Hariza Mohd Yusof, Head of Publishing, University Sains Islam Malaysia, has almost 15 years of experience in scholarly publishing, especially at public universities. Since 2003, she has been heading the publishing department in this university with many local and international authors. She is still young and new in the world of publishing, but committed to explore the chances to build up cooperation networks with other publishers, either through licensing or joint publication projects. Recently, her department has successfully concluded licensing agreements with Takushoku University and the Japan-Malaysia Association. She also managed to get subsidiary rights for Arabic scholarly books and journals from the al-Manhal data-base in Jordan. She is also an author, and has contributed content to biographies, general and children’s books.

S1Boleh puan ceritakan serba ringkas latar belakang penubuhan Bahagian Penerbitan. Kongsikan juga pengalaman mengurus pada peringkat awal penubuhannya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Penubuhan Bahagian Penerbitan di Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) atau kini dikenali sebagai Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bermula pada 10 Februari 2003 dengan pelantikan saya sebagai Pegawai Penerbitan. Pada ketika itu ia merupakan sebuah unit sahaja dan diletakkan di bawah Jabatan Canselori. Memandangkan saya merupakan pegawai penerbitan yang pertama, saya dipinjamkan oleh Prof. Dato’ Muhamad Muda dengan pegawai di bawahnya yang pada ketika itu berada dalam skim sangkutan. Antara yang banyak membantu saya ketika itu ialah Pn. Khairunnajwa kemudian seorang pembantu tadbir diserapkan yang juga merupakan staf baharu di KUIM iaitu Pn. Norhaizan.

Fokus utama pada peringkat awal penubuhan Unit Penerbitan adalah bagi menyediakan penerbitan karya ilmiah yang merupakan teras bagi penerbitan sesebuah universiti itu. Penerbitan pertama yang berjaya dihasilkan oleh pihak kami ialah An-Nubuwwah Bayna Al-Mutakallimin Wa Al-Falasifah, karya Tan Sri Shukor.  Sebelum itu universiti telah mempunyai dua buah hasil penerbitan yang terdahulu iaitu: Abd. Qadir Al-Jilani karya Datuk Sri Abdullah Muhammad Zin dan buku prosiding “Kebatilan Dalam Ajaran Kebatinan”.

Sejak itu, Penerbit USIM giat mencari pelbagai manuskrip untuk diterbitkan dan bagi menjayakan hasrat ini pelbagai bengkel penerbitan diadakan secara berkala. Bagi memulakan langkah awal menyertai dunia penerbitan, kami mula menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun 2004 dengan hanya berbekalkan lima tajuk buku sahaja. Kini, Penerbit USIM boleh berbangga kerana telah mempunyai jenama yang tersendiri dan mampu meneroka ke pasaran antarabangsa seperti di Jerman, Jepun, Jordan, Indonesia dan Brunei.

Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan pada awal penubuhan ialah saya berkongsi meja dan komputer dengan pembantu tadbir saya dalam memulakan segala urusan unit ini. Pada tahun 2004, pihak kami menerima seorang kakitangan baharu dan sehingga kini, Bahagian Penerbitan mempunyai kekuatan sumber manusia seramai 13 orang dalam pelbagai gred jawatan. Kami juga telah mengalami beberapa transformasi sehinggalah menjadi PTJ sendiri pada tahun 2010.

S2Bagaimana puan melihat kecemerlangan Bahagian Penerbitan sejak dari awal penubuhannya?

 

Bahagian Penerbitan boleh menarik nafas lega kerana hasrat USIM untuk menjayakan USIM 2016 dan juga USIM 2025 telah berjaya dicapai dalam tempoh lebih awal lagi. Ini kerana, Bahagian Penerbitan telah berjaya menerbitkan beberapa buah buku dengan kerjasama rakan di Brunei, Indonesia, Jepun dan juga di Jerman. Penerbit USIM bukan sahaja berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) universiti malah turut juga meraih perhatian media antarabangsa untuk mengutip ROI lagi bagi nama USIM dan ini sangat penting bagi penjenamaan USIM di mana berita mengenai Majlis Pelancaran Buku Penerbit USIM di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt turut disiarkan dalam media di Jerman. Antara Anugerah yang telah diperolehi oleh Penerbit USIM ialah:

