{"id":126679,"date":"2026-05-13T09:47:46","date_gmt":"2026-05-13T01:47:46","guid":{"rendered":"https:\/\/www.usim.edu.my\/uncategorized-ms\/daripada-sunnah-ke-sains-usim-teroka-potensi-madu-kelulut-sebagai-ubat-kumur-klinikal\/"},"modified":"2026-05-13T10:07:15","modified_gmt":"2026-05-13T02:07:15","slug":"daripada-sunnah-ke-sains-usim-teroka-potensi-madu-kelulut-sebagai-ubat-kumur-klinikal","status":"publish","type":"post","link":"https:\/\/www.usim.edu.my\/ms\/berita\/berita-penyelidikan\/daripada-sunnah-ke-sains-usim-teroka-potensi-madu-kelulut-sebagai-ubat-kumur-klinikal\/","title":{"rendered":"Daripada Sunnah ke Sains: USIM Teroka Potensi Madu Kelulut Sebagai Ubat Kumur Klinikal"},"content":{"rendered":"
NILAI \u2013 Madu kelulut tempatan yang selama ini dikenali sebagai makanan sunnah dan produk kesihatan semula jadi kini diteroka sebagai inovasi ubat kumur klinikal berasaskan bahan semula jadi oleh penyelidik Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).<\/p>\n
Produk ini dibangunkan menggunakan madu kelulut asli yang dicampur dengan air bagi menghasilkan kepekatan madu sebanyak 20 peratus, iaitu kepekatan yang dikenal pasti melalui kajian terdahulu berpotensi membunuh kuman.<\/p>\n
Ketua penyelidik, Dr. Nur Ayman Abdul Hayei berkata, madu mempunyai ciri anti-inflammatori dan antibakteria yang menjadikannya sesuai diteroka sebagai bahan asas ubat kumur untuk membantu penjagaan kesihatan gusi.<\/p>\n
\u201cUbat kumur ini mengandungi madu kelulut asli yang dicampur dengan air pada kepekatan 20 peratus. Madu mempunyai kesan anti-inflammatori dan antibakteria, menjadikannya sesuai sebagai ubat kumur yang menjaga kesihatan gusi,\u201d katanya.<\/p>\n
Menurut beliau, idea menghasilkan produk itu tercetus daripada pemerhatian terhadap kekurangan ubat kumur sedia ada di pasaran yang sebahagiannya mempunyai kesan sampingan kurang baik selain diperbuat daripada bahan kimia.<\/p>\n
Dr Ayman berkata lagi, pemilihan madu sebagai bahan inovasi turut selari dengan al-Quran melalui Surah al-Nahl ayat 68 hingga 69 yang menyebut tentang madu sebagai penawar kepada manusia. “Sebagai pakar periodontik, saya melihat kekurangan dari segi ubat kumur sedia ada kerana mempunyai kesan sampingan yang kurang baik. Dari situ saya mendapat idea untuk menggunakan madu sebagai bahan asas ubat kumur,\u201d tambahnya.<\/p>\n