1. Boleh saudari ceritakan penglibatan saudari dalam bidang inovasi dan penyelidikan di Universiti sepanjang tempoh pengajian di USIM selama ini?

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) khususnya Fakulti Sains dan Teknologi (FST) yang memperkenalkan saya kepada bidang inovasi dan penyelidikan ini. Penglibatan awal saya dalam bidang inovasi dan penyelidikan sepanjang tempoh pengajian di USIM bermulanya dengan saya sebagai Ahli Jawatankuasa Pertandingan Inovasi di USIM dan kejayaan beberapa orang senior di FST mermberi inspirasi untuk saya juga mencuba bagi menghasilkan produk sendiri. Usaha pihak FST yang menggalakkan aktiviti inovasi dan penyelidikan banyak membantu mewujudkan suasana kondusif untuk mahasiswa di FST bergiat aktif dalam bidang ini. Saya juga bertuah kerana mempunyai Mentor iaitu Prof Dr Norita Md Norwawi yang kini Dekan FST yang banyak memberikan sokongan dan khidmat nasihat untuk membolehkan saya lebih serius dalam bidang ini. Penglibatan aktif saya dalam bidang inovasi dan penyelidikan ini membolehkan saya menyertai pelbagai pertandingan bermula daripada Pertandingan Inovasi dan Rekacipta Islam (i-REKA) di Peringkat Universiti, Pertandingan Inovasi dan Penyelidikan Peringkat Kebangsaan (NRIC) anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dan seterusnya di British Invention Show (BIS) di London, United Kingdom. Saya merasakan tempoh pengajian selama empat tahun di USIM amat bermakna kerana dalam jangkamasa tersebut, saya dapat membantu untuk menaikkan nama Universiti dan juga Fakulti.

2. Apakah kejayaan yang diraih oleh saudari sepanjang penglibatan dalam bidang inovasi dan penyelidikan?.

Saya amat bersyukur kerana usaha untuk bergiat aktif dalam bidang inovasi dan penyelidikan ini membuah kan hasil di luar jangkaan saya. Berkat bantuan dan kerjasama semua pihak di FST, Pusat Pengurusan Penyelidikan (PPP), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan lain-lain pihak yang tidak dapat saya sebutkan semuanya di sini telah membolehkan saya mencapai beberapa kejayaan seperti dalam beberapa Pertandingan Inovasi dan Penyelidikan seperti Pertandingan Inovasi dan Rekacipta Islam (i-REKA’2014) sebagai Juara bagi kategori Fundamental Science; Pertandingan Inovasi dan Penyelidikan Kebangsaan (NRIC) 2014 sebagai pemenang pingat emas kategori Fundamental Science dan bagi pertandingan Community and Research Innovation (CoRIC), di USM saya telah dianugerahkan Best Best Presenter Award 2013 yang mana anugerah untuk adalah pertama kali diwujudkan;; British Invention Show 2014, London, United Kingdom mendapat Double Gold Special Award, Medal Gold, Excellency Award of Romanian 2014; Pertandingan Keusahawanan Inovasi Menteri Pendidikan, di UNiversiti Malaya (UM) 2014 mendapat Tempat Ketiga; danm juga Pertandingan Inovasi dan Penyelidikan (i-INOVA’ 2014) dan menerima Pingat Perak.

3. Bagaimana saudari melihat sumbangan mahasiswi dalam aspek kreativiti dan inovasi di Universiti pada hari ini?

Semasa dalam pengajian di USIM, saya juga dipilih sebagai Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), USIM bagi sesi 2013/2014 dengan memegang jawatan sebagai Biro Akademik dan Pembangunan Intelektual. Ini memberi peluang kepada saya untuk membantu rakan-rakan yang lain juga terlibat sama dalam bidang inovasi dan penyelidikan ini. Bagi saya, USIM telah menyediakan pelbagai platform untuk mahasiswa bergiat secara aktif dalam bidang inovasi dan penyelidikan ini. Saya tidak melihat faktor jantina menghalang mahasiswa untuk berjaya dalam bidang ini kerana potensi individu boleh digilap sekiranya kita berusaha. Kejayaan tokoh penyelidik dari kalangan wanita juga memberikan inspirasi untuk mahasiswi untuk menyumbang kepada ummah dan masyarakat. Maka dengan sebab itulah, saya menyeru kepada mahasiswa di USIM agar dapat merebut peluang yang diberikan oleh pihak Universiti agar bidang inovasi dan penyelidikan akan terus subur sebagai wadah yang menjadi jenama kecemerlangan mahasiswa di USIM. Pada masa yang sama juga, saya berharap mahasiswa dari fakulti lain juga dapat turut sama menyertai pelbagai pertandingan inovasi dan penyelidikan ini dan jangan beranggapan bidang ini hanya sesuai bagi pelajar aliran sains dan teknologi semata-mata.

4. Apakah cabaran yang saudari hadapi sepanjang penglibatan dalam bidang inovasi dan penyelidikan ini?

Cabaran utama saya dalam penglibatan inovasi dan penyelidikan sebagai pelajar Universiti adalah dalam membahagikan masa antara pelajaran, penyelidikan, kepimpinan dan aktiviti kokurikulum saya. Namun, semua ini tidak menjadi halangan seandainya kita betul-betul bertekad dan jelas dengan matlamat sebenar kita. Saya melihat aktiviti ko-kurikulum ini tidak menghalang saya bagi mencapai kejayaan yang seimbang dalam akademik. Sepanjang pengajian di USIM, saya pernah menerima Anugerah Dekan sebanyak tiga kali. Saya percaya, sekiranya kita mempunyai keyakinan dan matlamat yang jelas, maka kita akan dapat berusaha untuk mencapai apa yang dihajatkan. Impian tidak akan menjadi kenyataan sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh dan saya amat bersyukur kerana pengorbanan saya selama ini berbaloi dengan pelbagai kejayaan yang saya terima. Saya amat berterima kasih kepada semua pensyarah dan rakan-rakan yang banyak membantu memberikan kerjasama bagi membolehkan saya terlibat secara aktif dalam bidang inovasi dan penyelidikan ini.

5. Bolehkah saudari berkongsi tips kejayaan untuk berjaya dalam akademik dan juga bidang inovasi ini?.

Kunfayakun, itu janjiNYA. Bagi saya, kita hanya mampu merancang, berusaha dan bertawakal namun semua qada dan qadar ditentukan oleh Allah Taala. Saya selalu mempunyai sifat yang positif dalam semua perkara kerana saya percaya sifat positif ini banyak membantu untuk kita ke hadapan. Jangan melihat terlalu banyak sifat yang negatif seperti takut mencuba, malu, berani mengambil risiko, dan bersedia menerima kritikan agar kita menjadi lebih kuat pada masa hadapan. Saya juga melihat penglibatan dalam pelbagai program ko-kurikulum dan komuniti akan mampu memberi manfaat kepada banyak pihak. Semua mahasiswa perlu memahami, walaupun aktif dalam bidang penyelidikan dan ko-kurikulum, bidang akademik masih menjadi keutamaaan seorang mahasiswa. Dalam membahagikan masa, kita juga perlu bijak mencari rakan yang mampu menyokong kita dari segi akademik supaya kita tidak ketinggalan dalam pelajaran, dan berkawan rapatlah dengan pensyarah agar sesi pembelajaran kita menjadi lebih lancar. Mencintai bidang Inovasi ini membolehkan kita meneroka kejayaa-kejayaan orang lain untuk dijadikan pendorong buat kita. Akhir sekali, dalam apa jua kesibukan mahupun keadaan kita berada doa serta restu ibubapa sangatlah penting, maka dahulukan mereka dalam segala aspek.

6. Impian kerjaya dan harapan masa depan saudari?

Sejujurnya saya amat meminati dunia penyelidikan dan perhubungan. Saya berharap pada masa akan datang, saya akan dapat menjadi salah seorang Saintis Wanita Muslim yang dapat membantu bangsa, agama dan negara. Cita-cita saya adalah untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan penyelidik-penyelidik bertaraf dunia seterusnya mampu menyumbang secara konsisten kepada masyarakat. Sejak awal lagi saya aktif dalam bidang kesukarelawan, maka saya juga menyimpan impian untuk mewujudkan sebuah rumah kebajikan dalam membantu golongan serta mereka yang memerlukan. Bagi saya, nikmat daripada Allah perlu kita kongsi bersama agar dunia menjadi lebih indah dan semua mendapat keberkatan daripada semua usaha yang dilaksanakan.