NILAI, 24 April 2019 – Menyedari betapa pentingnya membina generasi Rabbani dalam kalangan komuniti OKU dan sebagai inisiatif dalam memenuhi tuntutan komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk hidup dalam suasana agama secara kondusif, mahasiswa tahun tiga Program Pengajian Quran dengan Multimedia dan mahasiswa Program Pengajian Sunnah dengan Pengurusan Maklumat menganjurkan Hari Menyantuni OKU (HMO) yang berlangsung pada 24 April 2019 bertempat di Dewan Kuliah Utama.

Bertemakan ‘Leave No One Behind’, pelbagai aktiviti yang dijalankan antaranya pameran, UMMI Open Mic dan Fun Learning Games berkaitan OKU.

Pengarah program Muhammad Azzim Azrai Ibrahim berkata tujuan program ini diadakan adalah bagi memberi pendedahan tentang kesedaran akan kepentingan menyantuni komuniti OKU seiring dengan tema untuk tidak meninggalkan mereka apatah lagi tidak ambil peduli terhadap golongan istimewa ini. Selain untuk memupuk dan menerapkan sikap prihatin dan rasa tanggungjawab dalam diri setiap mahasiswa dan masyarakat sekeliling terhadap golongan ini supaya penerimaan prinsip bahawa komuniti OKU mempunyai hak dan peluang yang sama bagi penyertaan penuh dalam masyarakat kita.

“Kita juga ada sediakan beberapa permainan antaranya ’Titian Siratulmustaqim’ untuk memberi pengalaman kepada peserta merasai orang buta berjalan, ‘Blind Whisper’ menguji peserta berkomunikasi dengan menutup mata mereka. Juga ‘Hear With Soul’ dimana peserta diajar tentang asas bahasa isyarat kemudian diuji untuk meneka bahasa isyarat yang ditunjukkan”, jelas Azzim.

Sempena HMO, juga diadakan Simposium Khidmat Quran Sunnah bagi OKU (SiQaH 2019) dengan tema “Disability is Ability”. Majlis ini menampilkan panel Dato’ Mah Hassan, Pengarah Urusan KL Braille Resources yang merupakan OKU penglihatan, Kaunselor Azlina Mohamed Isa, Pensyarah di OUM yang merupakan OKU Pendengaran, serta Ustaz Shamsul Hakim Abd Samad Pensyarah USIM serta moderator dikendalikan oleh saudara Muhamad Irfan Ahmad Firdaus.

Diskusi ini membicarakan mengenai isu-isu dan cabaran komuniti OKU dalam kehidupan sebagai orang Islam dan bagaimana pendekatan yang boleh dibuat untuk tidak mencipta halangan orang normal apabila berhadapan dengan orang kelainan upaya ini. Ini kerana sesuatu akhlak, ilmu bagi setiap orang Islam adalah hak manusia sejagat tidak mengira golongan kaya miskin normal atau tidak normal, malah dengan pembentukkan akhlak dipacu dengan pemahaman dan ilmu, golongan OKU ini akan dipandang sama rata dengan kebolehan dan keupayaan mereka tersendiri.

Majlis turut melancarkan Buku Tajwid Braille yang dirasmikan oleh Dr Ahmad Kamel Mohamed, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah bahagian Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni.

Prof Madya Dr. Adnan Mohamed Yusoff selaku Ketua Penyelidik projek ini berkata, projek mentranskripsi bahan rujukan Islami merupakan suatu usaha berterusan bermula dengan komitmen mahasiswa yang mengambil kursus wajib fakulti iaitu Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah, kursus pertama seumpamanya yang ditawarkan di peringkat IPT. Juga melihat kepada keperluan komuniti OKU Penglihatan terhadap bahan-bahan berasaskan teks braille, usaha transkripsi Buku Tajwid dipilih berdasarkan dapatan analisis keperluan dan  bimbingan Persatuan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (PERTIS).

“Buku Ilmu Tajwid yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidik Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) dipilih untuk merealisasi konsep indahnya hidup beragama dalam kalangan OKU khususnya membantu komuniti OKU Penglihatan untuk mempelajari ilmu tajwid dengan lebih berkesan”.

“Semoga usaha seumpama ini bukan sekadar memenuhi tuntutan penyelidikan di menara gading bahkan ia merupakan tanggungjawab akademia Pengajian Islam terhadap komuniti OKU yang seakan terlepas pandang terhadap tuntutan spiritual mereka. Usaha ini selaras dengan hasrat USIM sebagai kampus barakah dan merealisasi hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menjadikan universiti untuk komuniti”, tambah beliau lagi.

Turut hadir Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi Anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Bangi, Persatuan Insan Istimewa Jempol, serta Hayrat Foundation.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032