Dr. Khairunneezam Mohd Noor
Dr. Khairunneezam Mohd NoorPensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Masyarakat dalam konteks Islam ialah gabungan manusia yang diwujudkan atas ikatan syariah rabbani yang bermatlamatkan kehidupan yang sejahtera serta aman damai. Masyarakat Islam juga merangkumi keseluruhan hubungan kemasyarakatan yang saling berkait antara satu sama lain. Oleh itu, masyarakat Islam ialah kelompok manusia yang beragama Islam, mengamalkan ajaran Islam dan saling berkaitan antara satu sama lain. Walaupun masyarakat terdiri daripada pelbagai kelompok manusia seumpama lelaki, perempuan, bersuku-suku dan berbangsa-bangsa, namun perbezaan ini tidak menyekat masyarakat daripada mengenali atau berinteraksi antara satu sama lain. Uniknya, masyarakat dalam konteks Islam bukanlah kerana perbezaan warna, kulit, bangsa, bahasa dan negara, tetapi sejauhmana masyarakat itu tunduk dan patuh kepada Allah SWT.

Kewujudan masyarakat yang mempunyai ciri-ciri yang pelbagai bukanlah sesuatu yang asing bagi Islam. Malah, Allah SWT telah menciptakan kepelbagaian manusia yang wujud di muka bumi ini seperti firman-Nya yang bermaksud: Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berbeza puak (etnik) supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu ialah yang paling bertakwa. (Surah Al-Hujurat: 13)

Kemudian, sesebuah institusi pendidikan tinggi yang dibangunkan atas tujuan membangunkan dan mengembangkan ilmu pengetahuan tidak seharusnya bersifat tertutup dan eksklusif untuk warganya sahaja. Ia tidak boleh menjadi sebuah pulau, dianalogikan sebagai indah dan menarik, tapi terpisah dengan ekosistem masyarakat setempat yang hanya mampu melihat, tapi tidak meraih apa-apa daripada keindahan ‘pulau’ tersebut. Sesebuah institusi pendidikan tinggi (IPT) berperanan dalam memberikan sumbangan bukan sahaja dalam peringkat institusinya sahaja, bahkan kepada umat sejagat termasuklah komuniti setempat yang melingkari diameter institusi tersebut. Institusi pendidikan tinggi termasuk Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan mahasiswanya berperanan besar membugarkan perkembangan dan pembangunan masyarakat melalui aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bukan sahaja kepada para mahasiswa bahkan juga kepada masyarakat sekeliling.

Menurut Ahmadi, Idrus, Malik, Murad, Ngajikin dan Esa (2008), para pelajar IPT adalah agen terbaik dalam mengambil peranan melaksanakan aktiviti yang boleh mendekatkan universiti dengan masyarakat sekitar kampus, mencungkil nilai-nilai sosial dan memberikan kesan positif kepada diri mereka sendiri dan masyarakat secara amnya. Masyarakat di sekitar sesebuah IPT tidak selalunya meminta itu dan ini daripada institusi tersebut, bahkan selalunya mereka berbangga dan bersyukur dengan adanya sesebuah IPT di lokaliti mereka, ekonomi menjadi rancak, sistem sosial dan kependudukan berkembang teratur, fasiliti dan kemudahan awam menjadi lebih sistematik dan maju, dan sebagainya. Akan tetapi, sebagai sesebuah IPT sudah tentulah mereka boleh memberikan lebih daripada itu kepada masyarakat sekeliling.

Melalui kajian yang dilaksanakan oleh Belkhodja (2013) di Kanada, didapati bahawa para pelajar yang mendiami kawasan kejiranan di sekitar universiti-universiti yang terlibat dalam kajian ini di negara tersebut memberikan impak yang pelbagai kepada perkembangan masyarakat sekitar. Antara dapatan kajian adalah berkenaan kesan silang budaya pelajar-pelajar luar kampus yang kebanyakannya adalah pelajar antarabangsa. Banyak budaya baik yang dibawa dari seluruh dunia diamalkan dan diterima oleh masyarakat setempat. Begitu pun, isu kebersihan yang tidak dijaga dengan baik dan isu kurang menghormati hak jiran sebelah-menyebelah dalam kalangan pelajar luar kampus ini, mendapat komen yang agak tinggi dalam kalangan responden kajian.

Norzanah Mat Nor, Zaiton Endot, Raja Razuan Raja Deris, Abdul Rahim Meerah (2008), telah melaksanakan satu kajian awal mengenai persepsi masyarakat terhadap pelajar IPTA/IPTS yang tinggal di luar kampus. Kajian kuantitatif ini dibuat dalam kalangan 107 responden yang merupakan ahli masyarakat yang berada berhampiran dengan kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL), dan Universiti Selangor (UNISEL) yang terletak di Shah Alam, Selangor. Antara fokus kajian Norzanah et al. (2008) ini adalah pertama, isu-isu sosial seperti penglibatan pelajar luar kampus dalam aktiviti sosial kejiranan, penekanan aspek kebersihan rumah dan persekitaran, pembuangan sampah, isu bising, vandalisme, masalah berpeleseran, dan budi bahasa. Keduanya, kajian ini juga melihat kepada isu ekonomi berkaitan pelajar luar kampus seperti peningkatan perniagaan makanan, penyewaan rumah/apartmen, dan perniagaan berkaitan pembelajaran di universiti seperti kedai photostat, cyber cafe,kedai buku dan alat tulis, dan seumpamanya. Ketiga, kajian ini turut melihat kepada pandangan masyarakat terhadap pelajar luar kampus dari aspek pendidikan, yang mana perbincangannya tertumpu kepada sumbangan pelajar luar kampus dalam aktiviti kelas akademik atau tuisyen kepada anak-anak masyarakat setempat, bantuan program bahasa Inggeris, dan role-model budaya pendidikan kepada masyarakat.

