Alumni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Hilal Alias yang merupakan graduan Program Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko (ASRM), Fakulti Sains dan Teknologi (FST) pada tahun 2009 telah menjadikan bidang hartanah sebagai kerjayanya.

Kurangnya penglibatan golongan bumiputera dalam bidang ini mendorong beliau untuk menceburi bidang hartanah secara serius dan menjadikannya sebagai kerjaya. Kejayaan Alumni USIM dalam meneroka bidang hartanah ini telah membuka banyak mata agar melihat propek bidang ini secara serius.

Menurut Hilal Alias, bidang hartanah merupakan satu bidang yang membuka peluang pelaburan yang kukuh pada masa hadapan.

Maka, ia perlu diteroka secara optimum khususnya bagi membantu masyarakat mempunyai kesedaran mengenai pelaburan dalam hartanah untuk jangka panjang.

Ini akan membantu masyarakat bukan sahaja mempunyai aset dalam jangka panjang tetapi dapat memastikan aset mereka mempunyai nilai tambah pada masa hadapan dan akan dapat membantu membiayai kehidupan mereka pada masa depan khususnya kepada pesara-pesara.

Beliau yang mengikuti pengajian dalam Program Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko (ASRM), FST, USIM dari tahun 2005-2009 menyatakan bahawa program pengajian dalam bidang Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko ini telah banyak membantu dalam kerjaya beliau pada hari ini.

Pendedahan mengenai subjek pelaburan dan pengurusan risiko yang diajar semasa pengajian di USIM membantu beliau dalam membuat keputusan yang tepat dalam bidang ini.

Menurut beliau, bidang hartanah yang diceburinya itu, membantu pelanggan mendapatkan hartanah yang bersesuaian dengan kemampuan kewangan mereka khususnya bagi golongan muda yang kurang mempunyai pengetahuan mengenai pelaburan hartanah.

Melalui khidmat nasihat yang diberikan dalam aspek ini, pelanggan akan dapat membuat pelaburan hartanah mereka secara optimum bagi mendapatkan keuntungan dan mengelakkan kerugian.

Namun begitu, kerjaya sebagai Perunding hartanah ini tidak memberikan gaji bulanan kerana ia bergantung kepada nilai komisyen yang diperolehi hasil daripada sebarang transaksi hartanah yang dibuat.

Maka dengan sebab itulah, kerjaya sebagai agen hartanah ini cukup mencabar terutama dalam situasi ekonomi masa kini di mana pelanggan lebih berhati-hati dalam memilih pelaburan termasuklah hartanah yang melibatkan kos yang tinggi dan berisiko.

Hilal Alias berharap dapat membuka cawangan agensi hartanah di seluruh Malaysia kelak. Pada masa ini, beliau mempunyai seramai 6 orang kakitangan  sepenuh masa dan hampir 300 orang perunding hartanah yang aktif di Kuala Lumpur dan Selangor.

Ini kerana menurut beliau, prospek bidang hartanah ini belum diteroka secara maksimum khususnya di kalangan generasi muda bumiputera.

Maka dengan sebab itulah, beliau menasihati kepada graduan yang berminat untuk menceburi bidang ini agar tidak malu dan sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh bagi membantu meningkatkan ekonomi diri, keluarga, bangsa dan juga negara melalui bidang hartanah.