NILAI – Sedekad penganjuran Musabaqah Debat Inter-Tamhidi oleh Pusat Tamhidi (Asasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Kelab Debat dan Pusat Hal Ehwal Pelajar telah terbukti berjaya menyediakan pelapis-pelapis pendebat muda universiti untuk di bawa ke pertandingan yang lebih kompetitif dan berprestij.

Dianjurkan khusus untuk para pelajar di peringkat Tamhidi USIM sahaja, edisi ke-10 yang dianjurkan baru-baru ini melibatkan wakil-wakil pendebat dari empat program Tamhidi yang ditawarkan oleh USIM iaitu Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains (TPPS); Tamhidi Sains Teknologi dan Fizikal (TSFT); Tamhidi Syariah dan Undang-undang (TSU); dan Tamhidi Perakaunan dan Muamalat (TPM).

Bertanding dalam tiga kategori iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, para pendebat dari program TPPS menunjukkan penguasaan dan kecemerlangan apabila berjaya mara ke peringkat akhir bagi kesemua kategori bahasa.

Para pendebat dari TPPS dinobatkan sebagai johan dalam kategori Bahasa Inggeris (TPPS A) dan muncul sebagai naib johan dalam kategori Bahasa Melayu (TPPS B), Bahasa Inggeris (TPPS B) dan Bahasa Arab (TPPS B). Manakala Tamhidi Syariah dan Undang-undang (TSU B) muncul johan dalam kategori Bahasa Melayu dan Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi (TSFT A) mengungguli kategori Bahasa Arab.

Menurut Dekan Pusat Tamhidi, Profesor Madya ChM Dr. Juliana Jumal, penganjuran Musabaqah Debat Inter-Tamhidi 2023 secara langsung membolehkan Pengurusan Tamhidi memilih pelajar yang berpotensi untuk ke Pertandingan Debat Antara Asasi di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Pertandingan Debat Piala Naib Canselor USIM yang bakal berlangsung pada tahun hadapan.

“Jika melihat kepada track record lalu, Pusat Tamhidi cemerlang dalam melahirkan pendebat pelapis universiti yang kemudiannya menyinar dalam pertandingan debat dan pidato diperingkat kebangsaan dan antarabangsa” ujarnya.

Kelab Debat USIM sebagai tulang belakang kepada kejayaan penganjurannya selama ini telah memainkan peranan penting dalam pembudayaan dan mengangkat kepentingan pengucapan awam di peringkat universiti.

“Menguasai kemahiran pengucapan awam adalah amat penting dan melalui pertandingan sebegini, ia juga turut memberi pendedahan kepada peserta dan urus setia pelajar mengenai pengurusan pertandingan debat. Lebih dari itu ia sebenarnya membentuk karisma dan peribadi unggul dalam diri mereka” ulas Penasihat Kelab Debat, Mohd Zaini Othman yang juga Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi.

Pertandingan yang berlangsung selama tiga (3) hari tersebut dilaksanakan secara dalam talian diperingkat pusingan manakala pusingan separuh akhir dan akhir secara fizikal turut melibatkan kakitangan akademik, alumni dan pendebat senior sebagai panel hakim. Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Musabaqah Debat Inter-Tamhidi Kali Ke-10 Tahun 2023 telah disempurnakan oleh Dekan Pusat Tamhidi.

Pasukan johan dan naib johan masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai RM300.00 dan RM200.00, piala dan sijil penghargaan. Manakala pasukan diperingkat separuh akhir menerima wang tunai RM100.00, piala dan sijil penghargaan.