Oleh: Syazlyna Jamil
Perasmian Kompleks PERMATA Insan yang berkonsepkan ‘Sekolah Dalam Kampus’ telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia bertempat di Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, keseimbangan pendidikan duniawi dan ukhrawi adalah langkah penting dalam melahirkan generasi baru yang berilmu pengetahuan dan agama tinggi untuk membangunkan negara. Seramai 113 penuntut diterima masuk ke Kolej PERMATA Insan sejak tahun lalu dilihat mampu melahirkan ahli ilmu dan pemikir yang hebat nanti.
“Kita mesti menyediakan generasi yang seimbang ilmu Naqli dan Aqli. Dalam Islam juga tidak membezakan kedua-dua ilmu dan sekiranya kita mengasingkan satu daripadanya, makan tempanglah,” katanya dalam ucapan perasmian.
“Saya melihat Kolej PERMATA Insan ini jelas mendepani Pelan Pembangunan Malaysia 2013-2015 kerana mengintegrasikan kurikulum kebangsaan berfokuskan aspek STEM dengan al-Quran dan Sunnah,” tambahnya.
Menurut Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor, USIM kini dalam usaha merancang penawaran program fast track kepada pelajar Kolej PERMATA Insan untuk menamatkan pengajian PhD seawal umur 22 tahun. Ia mengambil kira keupayaan mental dan pencapaian akademik yang amat cemerlang dalam kalangan sebilangan pelajar pintar cerdas Kolej PERMATA Insan.
“Mereka yang terpilih pasti mendapat faedah daripada program fast-track ini kerana kami yakin kelak mereka akan mampu menjadikan bidang kajian mereka sebagai satu wadah untuk menghasilkan penemuan terbaru dalam bidang Science, Technology, Engineering dan Mathematics yang berintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli (STEM Naqli-Aqli),” ucapnya.
Turut hadir adalah Penaung Program Permata, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Hj Mohamad Hj Hassan dan isteri,; pegawai kanan serta Pengurusan Universiti.