Ir. Daim Saian, Pengarah Pembangunan di Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Jurutera Profesional (PE NO 9696) yang berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) dan menjadi ahli kepada Institut Jurutera Malaysia (IEM). Mempunyai pengalaman berkhidmat selama 16 tahun sebagai Jurutera Bangunan di JKR Daerah Gombak bermula tahun 1984 memberikannya kelebihan untuk terus memberikan yang terbaik dalam menyumbang kepakaran dan idea apabila memulakan perkhidmatan di USIM pada 2 Februari 2011 sebagai pengarah di jabatan yang sama yang dulunya dikenali sebagai Unit Pembangunan.

S1Bolehkah tuan ceritakan serba ringkas latar belakang penubuhan Jabatan Pembangunan dan Fasiliti (JPPF), USIM ini?

Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) ditubuhkan pada tahun 2001 dan pada peringkat awalnya dikenali sebagai Unit Pembangunan. Pada masa itu, Unit ini hanya mempunyai seorang Ketua Jabatan dan dua orang juruteknik. Pada peringkat awal, kami bertanggungjawab menguruskan fasiliti di premis sementara Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) yang kini dikenali sebagai Universiiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Menara A dan Menara B di Pandan Indah.  Selain dari itu, Unit ini juga turut membantu dalam meninjau beberapa lokasi tapak untuk pembinaan Kampus Tetap KUIM.

Kini setelah hampir 17 tahun, JPPF mempunyai struktur organisasi yang lebih kemas dengan kakitangan seramai 91 orang daripada pelbagai peringkat jawatan sokongan hingga kepada pengurusan dan profesional. JPPF kini mempunyai tiga bahagian iaitu Bahagian Pentadbiran, Bahagian Kejuruteraan dan juga Bahagian Pengurusan Kontrak, Arkitek dan Landskap yang mana fungsi utamanya adalah menguruskan pelaksanaan projek, menguruskan penyelenggaraan dan pengoperasian semua kemudahan fizikal.

S2Pihak saya dimaklumkan bahawa tuan antara tokoh awal yang terlibat dalam perancangan Kampus Tetap USIM di Bandar Baru Nilai. Bolehkah pihak tuan, kongsikan pengalaman tersebut.

KUIM mempunyai nostalgia yang cukup rapat dengan saya.  Ini kerana saya yang sebelum ini berkhidmat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah ditawarkan berkhidmat dengan Universiti ini sejak 2001, terlibat secara langsung dalam perkembangan pembangunan fizikal USIM dari mula.

Pada peringkat awal, JPPF menguruskan premis kampus sementara Universiti di Institut Profesional Baitulmal, Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Pada masa itu, KUIM hanya mempunyai tiga buah Fakulti sahaja iaitu Fakulti Syariah dan Kehakiman, Fakulti Dakwah dan Pengurusan Islam dan juga Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS). Sebanyak 66 unit asrama telah disewa daripada pihak Institut Profesional Baitumal (IPB) bagi penginapan pelajar sulung KUIM seramai 255 orang ini.

Sesi akademik 2001/2002 menyaksikan pertambahan bilangan pelajar kepada 553 orang menyebabkan KUIM terpaksa mencari ruang yang lebih besar untuk kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta penginapan. Pada 21 Januari 2002, keseluruhan pentadbiran KUIM telah berpindah ke Menara A, Pandan Indah. Manakala untuk pengajaran dan pembelajaran pula menggunakan lokasi di Menara B.

Penginapan pelajar pula di Asrama Riveira 2 dan Riveira 3 di Cheras Baru. Situasi ini amat mencabar bagi pihak Unit Pembangunan memandangkan dengan bilangan kakitangan yang terhad dan terpaksa menguruskan penyewaan premis pula maka bermacam-macam isu dihadapi bagi memastikan semua aspek kemudahan pelajar dapat dipenuhi, khususnya urusan dengan pihak tuan punya bangunan.

Pada 20 Ogos 2002, merupakan saat yang bersejarah bagi Unit Pembangunan dan USIM kerana Majlis Pecah Tanah Kampus Tetap USIM di Bandar Baru Nilai telah disempurnakan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kampus tetap USIM di Bandar Baru Nilai ini berkeluasan 188 hektar dan dibangunkan dalam 2 fasa. Fasa 1 dibina melalui Rancangan Malaysia ke 8 (RMK8) dan Fasa 2 pula melalui Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK9).

Alhamudulilah, berkat daripada kerjasama semua pihak, maka USIM dapat berpindah ke Kampus Tetap di Bandar Baru Nilai pada bulan Julai 2005. Terima kasih diucapkan kepada Mantan Naib Canselor Pertama KUIM@USIM, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin, Mantan Pendaftar, Tuan Haji Addenan Haj Abd Rahman dan Mantan Bendahari, Puan Hajah Rohani Abu yang banyak membantu dalam merealisasikan impian USIM untuk mempunyai bangunan sendiri di Kampus Tetap di Bandar Baru Nilai ini. Tidak lupa juga kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri yang telah meluluskan peruntukan pembangunan.

