NILAI, 16 Disember  2017- Berlangsung meriah dengan kehadiran 3,000 ribu tetamu sempena Majlis OKU Berdoa  3.0 yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor USIM dengan mengekalkan tema“ Bicara Tanpa Hijab”.

Penganjuran yang masuk kali ketiga ini diadakan selaras dengan Sambutan Hari OKU Sedunia yang disambut pada 3 Disember saban tahun. Merupakan anjuran USIM dengan kerjasama Yayasan FAQEH,  Sahabat FAQEH USIM dan FAQEH Training and Consultancy.

Sebanyak 22 persembahan yang dipertonton antaranya perkongsian oleh Encik Zailani dan pasangan dalam mendidik anaknya Ahmad Zahirudin yang merupakan anak autisme sehingga menjadi seorang huffaz pertama autisme yang di lahirkan dari Darul Quran. Mengambil masa 2 setengah tahun bagi bergelar hafiz al-quran, kini beliau menuntut di USIM dalam program Quran Multimedia, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah. Selain itu, persembahan sajak dalam lagu turut didendangkan oleh Naib Canselor USIM, Prof Dato Dr Musa Ahmad bersama saudara Muhammad Hadi Darus pelajar tahun tiga Fakulti Syariah dan Undang-undang.

Menurut Tuan Haji Norakyairee Bin Mohd. Raus, Pensyarah USIM merangkap Ketua kluster penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) berkata, penganjuran OKU Berdoa 3.0 yang mengekalkan tema Bicara Tanpa Hijab merupakan alternatif sambutan Islami Hari OKU Sedunia selepas lakaran sejarah melalui penganjurannya kali pertama pada tahun 2015 di Masjid Negara yang turut meraikan jubli emasnya yang ke-50. Masjid Negara dipilih menjadi lokasi sambutan bagi mengambil inspirasi pengembangan dakwah Islamiyyah bermula di Masjid Nabawi. Tahun 2016, membuka tirai penganjuran OKU berdoa 2.0 bertapak di menara gading sebagai simbolik keilmuan. USIM tampil sebagai universiti pertama meraikan OKU berkonsepkan sambutan Islami selaras dengan pendekatannya integrasi ilmu Naqli dan Aqli serta melahirkan graduan sebagai agen penyumbang dan mampu mendepani isu dan cabaran ummah

“Program ini menampilkan konsep Zikir Dikir di mana latar persembahannya dipimpin oleh kumpulan Nasyid Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, In2Heart. Solidariti mahasiswa USIM yang terdiri daripada perwakilan-perwakilan mahasiswa dan pelbagai kelab USIM diketuai oleh Kelab Sahabat FAQEH USIM menyajikan persembahan menarik bermula dengan bacaan Ruqyah Perdana, Solat Isyak berjemaah dan Tilawah Tanpa Suara. Kemudian diikuti dengan bicara tanpa hijab yang dipersembahkan oleh OKU pelbagai kategori dari pelbagai NGO. Mereka terdiri daripada kumpulan OKU yang mampu bertutur (verbal), masalah pertuturan (non verbal), tidak mampu melihat (Masalah Penglihatan), tidak mampu mendengar (Masalah Pendengaran) dan mereka yang mempunyai kecacatan fizikal”.

“Program ini secara tidak langsung menepis sikap segelintir masyarakat yang sering menjadikan kecacatan OKU sebagai penghalang keupayaan golongan istimewa ini menyertai aktiviti kemasyarakatan dengan lebih berkesan”, tambah beliau.

Anugerah Khas Yayasan Faqeh turut disampaikan kepada Prof. Dato Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM di atas pencapaian USIM menjadi universiti pertama yang cakna isu spiritual OKU selain dijadikan bidang showcase di USIM.

USIM merupakan universiti di beri tanggungjawab menjalankan penyelidikan kepada OKU melalui kluster penyelidikan Ibnu Ummi Maktum antaranya kursus aplikasi braile, modul sukarelawan dakwah OKU Sahabat Faqeh, Kumpulan Nasyid Tanpa Suara Al-Ishar. Antara produk penyelidikan OKU yang telah dijayakan USIM adalah i-Talk Piskeb, i-SIGN Quranis dan Smart Iqra Braile.

Majlis ini turut dihadiri oleh  Sahabat FAQEH Temerloh, Sahabat FAQEH UIA, Sahabat FAQEH Terengganu, Akademi Remaja Austime, Persatuan Sindromdown Malaysia, Persatuan Kanak2 Istimewa Bangi, IPG Pendidikan Khas, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

 

Disediakan oleh:
Shahrul Naim Tokiman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

2018-01-02T09:14:19+00:00