Dr. Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali
Dr. Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd DaliPensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Di dalam artikel-artikel yang saya pernah saya tulis sebelum ini, fokus utama yang sering ditekankan ialah tentang perancangan kewangan individu di mana setiap individu perlu merancang belanjawan mereka untuk memastikan kewangan individu dan keluarga adalah mampan dalam kehidupan seharian dan keperluan masa akan datang.

Kita semua mempunyai keinginan tetapi tidak semua keperluan dan kehendak kita boleh dipenuh pada sesuatu masa dan keutamaan untuk memenuhi mereka bergantung kepada samada ianya ialah barangan keperluan (Dharuriyyat) , kehendak(Hajiyyat) atau kemewahan(Tahsiniyyat). Keperluan asasi perlu kita penuhi sebelum kita memenuhi tingkat keinginan yang seterusnya iaitu kehendak dan kemewahan.

Kebolehan kita untuk memenuhi tingkat-tingkat keinginan itu bergantung kepada jumlah pendapatan dan juga corak perbelanjaan yang kita akan perolehi di dalam masa setahun akan datang. Jika kita mempunyai pendapatan yang lebih tinggi dari perbelanjaan maka kita akan mempunyai belanjawan yang surplus dan jika sebaliknya maka kita akan memperolehi beanjawan defisit. Belanjawan yang dilakukan oleh kita pada setiap tahun atau bulanan ini juga di lakukan oleh syarikat perniagaan dan juga negara.

Pada 27 Oktober akan datang, Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak akan membentangkan Bajet 2018 negara dan pembentangan ini perlu di tunggu-tunggu oleh setiap rakyat Malaysia kerana ianya akan memberikan kesan kepada tingkatan ekonomi kita sebagai pengguna, penjawat awam dan rakyat Malaysia secara amnya dan juga memberikan peluang-peluang baharu kepada peniaga-peniaga dan pelabur-pelabur tempatan.

Seperti bajet yang sering kita laksanakan untuk keluarga, belanjawan negara juga bergantung kepada pendapatan dan perbelanjaan akan datang. Jika pendapatan negara adaah lebih tinggi dari perbelanjaan, maka kita akan memperolehi bajet surplus, begitu juga sebaliknya, kita akan mendapati bajet defisit. Pendapatan negara akan meningkat jika komponen hasil negara meningkat. Hasil negara boleh di peroleh dari jualan minyak, komoditi atau boleh juga diperolehi dari hasil cukai. Jika kerajaan meningkatkan pendapatan cukai, pendapatan kita mungkin akan terjejas dan bajet 2018 mungkin kadar cukai tidak akan dinaikkan.

Hasil pendapatan negara dari hasil minyak adalah positif berdasarkan harga minyak dunia yang bergantung kepada penawaran dan permintaan minyak dunia. Permintaan minyak global mengalami peningkatan yang semakin tinggi dan jika penawaran minyak dikawal oleh negara-negara pengeluar minyak,maka harga minyak dunia akan meningkat. Jika harga minyak dunia meningkat sebanyak 1USD maka pendapatan negara akan meningkat sebanyak RM300 juta.

Berdasarkan pergerakan harga minyak semasa dan juga perancangan pengeluar negara pengeluar minyak gergasi dunia seperti Arab Saudi dan Rusia, harga minyak akan dijangka akan meningkat ke aras yang lebih tinggi. Jika harga minyak meningkat ke paras lingkungan 100USD sebelum kejatuhan yang mendadak pada Julai 2014 sehingga 50USD pada Januari 2015, pendapatan negara akan meningkat di dalam anggaran RM15 Billion. Berdasarkan data ni mungkin semua rakyat Malaysia akan berdoa agar harga minyak dunia kembali ke paras 100USD.

Sementara itu dari segi perbelanjaan, seperti juga perbelanjaan individu, sesebuah kerajaan perlu memastikan keperluan asasi dipenuhi, kemudian boleh dilihat kepada kehendak dan kemewahan. Di dalam konteks ini, kerajaan perlu mengelakkan pembaziran dan juga tidak boleh menjadi bakhil di dalam mengurus kewangan negara. Perbelanjaan rasionalisasi yang dicadangkan adalah amat diharapkan dapat mengelakkan perkara diatas di samping dapat meningkatkan produktiviti negara melalui peningkatan produktiviti melalui pencapaian teknologi.

Perbelanjaan setiap ringgit negara perlu mengambilkira pulangan kepada negara di dalam jangka pendek dan jangka panjang di samping insentif kepada penjawat awam dan pesara, peluang pekerjaan kepada golongan belia, bantuan kepada industri kecil dan pembangunan inklusif kepada golongan luar bandar perlu diambilkira. Walaubagaimanapun, untuk memastikan ekonomi negara terus berkembang maju, semua ini memerlukan kerjasama dari semua pihak iaitu sektor awam, swasta, dan ijtimaie (sektor sosial).

BERSAMBUNG SIRI 13