Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI)

Home/Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI)
Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) 2017-10-05T15:59:02+00:00

Project Description

Inspirasi penurunan Surah `Abasa yang pernah menegur Rasulullah SAW terhadap hikmah layanan Baginda SAW kepada Abdullah ibnu Ummi Maktum yang diuji dengan hilangnya nikmat melihat membawa kepada penerokaan dalam bidang pengajian Quran dan Sunnah bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) khususnya Penglihatan. Perutusan Nabi Muhammad SAW sebagai ummi (tidak tahu membaca, menulis dan mengira) turut menjadi teras pengembangan penyelidikan bidang OKU secara holistik khususnya Pendengaran dan Pembelajaran. Penubuhan Ibnu Ummi Maktum Research Centre (UMMI) iaitu pusat penyelidikan OKU berteraskan pendekatan ilmu Naqli dan Aqli bertujuan untuk memenuhi tuntutan fardhu dalam memenuhi kelompangan OKU merealisasikan konsep indahnya hidup beragama.

PENGENALAN

UMMI merupakan bidang bitara (niche area) Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diiktiraf sebagai salah satu kluster dan showcase USIM. Kewujudannya turut memenuhi hasrat USIM sebagai kampus barakah. UMMI menawarkan khidmat penyelidikan dan inovasi dalam bidang Quran dan Sunnah bagi OKU berpandukan teori asas pengajaran dan pembelajaran Quran yang disebut sebanyak empat kali dalam Surah al-Qamar:54:17; 22; 32 dan 40. Firman-Nya:

وَلَقَدۡ يَسَّرۡنَا ٱلۡقُرۡءَانَ لِلذِّكۡرِ فَهَلۡ مِن مُّدَّكِرٖ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

Teori ini sebagaimana disebut oleh al-Imam Fakhru al-Din al-Razi dalam tafsirnya, Mafatih al-Ghayb yang turut mengemukakan empat aspek yang Allah mudahkan dalam berinteraksi bersama Quran iaitu mudah menghafaznya, mudah memahami hikmahnya, mudah menyentuh jiwa sama ada dibaca atau diperdengarkannya dan mukjizat agung Nabi Muhammad SAW. Ini bermakna, tuntutan memudahkan pengajaran dan pembelajaran Quran ini merupakan suatu eksplorasi dalam memberi ruang dan peluang OKU dididik menerima pendidikan agama melalui strategi, pendekatan, kaedah dan teknik berasaskan kekuatan dan kelainan upaya belajar mereka.

Usaha meneroka bidang pengajian Quran dan Sunnah bagi OKU atau dikenali juga sebagai Program Pendidikan Khas ini bermula seawal tahun 2008. Ia berikutan penawaran Kursus Wajib Fakulti (WF) iaitu Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah (QNR3013) kepada mahasiswa FPQS. Selain membekalkan nilai tambah (value added) dan kemahiran insaniah (soft skills), penawaran kursus ini bertujuan untuk melahirkan da’ie graduan pengajian Islam yang mampu mendepani isu dan permasalahan ummah khususnya melatih dan mendidik OKU mengenal Allah SWT. UMMI mendapat sokongan dan kerjasama MoU dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam khususnya Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) dan Persatuan Orang Pekak N. Sembilan (NESDA).


OBJEKTIF :

  • Menghasil dan mengumpulkan penerbitan dan bahan-bahan pengajian Islam berkaitan OKU
  • Melatih sukarelawan dakwah OKU dalam kalangan mahasiswa
  • Menubuhkan Hub pendidikan bagi OKU berteraskan Quran dan Sunnah

VISI

  • Memartabatkan nilai insaniah golongan OKU berteraskan Quran dan Sunnah.

MISI

  • Menjadi pusat rujukan penyelidikan dan inovasi pengajian Islam OKU bertaraf antarabangsa melalui pendekatan integrasi Ilmu Naqli dan Aqli.

RESEARCH & INNOVATION

BIL. PENYELIDIKAN TAHUN
1. Metode Pengajian Quran Braille 2008
2. Kaedah Pengajaran Kelas Agama bagi Pelajar Cacat 2011
3. Penglihatan: Kajian Kes di Sekolah Pendidikan Khas Princess Elizebeth, Johor Bharu 2012
4. Metodologi Pengajian Tahfiz Quran dalam kalangan Pelajar Masalah Penglihtaan Program Diploma Tahfiz dan Dakwah Darul Quran JAKIM 2013
5. Transkripsi Buku Iqra’ versi Brille 2014
6. Penggunaan Terapi Audio Ayat Quran Terpilih untuk Rawatan Pesakit Koma 2014
7. Pembangunan Quran Braille Rasm Uthmani 2015
8. Modul Pengajaran Quran Braille 2015
9. Smart Iqra’ Braille 2016
10. Perisian Interaktif Audio Buku Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (i-Talk PISKEB) 2016
11. Smart Hafaz: Perisian Modul Tahfiz bagi Murid Bekeperluan Khas Masalah Penglihatan 2017
12. Pembangunan Perisian Interaktif Asas Quran dan Ibadah OKU Pekak (i-Sign QurANIS) 2017
13. Pembangunan i-Talk Buku Pendidikan Islam Sekolah Menengah (i-Talk PISMEN)  2017
14. Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) untuk Keperluan Ibadah OKU Pekak Jawi Braille Translator 2017
15. Pembelajaran Maya Hijaiyyah versi Braille (eBraille Hijaiyyah)  2017

Related Video