Irfan Faruqi Mohd Fairus, 21 tahun yang membawa nama Malaysia di Pentas Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri pada 19 Mac 2016 merupakan antara pelajar yang mempamerkan prestasi cemerlang ko-kurikulum lantas wajar menjadi contoh dan aspirasi kepada rakan-rakan seangkatannya. Anak sulung daripada tiga adik beradik ini berasal dari Kajang, Selangor adalah pelajar tahun 2 dari jurusan Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Editor Risalah USIM kali ini sempat menemubual beliau sebagai suntingan penghargaan kerana tampil cemerlang di awal tahun 2016.

 
Perkembangan terkini
 
Saya terlibat aktif dalam kegiatan luar kampus dalam bidang wacana intelektual, advokasi pendidikan dan kesukarelawanan. Terkini, saya berkesempatan bersua muka dengan putera kesembilan Buya HAMKA; Buya Afif HAMKA dan mantan setiausaha kepada mantan Perdana Menteri Indonesia; Bapak Mohd Natsir. Beliau ialah Bapak H. Misbach Malim El Yunusi. Saya juga akan berkhidmat di Sg. Merab, Bandar Baru Bangi sebagai tutor dalam masa terdekat ini.
 
Mula Sertai Kelab Debat
 
Bagi saya, terma ‘menyertai’ itu tidak tepat kerana saya bukan seorang pendebat. Saya hanya mewakili USIM dalam pertandingan pidato sahaja. Justeru, istilah yang lebih tepat ialah ‘Kelab Debat’ menaungi aktiviti berpidato saya selama ini. Saya berpegang kepada prinsip ini kerana mesti di ingatkan dengan usaha dan sumbangan jurulatih dan ahli kelab debatlah saya mara ke tahap ini. Saya hanya seorang pemidato muda, apakah layak untuk bersama dengan pendebat yang jauh lebih hebat, berpengalaman dan petah dalam kata-kata?
 
Matlamat dan Pendorong Kejayaan
 
Kebiasaannya, peserta akan meletakkan matlamat untuk menang dalam pertandingan. Tetapi, saya yakin untuk menyatakan bahawa prioriti pertama saya menyertai pertandingan pidato ini adalah untuk meratakan idea kepada umum. Kerana itu, orang jarang sekali mendengar ayat berbunga-bunga dalam pidato saya. Yang saya mahukan ialah mesej anak muda yang seorang ini didengari awam dan adanya tindakan perubahan susulan itu. Kerana itu juga, teks pidato saya tidak pernah terlepas daripada mengungkap kata-kata dan buku-buku sarjana, bukan semata-mata untuk menguatkan hujah tetapi sebagai bekalan kepada masyarakat untuk dibaca. Matlamat inilah yang mendorong saya untuk terus mengekalkan prestasi yang baik.
Keduanya, setiap kali berdiri di pentas pidato, saya mengenangkan beberapa pihak atau nama antaranya keluarga, USIM, agama dan negara. Nama-nama ini bersifat suntikan agar saya menyampaikan pidato dengan cara yang terbaik kerana dalam pidato beberapa minit itu punya agenda tarbiyah dan dakwah ummat. Kerana itu, tidak ada hadiah terbaik melainkan gelaran pemenang yang harus diberikan atas dorongan ini dan tidak mudah menggambarkan malu jika gagal melakukan yang terbaik demi nama-nama tersebut.
 
Perancangan Masa Depan
 
Perancangan 3 tahun mendatang, saya akan fokus kepada menyiapkan bekal ilmu sebanyaknya dan sebaiknya untuk perjalanan intelektualisme, advokasi pendidikan dan kesukarelawanan 30 tahun mendatang. Mungkin kelihatan tidak banyak yang akan dilakukan dan dilihat tidak ‘gempak’ dan menginspirasikan. Pun begitu, ketahuilah bahawa kejayaan saya yang diketahui orang ini tidak berlaku semalaman melainkan merupakan perkongsian bekalan saya selama 10 tahun yang sebelumnya. Untuk menggapai kejayaan yang lebih besar demi wawasa yang jauh lebih besar dan mencabar, tindakan terbaik adalah untuk kembali memenuhkan bekal-bekal ilmu yang sudah kekurangan itu.
 
Kata Semangat
 
Harapan dan pesanan saya kepada rakan-rakan ialah seorang ‘Irfan Faruqi’ tidak akan membawa perubahan yang bermakna. Pembentukan masyarakat madani, budaya ilmu andalusi dan keilmuan integrasi ilmu Naqli dan Aqli mesti didukung oleh seluruh mahasiswa dan warga USIM tanpa sedikit pun ada kompromi. Setiap daripada kita ada saham dalam gerakan islah masyarakat ini. Justeru, kemaskan tekad dan iltizam untuk berkhidmat di jalan Allah. Berbaktilah di manapun, bila-bila pun, dalam bidang apa sekalipun dan walau sekecil mana pun. Ingatlah, pemidato USIM bermula dengan sejarah yang diperkecilkan. Lantaran itu, dari pendudukan kalian itu mulakan langkah menaiki tahta pimpinan ummat, meneraju masyarakat kearah masa depan yang diredhai Allah.