{"id":122774,"date":"2025-11-25T09:37:41","date_gmt":"2025-11-25T01:37:41","guid":{"rendered":"https:\/\/www.usim.edu.my\/uncategorized-ms\/air-mata-di-sebalik-senyuman-sharifah-tamat-konvo-usim-saat-suami-koma\/"},"modified":"2025-11-27T13:39:51","modified_gmt":"2025-11-27T05:39:51","slug":"air-mata-di-sebalik-senyuman-sharifah-tamat-konvo-usim-saat-suami-koma","status":"publish","type":"post","link":"https:\/\/www.usim.edu.my\/ms\/air-mata-di-sebalik-senyuman-sharifah-tamat-konvo-usim-saat-suami-koma\/","title":{"rendered":"Air Mata di Sebalik Senyuman: Sharifah Tamat Konvo USIM Saat Suami Koma"},"content":{"rendered":"
NILAI – Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini menyaksikan sebuah detik penuh emosi apabila seorang graduan Diploma Lepasan Ijazah Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP), Sharifah Shafika Amira Syed Shikh Mawardi, 29, melangkah ke pentas menerima skrol dalam keadaan diuji dengan dugaan keluarga yang amat berat.<\/p>\n
Sharifah, yang berasal dari Kulim, Kedah, menamatkan pengajian ketika suaminya masih koma sejak 18 Mei lalu selepas terlibat dalam kemalangan motosikal berhampiran rumah mereka. Kejadian yang berlaku sekitar jam 10 malam itu menyebabkan suaminya mengalami Traumatic Brain Injury (TBI) dengan pendarahan serius di bahagian kanan otak sehingga menghilangkan sebahagian fungsi saraf.<\/p>\n
Sejak tragedi itu, rutin hidup Sharifah berubah sepenuhnya. Di samping menguruskan kuliah dan tugasan, beliau perlu menjaga suami di hospital dan membesarkan anak perempuan yang masih kecil. Namun dalam keadaan perit, beliau tetap berulang-alik dari Kulim ke USIM setiap minggu untuk menghadiri kelas serta peperiksaan dengan memandu seorang diri antara dua negeri tanpa pernah culas.<\/p>\n
Sharifah mengakui beliau turut berdepan kekangan kelengkapan belajar kerana tidak memiliki komputer riba. Tugasan hanya dapat disiapkan di pejabat sebelum beliau akhirnya membeli laptop terpakai secara ansuran agar dapat menyiapkan kerja-kerja pengajian di hospital sambil menemani suaminya.<\/p>\n
Di sebalik kesukaran itu, sokongan keluarga, terutama ayahnya Encik Syed Shikh Mawardi, 61, menjadi pendorong utama yang memastikan beliau terus bertahan. Ayahnya membantu menjaga cucu, mengurus persekolahan malah membeli semula kereta Sharifah bagi membolehkan yuran pengajian DIJAP diselesaikan.<\/p>\n