 

S3 Bangunan di USIM amat menarik perhatian banyak pihak. Bolehkah pihak tuan terangkan serba ringkas mengenai konsep dan tema senibina bangunan USIM ini?

Kampus Tetap USIM di Bandar Baru Nilai amat strategik kerana ia berada dalam lingkungan Koridor Raya Multimedia (MSC). Ini menjadikan kedudukan USIM berada berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya dan bersebelahan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Ini menjadikan USIM amat strategik sebagai Hub Pendidikan Tinggi kerana berhampiran dengan Lembah Kelang. Kehadiran USIM di Bandar Baru Nilai telah menjadi tarikan utama peningkatan aktiviti ekonomi sekitar. Sewa rumah teres Desa Anggerik hanya RM300 pada 2002, namun kini melambung mencecah RM1,200 sebulan.

Pembinaan bangunan di USIM mempunyai nilai dan fungsinya yang tersendiri yang bersesuaian dengan visi, misi dan matlamat Universiti. Maka dengan sebab itulah, daripada pintu masuk ke Kampus USIM, pengunjung akan melihat arca Iqra iaitu ayat pertama Al Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhamad S.A.W. yang melambangkan USIM mengutamakan aspek penerokaan ilmu.

Manakala pelan Induk USIM direkabentuk berpaksikan arah kiblat. Pada peringkat awalnya hanya 3 buah Fakulti awal yang mempunyai bangunan sendiri iaitu Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP).  Semua bangunan yang dibina ini mempunyai identiti yang tersendiri bersesuaian dengan nilai falsafah dan fungsi ruang-ruang yang khusus, misalnya di FSU terdapat mahkamah moot dan di bangunan FKP terdapat studio Radio dan TV serta makmal-makmal kaunseling.

Bagi bangunan Dewan Tunku Canselor (DTC) mempunyai reka bentuk seperti topi graduan yang melambangkan nilai keintelektualan. Manakala bangunan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) dan FPQS pula mempunyai ciri-ciri estatika seperti Al Hamra di Sepanyol yang menerapkan konsep taman di ruang ‘courtyard’.  USIM juga sedang berusaha agar semua kemudahan-kemudahan fizikal yang disediakan mematuhi syariah.

 

S4 Apakah cabaran yang tuan hadapi sepanjang dalam menguruskan pembangunan dan penyediaan kemudahan di Kampus USIM ini?

Cabaran utama dalam menguruskan pembangunan dan kemudahan fasiliti adalah kekangan kewangan. Ini kerana, pengurusan Universiti banyak bergantung kepada peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan bagi memastikan kemudahan-kemudahan dapat disediakan secukupnya, khususnya dalam pembinaan bangunan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakulti Pergigian (FPg) yang baru diluluskan dalam RMK 11 (2016), manakala peruntukan untuk Fakulti Sains dan Teknologi Fasa 2 dan Fakulti Alam Bina (FKAB) masih belum diluluskan.  Manakala bagi kemudahan asrama pelajar pula pihak Kerajaan tidak menyediakan peruntukan, sebaliknya USIM perlu berusaha dengan pihak swasta untuk pembinaan asrama melalui penjanaan pendapatan & sewaan.

Disamping itu, kekangan bajet mengurus juga menyebabkan JPPF terpaksa menyusun semula strategi skop operasi dan penyelengaraan mengikut keutamaan.  Dalam hal ini keprihatinan semua warga USIM adalah perlu untuk mengoptimumkan sumber dan mengelakkan pembaziran terutama penggunaan utiliti khususnya penghawa dingin yang menggunakan 60% tenaga elektrik.

S5 Apakah harapan dan pesanan tuan kepada warga Universiti dalam memastikan kelestarian pembangunan dan persekitaran USIM ini?

Pada kesempatan ini, saya mendoakan agar USIM akan menjadi sebuah Universiti yang ulung dan dihormati sesuai dengan visi, misi dan matlamat Universiti untuk menjadi peneraju dalam mengintergrasikan ilmu Aqli dan Naqli dan menjadi rujukan serantau dan global.

Saya percaya dan penuh yakin, USIM boleh meneroka lebih jauh lagi pada masa akan datang. Justeru, adalah diharapkan semua warga Universiti sama ada pelajar, kakitangan mahu pun sesiapa sahaja agar dapat bersama-sama menjaga persekitaran Kampus USIM sebagaimana kita menjaga harta sendiri.

Semua pihak bertanggungjawab bagi membantu USIM dalam aspek penjimatan bil utiliti, kebersihan dan keceriaan kampus. Ini penting bagi memastikan dalam jangka panjang, semua kemudahan yang ada di Universiti dapat dimanfaatkan dan dinikmati oleh semua pihak dan generasi akan datang. Ia selaras dengan usaha Universiti bagi menjadikan USIM sebagai sebuah Kampus Barakah satu hari nanti.