah. YAM Tunku juga merupakan penggemar sejarah dan sehingga kini masih tekun membaca buku sejarah. YAM Tunku Ali baru mula bergiat dalam sukan golf tetapi prestasinya masih boleh diperbaiki lagi. YAM Tunku berharap agar dapat berbakti dan memainkan peranan yang penting dan berpanjangan dalam pembangunan dan kejayaan rakyat Negeri Sembilan serta kemajuan Malaysia.

Sesungguhnya, seluruh warga Universiti Sains Islam Malaysia amat berbangga dan berbesar hati dengan perlantikan Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz sebagai Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia.