Prof. Madya Dr. Rosni bin Samah
Prof. Madya Dr. Rosni bin SamahFakulti Pengajian Bahasa Utama

Syabas diucapkan buat mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bakal bergraduasi di Majlis Konvokesyen USIM ke-15 pada 21 hingga 23 November 2017 bertempat di Dewan Tuanku Canselor. Sokongan padu daripada semua pihak seperti barisan pensyarah, ibu bapa dan juga semangat menuntut ilmu yang tinggi dalam kalangan mahasiswa bakal melakar sejarah peribadi untuk diingati.

Di sinilah juga peranan universiti yang bukan sahaja merupakan gedung ilmu pengetahuan, bahkan merupakan medan untuk mendidik dan mematangkan keperibadian mahasiswa. Setiap detik kehidupan kampus akan mengajar mahasiswa erti kehidupan. Mereka mempelajari selok-belok kehidupan melalui pengalaman dan eksperimen sebenar. Semasa diperingkat sekolah, mereka banyak bergantung kepada ibu bapa atau penjaga bagi menguruskan kehidupan seharian. Kebanyakan urusan diatur oleh ibu bapa atau penjaga. Justeru itu, pergantungan perasaan dan harapan mereka terhadap ibu bapa atau penjaga amatlah bersar.

Dari sudut pengajian dan pendidikan di sekolah pula, mereka banyak bergantung kepada guru dan peraturan sekolah. Begitu juga dalam merangka dan membentuk masa hadapan pengajian, turut dibentuk oleh guru. Situasi tersebut bertukar pusingan arah sesudah mereka mendaftar di universiti. Sejurus selepas pendaftaran, mereka perlu membina dan membentuk perasaan cekal. Perasaan manja dan kebergantungan kepada keluarga hendaklah dibebaskan dari diri mereka, kerana mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga. Begitu juga kebergantungan kepada orang lain hendaklah dikikis, kerana mereka perlu hidup keseorangan secara berdikari.

Segala urusan dan perancangan kehidupan terletak di bahu mereka. Begitu juga mereka akan belajar berdikari melalui persekitaran seperti mengurus diri dari sudut makanan, pakaian, santai, kawan dan kediaman. Dari sudut pengurusan masa pula, mereka hendaklah pandai menyesuaikan masa dengan aktiviti harian dengan baik supaya masa yang ada tidak diabaikan dengan perkara kosong atau perkara tidak penting, seperti mengurus masa tidur dan bangun, masa kekuliah dan berehat, masa mengulag kaji dan penyediaan tugasan dan seumpamanya.

Dari sudut pembelajaran pula, mereka perlu berkorban dan memberi usaha yang lebih. Mereka hendaklah lebih berusaha memahami sendiri pelajaran yang dipelajari atau melalui perbincangan dengan rakan-rakan. Begitu juga mereka perlu memperuntukkan masa yang lebih untuk mengulang kaji dan menjalankan penyelidikan termasuklah penyediaan tugasan. Mereka juga perlu membina keyakinan diri untuk membentang tugasan dan menjalankan perbincangan dalam bilik tutorial. Dalam masa yang sama, mereka juga hendaklah pandai mengurus kewangan sendiri.

Perubahan peribadi dalam kehidupan mereka akan dapat dilihat dengan ketara berbanding semasa pendaftaran masuk kampus dengan hari konvokesyenn. Semasa mendaftar, mereka boleh diumpamakan sebagai ulat bulu yang baru belajar tentang kehidupan. Kehidupan kampus merupakan proses pembentukan dalam kepompong.

Hari konvokesyen merupakan hari di mana seekor rama-rama yang mula terbang daripada kepompongnya. Dalam menjalani kehidupan seterusnya, mereka bagaikan rama-rama yang berterbangan di taman. Itulah kekuasaan dan dinamis kehidupan kampus yang membentuk keperibadian mahasiswa.