Dr. Nusima Mohamed
Dr. Nusima MohamedPensyarah Pergigian Fakulti Pergigian

Siapakah pesakit geriatrik?

Pesakit geriatrik di dalam bidang pergigian diklasifikasikan sebagai pesakit yang berumur 60 tahun dan ke atas dimana dikenali sebagai pesakit warga emas. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjangkakan akan terdapat peningkatan jumlah warga emas di Malaysia sebanyak 15% menjelang 2035 menjadikan jumlah warga emas dari 4 juta sekitar tahun 2000 kepada 9.5 juta menjelang tahun 2035.

Peningkatan jumlah warga emas ini menyebabkan kemungkinan meningkatnya kos penjagaan kesihatan, masalah emosi dan kemiskinan (Selvaratnam et al, 2010). Keadaan ini berlaku adalah akibat daripada kurang kesedaran masyarakat dalam penjagaan pengambilan makanan untuk mengekalkan tahap kesihatan optimum ketika mencecah umur warga emas.

Pada hakikatnya, sekiranya warga emas ini dapat mengekalkan tahap kesihatan yang baik, maka kebolehan mereka untuk bekerja dan menjalankan aktiviti harian dengan baik dan sendiri akan dapat mengurangkan masalah-masalah yang dinyatakan di atas.

Dari segi kesihatan pergigian, warga emas dikaitkan dengan masalah-masalah penyakit yang memberi kesan kepada kebolehupayaan gigi untuk berfungsi dengan baik. Ia juga dikaitkan dengan masalah kehilangan gigi yang akan memberi kesan kepada kesempurnaan proses penghadaman yang seterusnya memberi kesan kepada proses penyerapan nutrisi yang sedia berkurang akibat proses penuaan.

Kajian daripada National Oral Health Survey of Adults 2000 (NOHSA 2000) menyatakan prevalens karies pergigian di kalangan pesakit geriatrik yang berumur 65-74 tahun adalah sebanyak 95.2% dengan status indeks karies dan kehilangan gigi (DMFX) 23.2. Ini menunjukkan prevalens karies pergigian dan penyakit periodontal yang tinggi (Husna A.A et al, 2010, NOHSA, 2000).

Akibat daripada masalah pergigian yang dihadapi ini, ia turut terkesan apabila lebih banyak masalah kesihatan yang akan dihadapi kerana proses pemakanan yang tidak sempurna. Seterusnya menyebabkan warga emas ini tidak mampu untuk menjalani hidup yang lebih sihat.

Masalah- masalah pergigian warga emas

Seperti yang dinyatakan di atas, pesakit geriatrik sering mengalami masalah kesihatan pergigian. Masalah ini wujud disebabkan kesan daripada proses penuaan dan juga disebabkan berkurangnya kebolehupayaan pesakit menjaga kesihatan pergigian secara optimum.

Antara masalah pergigian dan mulut yang dihadapi daripada kesan penuaan adalah:
1.    Kehilangan gigi akibat kesihatan pergigian tidak baik dan penyakit periodontal.
2.    Struktur gigi menjadi haus atau terhakis (Attrition) kerana kehilangan gigi dan ketidakstabilan oklusi.
3.    Mulut kering dan hiperkeratosis kerana sistem kelenjar air liur(saliva) yang kurang berfungsi dengan baik (Turner et al, 2007).
4.    Gingiva yang kemerahan kerana tisu mukosa mulut yang lebih nipis.
5.    Angular cheilitis (rasa sakit, pedih dan kemerahan) pada korner/pinggir mulut kerana penyakit sistemik dan juga pengurangan ketinggian oklusi yang optimum.

Attrisi pada gigi akibat kehilangan gigi dan ketidakstabilan oklusi.

6.    Kurang deria rasa dan lidah menajdi licin akibat kekurang vitamin B kompleks dan darah
7.    Kurang penghasilan dan aliran saliva.
8.    Sturktur tulang menjadi lebih rapuh kerana tulang menjadi kurang padu dan tulang rahang menjadi lebih rata kerana kehilangan gigi dalam jangka waktu yang lama.

Angular cheilitis pada pinggir mulut.

 

 

 

 

 

 

Masalah kesihatan mulut ini adalah lebih disebabkan oleh kekurangan upaya pesakit geriatrik ini untuk membersihkan gigi dan mukosa mulut dengan lebih baik.

Pesakit yang mengalami penyakit lemah tangan, deria penglihatan yang semakin berkurangan, dan Parkinson sering kali mengalami masalah untuk memberus gigi dengan sempurna.

Keadaan ini menyebabkan plak dan sisa makanan melekat lebih lama pada permukaan gigi menyebabkan tindak balas asid oleh bakteria mulut dan sisa tersebut membentuk karies gigi. Proses ini akan berlarutan dan lebih teruk daripada pesakit dewasa biasa kerana penjagaan kebersihan yang tidak sempurna. Keadaan ini menyebabkan pesakit geriatrik mempunyai ciri-ciri pergigian seperti berikut:
1.    Tampalan yang banyak dan besar pada pergigian yang ada.
2.    Karies pada permukaan akar dan servikal gigi (servical and root caries) kerana sukar memberus gigi pada permukaan ini.
3.    Keradangan gusi dan tisu peridontium kronik serta kesurutan gusi menyebabkan gigi nampak lebih panjang dan goyang.
4.    Mudah dijangkiti dengan penyakit kulat (candida albicans) seperti keradangan gigi palsu (denture stomatitis) kerana kurang sistem imun dan penjagaan gigi palsu yang tidak bersih (Wilkeison et al, 1991).

Permukaan mukosa mulut yang dijangkiti dengan Candida Albicans menyebabkan Denture Stomatitis.

Keadaan ini menyebabkan tingginya treatment needs bagi pesakit geriatrik kerana masalah kehilangan gigi, karies gigi, penyakit periodontal dan attrisi yang mengganggu fungsi gigi sempurna dan memberi kesan kepada kualiti hidup pesakit (Petersen & Yamamoto 2005).

Cara penjagaan kesihatan mulut pesakit geriatrik:

Penjagaan kesihatan pergigian untuk warga emas perlu bermula dari penjagaan pemakanan.  Pesakit geriatrik yang mempunyai masalah kesihatan dan tidak berupaya untuk menjaga kebersihan pergigian dan mulut dengan sempurna memerlukan bantuan dan penjagaan daripada pembantu/penjaganya. Di antara tips-tips yang perlu diambil berat untuk memastikan kesihatan pergigian adalah pada tahap optimum ialah:
1.    Menjalankan pemeriksaan pergigian secara berkala di antara 3 tau 2 kali setahun atau setiap 6 bulan sekali. Ini perlu supaya segala masalah penyakit pada mukosa mulut, karies gigi dan tisu peridontium dapat dikesan dan dirawat dengan segera.
2.    Mengurangkan pengambilan makanan manis dan mudah melekat pada gigi untuk mengelakkan pembentukan karies dan sekali gus mengelakkan daripada penyakit diabetes. Cara pemakanan yang seimbang adalah dengan memperbanyakkan buah-buahan dan sayuran kerana ia dapat membantu menambah vitamin (Sakinah et al, 2010) dan meningkatkan penghasilan saliva ketika pengunyahan. Pesakit juga dinasihatkan untuk minum air kosong dengan kerap.                     .
3.    Mengamalkan cara pemberusan gigi yang betul dan sempurna. Pesakit yang mempunyai masalah untuk membersihkan gigi dengan baik seperti OKU atau mempunyai penyakit arthritis atau Parkinson memerlukan berus gigi yang mempunyai pemegang khas yang telah diubahsuai atau berus gigi berkuasa bateri. Bagi penjaga pesakit geriatrik yang tidak berupaya, mereka perlu mempelajari dan memahami cara penjagaan dan pemberusan gigi yang betul supaya dapat membantu pesakit ini untuk menjaga gigi mereka (Robert et al,2005).

Berus gigi yang telah diubahsuai pemegangnya dan berus gigi bateri.

4.    Gigi perlu diberus menggunakan ubat gigi yang berflourida dan digalakkan untuk menggunakan floss untuk membersihkan plak di ruang yang tidak dapat dicapai oleh berus gigi.
5.    Bagi pesakit geriatric yang memakai gigi palsu, gigi palsu tersebut perlu dibersihkan setiap kali selepas makan sekurang-kurangnya dengan berkumur. Selain itu, gigi palsu ini perlu ditanggalkan, dibersihkan dan direndam dalam air (bukan air panas atau peluntur) sebelum waktu tidur untuk mengelakkan jangkitan kulat pada mukosa mulut. Pesakit digalakkan untuk menggunakan larutan pembersih gigi palsu untuk membantu proses pembersihan yang lebih baik (Mervyn, et al,2002). Sekiranya gigi palsu agak longgar dibolehkan untuk menggunakan pelekat denture. Pemeriksaan juga perlu dilakukan secara berkala untuk memastikan keadaan gigi yang tinggal atau keadaan mukosa mulut sentiasa dalam keadaan yang sihat.

Warga emas atau pesakit geriatrik memerlukan bantuan daripada orang sekelilingnya untuk membantu mereka menjaga kesihatan gigi dengan lebih sempurna. Kesihatan gigi yang baik akan dapat membantu mereka memastikan pemakanan mereka lebih baik dan berkhasiat untuk memastikan kesihatan mereka sentiasa pada tahap optimum. Ini sekali gus dapat meningkatkan keyakinan mereka untuk terus hidup sejahtera.

Rujukan:
Warga Emas di Malaysia: Ke Arah Kesejahteraan Ekonomi dan Sosial. 2010. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 978-967-942-947-3 (kulit lembut). 180 halaman. Doris Padmini Selvaratnam, No Ii Hj Idris & Norlaila Abu Bakar.
Husna AA, and Robaiyah K, and Tanti IR, (2009) Dental students’ knowledge and perception of elderly in relation to geriatric dentistry training. Medicine & Health, 4 (2). pp. 76-83. ISSN 1823-2140
National Oral Health Survey of Adults 2000 (NOHSA 2000). Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia. Kuala Lumpur.
Wilkieson, C., et al. “Oral candidosis in the elderly in long term hospital care.” Journal of oral pathology & medicine 20.1 (1991): 13-16.
Petersen, P.E. & Yamamoto, T. 2005. Improving the oral health of older people: the approach of the WHO Global Oral Health Programme. Community Dent Oral Epidemiol. 33:81-92.
Gornitsky, Mervyn, et al. “A clinical and microbiological evaluation of denture cleansers for geriatric patients in long-term care institutions.” Journal-Canadian Dental Association 68.1 (2002): 39-45.
Harith, Sakinah, et al. “Faktor risiko dan pengurusan kesihatan warga emas yang mengalami malpemakanan di hospital.” (2010): 1-14.
Turner, Michael D., and Jonathan A. Ship. “Dry mouth and its effects on the oral health of elderly people.” The Journal of the American Dental Association 138 (2007): S15-S20.
Nicol, Robert, et al. “Effectiveness of health care worker training on the oral health of elderly residents of nursing homes.” Community Dentistry and Oral Epidemiology 33.2 (2005): 115-124.