Dalam konteks pelajar USIM, keterlibatan mereka dengan masyarakat tidak boleh disangkal. Sejak penubuhan USIM lagi, sememangnya pelajar USIM sangat dekat dengan masyarakat. Spektrum program-program ini tidak hanya terhad di peringkat nasional, bahkan di peringkat antarabangsa. Misalnya, sejak tahun 2011 USIM melancarkan program khidmat masyarakat di bawah flagship, Global Islamic Students Outreach (GISO) yang berjaya meneroka negara-negara sejauh Australia, Jepun dan Eropah.

Satu kajian yang dilaksanakan oleh Khairunneezam, Mohd Asri, Siti Suriani dan Amin Al-Haadi (2015) ke atas para pelajar luar kampus USIM mendapati bahawa masyarakat setempat yang hidup berjiran dengan para pelajar luar kampus USIM memberikan pandangan yang sangat positif dengan keterlibatan pelajar USIM terutamanya dalam aktiviti-aktiviti keagamaan dan aktiviti sosial. Para pelajar USIM sering kali dijadikan sumber untuk mengendalikan program di surau-surau taman perumahan, rujukan hal ehwal keagamaan, dilibatkan dalam sistem pemantauan keselamatan komuniti, dan sebagainya.

Contoh yang lain adalah penganjuran Dakwah Tatbiqi oleh Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM. Subjek Dakwah Tatbiqi ini diwajibkan kepada semua pelajar program Dakwah Dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dalam semester kelima, sejak tahun 2013, bagi mempraktikkan apa yang telah dipelajari di dalam perkuliahan dan mengaplikasikan teori yang dipelajari kepada masyarakat luar melalui program yang dilaksanakan.

Secara asasnya Dakwah Tatbiqi ini mencakupi program-program yang melibatkan pelbagai kategori masyarakat. Sebelum ia diformalisasikan sebagai kursus akademik, ia merupakan satu program keterlibatan masyarakat yang menggabungjalinkan nilai dakwah, khidmat komuniti, kebajikan dan learning transfer yang diurusetiakan oleh Program Dakwah dan Pengurusan Islam di FKP, USIM. Antara organisasi yang dilibatkan dalam program ini adalah perkampungan Orang Asli, rumah anak yatim, rumah orang-orang tua, perkampungan Melayu, komuniti masjid dan surau, persatuan belia, NGO Islam dan sebagainya. Dalam konteks Dakwah Tatbiqi bersama komuniti orang asli secara khususnya, para pelajar Program Dakwah dan Pengurusan Islam, FKP, USIM telah menyantuni banyak komuniti atau perkampungan orang asli di Negeri Sembilan dan Selangor.
Tuntasnya, para pelajar USIM yang menyertai program kemasyarakatan sebegini menyedari bahawa inisiatif USIM umpama usaha serampang dua mata. Di samping membina kemahiran menyampaikan dakwah dan mengaplikasikan kemahiran-kemahiran yang telah dipelajari dalam subjek-subjek dalam kuliah, para pelajar turut didedahkan dengan nilai dan praktis kepemimpinan, kesukarelawanan, dan sebagainya bersama-sama masyarakat yang mereka dekati.

Bibliografi
Ahmadi, A., Idrus, S.M., Malik, N.A., Murad, N.A., Ngajikin, N.H. dan Esa, M.R.M (2006), Pengaruh Gaya Hidup Pelajar Kejuruteraan di Kolej Kediaman UTM Terhadap Pencapaian Akademik, OAI.
Belkhodja, C. (2013), Improving the Assessment of International Students’ Contribution to Canadian Society, Knowledge Synthesis, Canada: Université de Moncton and Victoria Esses, Western University Pathways to Prosperity Partnership.
Khairunneezam, M.N., Norailis, A.W., Siti Nubailah, M.Y. dan Nurhafizah, M.S. (2014), ‘Persepsi Pelajar Mengenai Pembentukan Nilai Kepimpinan Melalui Penglibatan Sebagai JAKSA di Kolej Kediaman: Kajian Kualitatif di Universiti Sains Islam Malaysia’, Prosiding Seminar Pengurusan Asrama Peringkat Kebangsaan, Kuching, Sarawak.
Khairunneezam, M. N., Mohd Asri, H., Siti Suriani, O. dan Amin Al Haadi, S. (2015), Keterlibatan Pelajar-Pelajar Luar Kampus Universiti Sains Islam Malaysia Dalam Memangkin Aktiviti Keagamaan Dan Sosial Bersama Masyarakat Setempat, Prosiding Konferensi Kebangsaan Pengurusan Non-Residen anjuran UiTM: Kuantan, Pahang.
Norzanah Mat Nor, Zaiton Endot, Raja Razuan Raja Deris, Abdul Rahim (2008).”Persepsi Masyarakat Terhadap Pelajar Ipta/Ipts Yang Tinggal Di Luar Kampus: Satu Kajian Awal Di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan” , Prosiding Persidangan Pembangunan Pelajar Peringkat Kebangsaan anjuran SPACE, Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia.

Penulisan oleh USIM Writers Pool (UWP) ini bagi menyemarakkan Misi 100 Hari Naib Canselor, YBhg. Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin.