Mohd Aqil Irwan Bin Abdul Mutalib
Mohd Aqil Irwan Bin Abdul MutalibYang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM 2016/2017

Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib telah mengisytiharkan satu perangkaan jangka panjang iaitu Transformasi Nasional 20150 (TN50) untuk membentuk Malaysia menjadi satu negara bangsa yang lebih cemerlang dan berwibawa. Hal ini dapat dilihat bahawa hasrat bersama membentuk masa depan yang lebih terjamin dengan adanya beberapa inisiatif yang telah diaturkan dan dijalankan untuk mengumpul idea-idea dan aspirasi-aspirasi belia dan anak muda. Semestinya, menerusi salah satu inisiatif, Dialog Perdana TN50, banyak kutipan idea daripada belia dari segi pembangunan di sektor pendidikan, ekonomi, alam sekitar dan lain-lain.

Satu persoalan yang sama-sama boleh difikirkan bahawa bagaimana tamadun atau negara bangsa yang berjaya itu tercapai sekiranya sikap dan cara pemikiran diri sendiri yang masih lagi berada di tahap yang rendah dan membimbangkan? Penulis memetik salah satu ucapan yang diucap oleh YB Khairy Jamaluddin di Sidang Kemuncak Kepimpinan dan Aspirasi Nasional (NALS) 2017 pada awal Februari lalu, “Kebimbangan terbesar saya menjelang tahun 2050 nanti bukan membabitkan halangan kuantitatif seperti bidang pendidikan atau melahirkan pemenang Anugerah Nobel pertama kerana kita boleh melabur dalam perkara ini.

Sebaliknya, kebimbangan dan halangan terbesar kita adalah sama ada rakyat Malaysia boleh mengubah sikap dan mentaliti. Saya tidak tahu bagaimana mahu mengajar rakyat untuk mengubah perkara ini, sedangkan sikap dan mentaliti adalah penanda aras ketamadunan”

Dari sudut mentaliti atau cara pemikiran sebahagian besar masyarakat masih lagi berada di takuk yang lama. Yang mana masing-masing mengamalkan pemikiran bersifat individualistik “aku-kau” dan bukannya fikiran yang bersifat ummatik dan kekitaan. Pemikiran dengan cara sebegini mampu membentuk masyarakat yang harmoni, inklusif, tanpa mengira bangsa atau agama dan berbeza latar belakang politik, seterusnya bersama-sama dalam membina negara yang satu.

Satu contoh boleh diambil untuk dipelajari di negara Korea Selatan bagaimana masyarakat yang berbeza pandangan politik dan idealisme tapi mampu bersama-sama membangun negara setaraf hebat dengan negara maju yang lain, kurang daripada setengah abad. Justeru, untuk menjadi satu negara yang memacu inovasi dan peneraju idea terkini di era 2050, mentaliti dan daya pemikiran harus diubah dan dididik dengan berfikiran terbuka dan tidak jumud terhadap sesuatu perkara.

Dari sudut pandang yang lain, transformasi negara harusnya bermula langkah dengan mengubah sikap dan perilaku diri sendiri. Norma masyarakat sesuatu negara perlunya lebih bertatasusila dan mengekalkan kesopanan kerana ia menggambarkan bangsa itu bersungguh-sungguh membentuk negara yang lebih bertamadun.

Jika dilihat takrifan daripada seorang sejarawan dan ahli falsafah iaitu Syed Naquib Al Attas, negara yang bertamadun ialah keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya. Melihat ke arah penafsiran oleh ilmuan tersohor ini, masyarakat negara ini masih jauh lagi dan banyak perkara yang perlu sama-sama perhalusi untuk dibaiki khususnya golongan anak muda masa depan negara. Didikan di rumah dan persekitaran yang sihat perlu diwujudkan bagi membentuk jati diri dan sikap yang tinggi akhlaknya sejurus apabila keluar berhimpun dengan masyarkat menjadi agen pengaruh yang besar untuk mengubah sikap masyarakat.

Oleh itu,  untuk mengtransformasikan negara bukan sesuatu jalan yang mudah dan perlu kerahan tenaga oleh semua pihak dan golongan komuniti. Aspirasi TN50; menjadikan masyarakat yang berpengaruh di peringkat global dan persekitaran hidup yang harmoni, perlunya bermula daripada perubahan setiap sikap dan mentaliti setiap insan. Justeru, sebagai seorang insan yang bakal menjadi perubahan negara harus meneliti sejarah bangsa dahulu tentang kebangkitan tamadun. Dan sebagai seorang Muslim harus mengambil iktibar daripada Al Quran bahawa, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum itu sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri”