By : Khairul Anwar Mohd Safaai

Bertemakan “Inspiring Naqli Aqli Innovations Towards Ummah Well Being”, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan sokongan sepenuhnya daripada pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Ekspo Inovasi Islam (i-Inova’16) kali ke-7 pada 10 November 2016 di Dewan Tuanku Canselor.

i-Inova kali ini berjaya mengumpulkan seramai 56 pempamer produk inovasi serta turut mendapatkan kerjasama dari Permodalan Nasional Berhad (PNB), Bank Muamalat Malaysia Berhad, Affin Islamic Bank Berhad dan Objective Connection Sdn. Bhd.

Seramai 39 penyertaan diterima bagi kategori terbuka manakala bagi kategori prasiswazah sebanyak 17 penyertaan. USIM telah menghantar sebanyak 25 penyertaan dan berjaya memenangi 3 anugerah emas dan 1anugerah perak bagi Kategori Prasiswazah, 1anugerah emas dan 1 anugerah perak bagi Kategori Terbuka, serta 4 anugerah gangsa bagi Kategori Prasiswazah dan Terbuka. USIM turut memenangi Anugerah Khas – Ibnu Sina dan membawa pulang RM1500 beserta piala.

“Matlamat utama penganjuran i-Inova ini ialah sebahagian daripada usaha kita mengembalikan kegemilangan ilmu Islam dalam bentuk yang diterjemahkan melalui penghasilan produk yang dapat menyelesaikan permasalahan berkaitan umat Islam,” ujar Pengarah Program, Dr Ernie Suzana Ali.

Aktivit lain sepanjang dua hari program adalah Pameran dan Demonstrasi Sains dan Teknologi, Campuslife@USIM, Ceramah Q-Stem, Pameran Inovasi Sekolah, Hologram, Program Jejak Alumni Inovasi, Pertandingan Roket Air, Life Sketch, kuiz uji minda dan dibuka juga gerai jualan.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah oleh Naib Canselor USIM, YBhg Prof Dato Dr Musa Ahmad yang mana beliau berharap dengan penganjuran i-Inova’16 ini dapat memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk memahami dan mengetahui perkembangan penggunaan dan penghasilan produk Islam terkini sebagai wadah untuk memperlihatkan potensi sebenar USIM sebagai Pusat Rujukan Global untuk Sains Islam pada masa yang sama melahirkan pemimpin Al-Ibrar.