1.    Anugerah Buku Negara 2015 – Buku Umum Terbaik (Kategori Undang-Undang Islam)
2.    Anugerah  Buku Terbaik  MAPIM 2103, (Kemanusiaan & Sains Sosial)
3.    Anugerah Buku Umum Terbaik (Kategori Undang-Undang) di Anugerah Buku Negara 2014
4.    Pingat PERAK Kategori Buku Pertandingan Inovasi dan Rekacipta Kaunseling (tajuk buku: Pengenalan Kepada Profesion Kaunseling (2010)
5.    Pingat EMAS Kategori Buku Pertandingan Inovasi dan Rekacipta Kaunseling (tajuk:Teori Kaunseling dan Psikoterapi- Edisi Kedua)
6.    Anugerah Industri  Buku- Suntingan Terbaik: Anugerah Peringkat Kebangsaan-(tajuk buku: Diyat dalam Perundangan Islam) oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN).

S3 Bagaimana Bahagian Penerbitan mencipta citra yang unik dalam membantu industri penerbitan buku di negara ini ke pasaran antarabangsa?

 

Bahagian Penerbitan menjadi ahli Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) mulai tahun 2003. Sejak itu, Bahagian Penerbitan mulai mengintai peluang bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga antarabangsa. seperti Pesta Buku Frankfurt, Jerman dan sebagainya telah menjadi platform membina rangkaian strategik di peringkat antarabangsa. Kerjasama yang telah dilaksanakan ialah dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Tokoshoku University dan Japanese- Malaysia Association (JMA), Jepun, KUPU SB, dan sebagainya. Antara projek yang telah dilaksanakan ialah penerbitan Buku “Jom Belajar Bahasa Melayu’ yang turut diedarkan di Jepun. Selain itu juga, pangkalan data untuk jurnal-jurnal di Jordan iaitu ‘Al Manhal’ telah melanggan Jurnal Ulum Islamiyyah dan Jurnal Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) iaitu The Journal of Muamalat and Islamic Finance Research.

Bahagian Penerbitan menyedari akan keperluan untuk mencipta citra yang unik bagi berjaya dalam industri buku ini dengan menjadikan Penerbit USIM sebagai Pakar Rujuk dan ini terbukti apabila Penerbit USIM turut mendapat permintaan bagi menjalani program sangkutan di Bahagian Penerbitan.

S4 Senario industri penerbitan buku pada masa ini telah berubah dengan kewujudkan e-book. Bagaimana Bahagian Penerbitan melihat situasi ini dan strategi yang dilaksanakan agar mampu kekal bersaing?

 

Saya melihat perkembangan e-book secara positif kerana kemajuan teknologi khususnya teknologi maklumat pada hari ini banyak membantu semua pihak. Maka dengan sebab itulah, Bahagian Penerbitan turut menyediakan strategi untuk memastikan tidak ketinggalan dalam perkara ini dengan bekerjasama dengan e-Sentral sebagai platform bagi menjual buku atas talian sejak tahun 2012 lagi dan sebanyak hampir 50 buah tajuk buku terlibat telah dijadikan e-book melalui projek tersebut. Penulis buku-buku ini juga telah mendapat bayaran dan royalti hasil daripada karya mereka itu. Bagi strategi jangka panjang, Penerbit USIM sekarang ini sedang membangunkan sendiri platform bagi menjual buku secara atas talian dan dijangka akan dapat dilaksanakan pada tahun 2016 ini. Platform ini akan membantu memudahkan lagi Bahagian Penerbitan mengawal segala bentuk strategi dan konsep pemasaran atas talian ini sepenuhnya. Dijangka sebanyak 20 buah tajuk buku akan dapat diterbitkan melalui konsep atas talian pada tahun ini.

S5 Apakah harapan puan pada masa akan datang kepada industri penerbitan buku di Malaysia mahu pun di peringkat antarabangsa?

 

Saya amat berharap agar Bahagian Penerbitan atau sebagai jenama Penerbit USIM atau USIM Press akan terus menjadi sebuah Penerbit Buku yang berjaya dan mempunyai reputasi yang disegani oleh semua pihak sama ada di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa. Bahagian Penerbitan berhasrat untuk menjadi antara pemain utama industri buku ilmiah dan kategori lain agar dapat mengangkat martabat keilmuan ke peringkat yang lebih tinggi untuk manfaat semua lapisan masyarakat. Maka dengan sebab itulah, Bahagian Penerbitan telah menyediakan Pelan Perancangan Strategik jangka panjang yang mampu memacu kecemerlangan pada masa akan datang.